Magnesium

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Nama AM: Magnesium

Kegunaan

Apakah kegunaan Magnesium?

Magnesium adalah mineral yang penting untuk struktur tulang yang normal dalam badan. Manusia mendapat magnesium daripada pemakanan mereka, namun kadang-kadang suplemen magnesium diperlukan jika paras magnesium terlalu rendah. Paras magnesium yang rendah dalam tubuh badan dikaitkan dengan penyakit seperti osteoporosis, tekanan darah tinggi, arteri tersumbat, penyakit jantung keturunan, diabetes, dan strok.

Magnesium biasanya diambil melalui mulut untuk mengelakkan kekurangan magnesium. Ia juga digunakan sebagai julap untuk sembelit dan untuk menyediakan usus bagi sebarang prosedur pembedahan ataupun diagnostik. Di samping itu, magnesium turut digunakan sebagai antasid untuk ketakcernaan asid.

Sesetengah orang menggunakan magnesium untuk penyakit jantung dan saluran darah termasuk sakit dada, denyutan jantung yang tidak sekata, tekanan darah tinggi, kolesterol lipoprotein ketumpatan rendah (LDL) yang tinggi , kolesterol lipoprotein ketumpatan tinggi (HDL) yang rendah, penyakit injap jantung (prolaps injap mitral), sindrom metabolik, dan arteri tersumbat (penyakit arteri koronari)

Magnesium juga digunakan untuk merawat masalah hiperaktif dan kekurangan tumpuan  (ADHD), kerisauan, sindrom keletihan kronik (CFS), penyakit Lyme, fibromyalgia, fibrosis sista, alkoholisme, mania, pemulihan selepas pembedahan, kekejangan kaki pada waktu malam dan semasa kehamilan, batu karang dalam ginjal, migrain, sakit kronik yang dikenali sebagai sindrom complex regional pain, osteoporosis, sindrom prahaid (PMS), penyakit altitud, inkontinens kencing, keadaan yang menyebabkan kesakitan dan kemerahan yang dipanggil erythromelalgia, sindrom kaki resah , asma, sakit kepala, sklerosis berbilang (MS), serta untuk mengelakkan kehilangan pendengaran dan kanser.

Atlet kadangkala menggunakan magnesium untuk meningkatkan tenaga dan tahap ketahanan.

Sesetengah orang menyapu bahan magnesium pada kulit mereka untuk merawat ulser, bisul, dan pekung (carbuncle); dan untuk mempercepat penyembuhan luka. Magnesium juga digunakan sebagai jaram sejuk dalam rawatan jangkitan kulit yang teruk disebabkan oleh bakteria strep (erysipelas) dan sebagai tuam panas untuk jangkitan kulit yang mendalam.

Magnesium disuntik ke dalam badan untuk tujuan pemakanan, merawat kekurangan magnesium yang berlaku pada penghidap jangkitan pankreas, gangguan penyerapan magnesium, dan sirosis hati. Selain itu, magnesium juga disuntik untuk merawat tekanan darah tinggi semasa mengandung dan komplikasi kehamilan yang lain.

Magnesium juga digunakan sebagai suntikan untuk mengawal sawan, merawat degupan jantung yang tidak teratur (sendiri atau selepas serangan jantung), dan jantung terhenti. Magnesium juga disuntik ke dalam badan untuk merawat komplikasi asma, penyakit paru-paru, migrain, sakit kepala kelompok, sengatan obor-obor, keracunan, bengkak otak, kesan sampingan kemoterapi, trauma dan pendarahan di kepala, anemia sel sabit, mencegah palsi cerebrum, dan tetanus.

Bagaimana ia berfungsi?

Tiada kajian yang mencukupi tentang bagaimana magnesium ini berfungsi. Sila berbincang dengan pakar herba anda atau doktor untuk maklumat lanjut. Walau bagaimanapun, adalah diketahui bahawa magnesium diperlukan untuk pertumbuhan dan penyelenggaraan tulang yang baik. Magnesium juga diperlukan untuk fungsi saraf, otot, dan banyak bahagian badan yang lain. Dalam perut, magnesium membantu meneutralkan asid perut dan menggerakkan najis melalui usus.

Langkah berjaga-jaga & Amaran

Apa yang perlu saya tahu sebelum mengambil Magnesium?

Sebelum menggunakan ubat ini, sila maklumkan kepada doktor anda jika:

  • Anda mengandung, merancang untuk hamil atau menyusu badan.
  • Anda mengambil apa-apa ubat lain. Ini termasuk ubatan yang boleh didapati tanpa preskripsi, seperti ubat-ubatan herba dan suplemen.
  • Anda mempunyai alahan dengan mana-mana bahan daripada magnesium atau ubatan farmasi mahupun herba yang lain.
  • Anda mempunyai sebarang penyakit, gangguan, atau keadaan perubatan yang lain.
  • Anda mempunyai alahan dengan apa-apa makanan, pewarna, pengawet atau mana-mana haiwan.

Peraturan bagi suplemen adalah kurang ketat berbanding peraturan untuk ubat. Lebih banyak kajian diperlukan untuk menentukan tahap keselamatannya. Manfaat dalam mengambil suplemen ini mestilah dipastikan melebihi risiko pengambilannya sebelum ia digunakan. Sila berunding dengan pakar herba anda atau doktor untuk maklumat lanjut.

Adakah Magnesium selamat digunakan?

Magnesium barangkali selamat digunakan bagi kebanyakan orang apabila diambil melalui mulut dengan sewajarnya ataupun apabila diberi sebagai suntikan preskripsi yang digunakan dengan betul.

Dos yang kurang daripada 350 mg sehari adalah selamat untuk kebanyakan orang dewasa. Apabila diambil dalam jumlah yang sangat besar, magnesium mungkin tidak selamat untuk digunakan.

Peringatan khas & amaran

Kehamilan dan penyusuan bayi: Magnesium adalah selamat untuk wanita hamil atau yang sedang menyusu apabila diambil dalam dos kurang daripada 350 mg setiap hari. Magnesium juga adalah selamat apabila diberi sebagai suntikan intravena (melalui IV) sebelum bersalin. Magnesium mungkin tidak selamat apabila diambil melalui mulut atau IV dalam dos yang tinggi.

Kanak-kanak: Magnesium adalah selamat untuk kebanyakan kanak-kanak apabila diambil melalui mulut dengan sewajarnya atau apabila diberi sebagai suntikan preskripsi yang digunakan dengan betul. Magnesium juga adalah selamat apabila diambil dalam dos kurang daripada 65 mg untuk kanak-kanak berumur 1-3 tahun, 110 mg untuk kanak-kanak berumur 4-8 tahun, dan 350 mg untuk kanak-kanak berumur lebih daripada 8 tahun. Magnesium mungkin tidak selamat apabila diambil dalam dos yang lebih tinggi.

Alkoholisme: Penyalahgunaan alkohol meningkatkan risiko kekurangan magnesium.

Gangguan pendarahan: Magnesium memperlahankan pembekuan darah. Secara teori, pengambilan magnesium mungkin meningkatkan risiko pendarahan atau lebam pada orang yang mengalami masalah pendarahan.

Diabetes: Diabetes meningkatkan risiko kekurangan magnesium. Kencing manis yang tidak terkawal akan mengurangkan jumlah magnesium yang diserap oleh badan.

Warga tua: Orang tua berisiko untuk mengalami kekurangan magnesium disebabkan oleh penyerapan magnesium yang kurang oleh badan, dan mereka kebiasaannya juga mempunyai penyakit yang turut mempengaruhi penyerapan magnesium.

Sekat jantung: Magnesium dos tinggi (melalui IV) tidak boleh diberikan kepada orang yang mempunyai masalah sekatan jantung.

Penyakit-penyakit yang menjejaskan penyerapan magnesium: Jumlah magnesium yang diserap oleh badan boleh berkurang dalam banyak keadaan, termasuk jangkitan perut, penyakit imun, penyakit radang usus dan lain-lain.

Masalah buah pinggang, seperti kegagalan buah pinggang: Ginjal yang tidak berfungsi dengan baik mempunyai masalah untuk menyingkirkan magnesium dari badan. Pengambilan magnesium tambahan boleh menyebabkan risiko pengumpulan magnesium (amat berbahaya). Jangan ambil magnesium jika anda mempunyai masalah buah pinggang.

Sindrom kaki resah: Orang dengan sindrom kaki resah mungkin mempunyai paras magnesium yang tinggi dalam badan. Namun masih tidak jelas adakah magnesium sebagai penyebab kepada keadaan ini, kerana orang yang mengalami sindrom kaki gelisah juga mempunyai kekurangan magnesium.

Kesan Sampingan

Apakah kesan sampingan pengambilan Magnesium?

Pada sesetengah orang, magnesium mungkin menyebabkan sakit perut, mual, muntah, cirit-birit, dan beberapa kesan sampingan yang lain.

Dos magnesium yang tinggi mungkin menyebabkan magnesium terlalu banyak terkumpul dalam badan, menyebabkan kesan sampingan yang serius termasuk denyutan jantung yang tidak teratur, tekanan darah rendah, kekeliruan, pernafasan yang perlahan, koma, dan kematian.

Tidak semua orang mengalami kesan sampingan ini. Mungkin terdapat beberapa kesan sampingan yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan mengenai kesan sampingan di atas, sila berjumpa pakar herba atau doktor anda.

Tindak balas

Apakah tindakbalas yang boleh saya alami dengan Magnesium?

Magnesium mungkin mempunyai tindak balas terhadap keadaan kesihatan dan ubat yang anda sedang ambil. Sila rujuk kepada pakar kesihatan sebelum menggunakannya.

Antara produk yang boleh berinteraksi dengan bahan magnesium termasuklah:

  • Antibiotik (Aminoglycoside)

Sesetengah antibiotik boleh menjejaskan otot. Antibiotik ini dipanggil aminoglycosides. Magnesium juga boleh menjejaskan otot. Mengambil antibiotik ini dan suntikan magnesium mungkin menyebabkan masalah otot.

Antara antibiotik aminoglikosida termasuklah amikacin (Amikin), gentamicin (Garamycin), kanamycin (Kantrex), streptomycin, tobramycin (Nebcin), dan lain-lain.

  • Antibiotik (Quinolone)

Magnesium mungkin mengurangkan penyerapan antibiotik oleh badan. Mengambil magnesium bersama dengan antibiotik-antibiotik ini mungkin mengurangkan keberkesanannya. Untuk mengelakkan interaksi ini, antibiotik harus diambil sekurang-kurangnya 2 jam sebelum, atau 4 hingga 6 jam selepas pengambilan magnesium.

Antara antibiotik yang mungkin berinteraksi dengan magnesium termasuklah ciprofloxacin (Cipro), enoxacin (Penetrex), norfloxacin (Chibroxin, Noroxin), sparfloxacin (Zagam), trovafloxacin (Trovan), dan grepafloxacin (Raxar).

  • Antibiotik (Tetracycline)

Magnesium boleh terlekat pada tetracycline di dalam perut. Ini akan mengurangkan jumlah tetracycline yang dapat diserap oleh tubuh. Mengambil magnesium bersama dengan tetracycline akan mengurangkan keberkesanan tetracycline. Untuk mengelakkan interaksi ini, ambil kalsium 2 jam sebelum atau 4 jam selepas mengambil tetracycline.

Antara antibiotik dari jenis tetracycline termasuklah demeclocycline (Declomycin), minocycline (Minocin), dan tetracycline (Achromycin).

  • Bisphosphonate

Magnesium boleh mengurangkan jumlah bisphosphate yang diserap oleh badan. Mengambil magnesium bersama-sama dengan bisphosphate dapat mengurangkan keberkesanan bisphosphate. Untuk mengelakkan interaksi ini, ambil bisphosphonate sekurang-kurangnya dua jam sebelum mengambil magnesium atau pada keesokan harinya.

Sesetengah bisphosphonate termasuk alendronate (Fosamax), etidronate (Didronel), risedronate (Actonel), tiludronate (Skelid), dan lain-lain.

  • Ubat untuk tekanan darah tinggi (penyekat saluran kalsium)

Magnesium mungkin mengurangkan tekanan darah. Mengambil magnesium dengan ubat untuk tekanan darah tinggi mungkin menyebabkan tekanan darah anda menjadi terlalu rendah.

Antara ubat untuk tekanan darah tinggi termasuklah nifedipine (Adalat, Procardia), verapamil (Calan, Isoptin, Verelan), diltiazem (Cardizem), isradipine (DynaCirc), felodipine (Plendil), amlodipine (Norvasc), dan lain-lain.

  • Pengendur otot

Magnesium boleh membantu melegakan otot. Pengambilan magnesium bersama-sama dengan ubat pengendur otot boleh meningkatkan risiko kesan sampingan daripada ubat pengendur otot.

Antara ubat pengendur otot termasuklah carisoprodol (Soma), pipecuronium (Arduan), orphenadrine (Banflex, Disipal), cyclobenzaprine, gallamine (Flaxedil), atracurium (Tracrium), pancuronium (Pavulon), succinylcholine (Anectine), dan lain-lain.

  • Pil air (diuretik penjimatan kalium)

Sesetengah “pil air” boleh meningkatkan paras magnesium dalam badan. Mengambil beberapa “pil air” bersama-sama dengan magnesium mungkin menyebabkan terlalu banyak magnesium berada di dalam badan.

Antara “pil air” yang meningkatkan paras magnesium dalam badan termasuklah amilorida (Midamor), spironolactone (Aldactone), dan triamterene (Dyrenium).

Penggunaan /Dos

Maklumat yang diberikan tidak menggantikan nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor atau pakar herba anda sebelum menggunakan ubat ini

Apakah dos Magnesium yang biasa digunakan?

ORANG DEWASA

MELALUI MULUT:

  • Elaun Diet Harian yang Disyorkan (RDA) untuk magnesium adalah: 19-30 tahun, 400 mg (lelaki) dan 310 mg (wanita); 31 tahun dan ke atas, 420 mg (lelaki) dan 320 mg (wanita). Bagi wanita hamil berusia 14-18 tahun, RDA adalah 400 mg; 19-30 tahun, 350 mg; 31-50 tahun, 360 mg. Bagi wanita yang menyusu berusia 14-18 tahun, RDA adalah 360 mg; 19-30 tahun, 310 mg; 31-50 tahun, 320 mg. Tahap atas pengambilan harian (UL) untuk magnesium adalah 350 mg untuk sesiapa yang berumur lebih dari 8 tahun, termasuk wanita hamil dan sedang menyusu.
  • Untuk sembelit: 8.75-25 gram magnesium sitrat telah digunakan, biasanya sebanyak 150-300 ml dalam larutan 290 ml. 2.4-4.8 gram magnesium hidroksida juga telah digunakan. 10-30 gram magnesium sulfat juga telah digunakan. Garam magnesium hanya boleh digunakan untuk rawatan sembelit sekali-sekala, dan dos perlu diambil dengan segelas air penuh 250 ml.
  • Untuk ketidakhadaman: 400-1200 mg magnesium hidroksida digunakan sehingga empat kali sehari. 800 mg magnesium oksida setiap hari juga boleh digunakan.
  • Untuk kekurangan magnesium: 3 gram magnesium sulfat, diambil setiap 6 jam selama empat dos. Satu larutan 5% magnesium klorida diambil melalui mulut setiap hari selama 16 minggu. Air mineral yang diperkaya dengan magnesium (Hepar) yang mengandungi 110 mg / L juga boleh digunakan. 10.4 mmol magnesium laktat, yang diambil melalui mulut setiap hari selama 3 bulan boleh digunakan. Elakkan pengambilan magnesium oksida dan magnesium karbonat.
  • Untuk degupan jantung yang tidak teratur (arrhythmia): 2.163 mg magnesium-DL-hidrogen aspartate dan 2.162 mg kalium-DL-hydrogen aspartate yang diberikan setiap hari selama 21 hari.
  • Untuk sakit dada disebabkan arteri tersumbat: 800-1200 mg magnesium oksida yang diambil setiap hari selama 3 bulan.
  • Untuk diabetes: Untuk diabetes jenis 2, 2.5 gram magnesium klorida dalam larutan 50 ml setiap hari selama 16 minggu boleh digunakan. 300 mL air tasik garam dengan kandungan magnesium yang semula jadi tinggi, dicairkan dengan air suling yang mengandungi 100 mg magnesium setiap 100 mL air, digunakan setiap hari selama 30 hari. 360 mg magnesium setiap hari selama 4 hingga 16 minggu boleh digunakan. Untuk diabetes jenis 1, 300 mg suplemen magnesium glukonat (Ultramagnesium) setiap hari selama 5 tahun boleh digunakan.
  • Untuk fibromyalgia: Magnesium hidroksida ditambah asid malik (tablet Super Malic)boleh digunakan. 300 mg magnesium sitrat setiap hari selama 8 minggu juga boleh digunakan.
  • Untuk kehilangan pendengaran: 167 mg magnesium aspartat bercampur dengan 200 mL air limau , diambil setiap hari selama 8 minggu atau sebagai dos tunggal.
  • Untuk kolesterol tinggi: 1 gram magnesium oksida setiap hari selama 6 minggu.
  • Untuk sindrom metabolik: 365 mg produk magnesium aspartat tertentu (Magnesiocard) yang diambil setiap hari selama 6 bulan.
  • Untuk penyakit injap jantung ( prolaps injap mitral ): 1200-1800 mg magnesium karbonat yang diambil setiap hari selama 5 minggu.
  • Untuk osteoporosis: 300-1800 mg magnesium hidroksida yang diambil setiap hari selama 6 bulan, diikuti oleh 600 mg magnesium hidroksida yang diambil setiap hari selama 18 bulan. 1830 mg magnesium sitrat telah digunakan setiap hari selama 30 hari. Sebagai tambahan kepada estrogen, 600 mg magnesium ditambah dengan 500 mg kalsium dan multivitamin setiap hari selama satu tahun.
  • Sakit selepas pembedahan: Satu lozeng magnesium (Magnesium-Diasporal lozenge, Med Ilac, Istanbul, Turki) mengandungi 610 mg garam magnesium sitrat, diambil 30 minit sebelum pembedahan, telah digunakan.
  • Untuk sindrom prahaid (PMS): 333 mg magnesium oksida yang diambil setiap hari untuk dua kitaran haid telah digunakan. Satu dos yang lebih tinggi iaitu 360 mg unsur magnesium tiga kali sehari telah digunakan dari hari ke-15 kitaran haid sehingga tempoh haid bermula. 360 mg magnesium yang diambil tiga kali sehari selama 2 bulan telah digunakan. Gabungan 200 mg magnesium harian ditambah dengan 50 mg vitamin B6 setiap hari telah digunakan.

MELALUI INTRAVENA (IV):

  • Untuk kekurangan magnesium: Satu dos permulaan biasa untuk kekurangan ringan adalah 1 gram magnesium sulfat intraotot (IM) setiap 6 jam untuk 4 dos. Untuk kekurangan yang lebih teruk, 5 gram magnesium sulfat boleh diberikan melalui intravena (IV) selama 3 jam. Untuk mengelakkan kekurangan magnesium, orang dewasa biasanya menerima 60-96 mg magnesium setiap hari.
  • Untuk tekanan darah tinggi semasa kehamilan (pra-eklampsia dan eklampsia): 4-5 gram magnesium sulfat dengan suntikan IV, diikuti oleh 4-5 gram magnesium sulfat setiap 4 jam, atau 1 hingga 3 gram magnesium sulfat sejam dengan suntikan IV berterusan telah digunakan. Dos tidak boleh melebihi 30 hingga 40 gram magnesium sulfat setiap hari. Dos magnesium sulfat yang tinggi (9-14 gram) diikuti dengan dos yang lebih kecil (2.5-5 gram setiap 4 jam selama 24 jam) juga telah digunakan.
  • Untuk degupan jantung yang tidak teratur (torsades de pointes): 1 hingga 6 gram magnesium sulfat yang diberikan melalui IV selama beberapa minit, diikuti dengan infusi IV telah digunakan.
  • Untuk degupan jantung yang tidak teratur (aritmia): Untuk mengurangkan degupan jantung yang tidak teratur selepas serangan jantung, 8 gram magnesium sulfat dalam 250 ml larutan selama 12 jam telah digunakan. Untuk degupan jantung yang tidak teratur atau laju, infusi IV 5 gram magnesium sulfat dalam 100 mL larutan telah digunakan. Setengah dos diberikan lebih dari 20 minit, diikuti oleh bakinya selama 2 jam. Untuk denyutan jantung yang lebih cepat, dos IV tunggal 1-4 gram magnesium klorida yang diberikan selama 5 minit telah digunakan. Untuk degupan jantung yang tidak normal disebabkan oleh perentak jantung, 2 gram magnesium sulfat dalam 10 mL larutan telah diberikan melalui IV selama 1-10 minit, diikuti oleh 5-10 gram magnesium sulfat dalam 250-500 ml larutan selama 5 jam.
  • Untuk kesakitan yang disebabkan oleh kerosakan saraf yang dikaitkan dengan kanser: Dos tunggal 0.5-1 gram magnesium sulfat telah diberikan sebagai 1 mL atau 2 mL suntikan magnesium sulfat 50% selama 5-10 minit.
  • Untuk penyakit paru-paru yang dikenali sebagai penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD): 1.2 gram magnesium sulfat telah diberikan melalui IV selepas menggunakan alat sedut. 1.2-2 gram magnesium sulfat dalam larutan 100-150 ml selama lebih 20 minit telah digunakan.
  • Untuk sakit kepala kelompok: 1 gram magnesium sulfat selama 5 minit telah digunakan. Satu 1 gram dos magnesium sulfat juga telah digunakan.
  • Untuk kesakitan selepas histerektomi: 3 gram magnesium sulfat dalam larutan IV telah digunakan diikuti oleh 0.5 gram magnesium sulfat melalui IV per jam selama 20 jam.
  • Untuk kesakitan selepas pembedahan: 5-50 mg / kg magnesium melalui IV diikuti dengan larutan IV berterusan pada 6 mg / kg atau 500 mg setiap jam telah digunakan untuk tempoh pembedahan sehingga 48 jam. Juga 3.7-5.5 gram magnesium selain ubat sakit telah digunakan dalam tempoh 24 jam selepas pembedahan.
  • Untuk kesakitan dada akibat pengecutan pembuluh darah (vasospastic angina): 65 mg / kg berat badan magnesium yang diberikan oleh IV selama 20 minit telah digunakan.
  • Untuk penyakit lelah: Dos 1-2 gram magnesium sulfat telah diberikan lebih dari 20 hingga 30 minit. Satu dos 78 mg / kg / jam magnesium sulfat telah diberikan melalui IV semasa ujian, dan selama 30 minit sebelum ujian fungsi paru-paru.

DIBERIKAN SEBAGAI SUNTIKAN:

  • Untuk tekanan darah tinggi semasa kehamilan (pra-eklampsia dan eklampsia): 4 gram magnesium sulfat dicairkan dalam air garam lebih dari 10-15 minit kemudian diberikan secara intravena (oleh IV) diikuti oleh 5 gram magnesium sulfat yang disuntik ke setiap punggung, dan 2.5 atau 5 gram magnesium sulfat disuntik sebagai pukulan setiap 4 jam selama 24 jam telah digunakan.
  • Untuk sindrom keletihan kronik (CFS): Larutan yang mengandungi 1 gram magnesium sulfat telah diberikan sebagai suntikan sekali seminggu selama 6 minggu.

INHALASI:

  • Untuk penyakit paru-paru yang dikenali sebagai penyakit pulmonari kronik (COPD): 2.5 mg ubat salbutamol bersama-sama dengan 2.5 mL magnesium sulfat (151 mg setiap dos), disedut tiga kali pada selang 30 minit.

KANAK-KANAK

MELALUI MULUT:

  • Elaun Diet Harian yang Disyorkan (RDA) bagi magnesium adalah: Umur 1-3 tahun, 80 mg; 4-8 tahun, 130 mg; 9-13 tahun, 240 mg; 14-18 tahun, 410 mg (lelaki) dan 360 mg (perempuan). Bagi bayi kurang daripada umur satu tahun, tahap pengambilan yang mencukupi (AI) adalah 30 mg sejak kelahiran hingga 6 bulan dan 75 mg dari 7 hingga 12 bulan. Tahap atas pengambilan harian (UL) untuk magnesium adalah 65 mg untuk kanak-kanak berumur 1-3 tahun, dan 110 mg untuk 4-8 tahun.
  • Untuk fibrosis sista: 300 mg magnesium-glisina diambil setiap hari selama 8 minggu.

MELALUI IV:

  • Untuk penyakit lelah: 40 mg / kg magnesium sulfat, sehingga 2 gram maksimum, telah diberikan melalui IV dalam larutan 100 ml selama lebih 20 minit.
  • Dos untuk produk magnesium ini mungkin berbeza bagi setiap pesakit. Dos yang anda wajar ambil bergantung pada usia anda, tahap kesihatan, dan beberapa syarat lain. Suplemen herba tidak selalunya selamat. Sila berbincang dengan pakar herba anda atau doktor untuk dos yang sesuai.

Apakah bentuk penyediaan Magnesium?

Produk magnesium ini boleh didapati dalam bentuk dos penggunaan berikut:

  • Makanan yang tinggi serat. Sumber makanan yang mengandungi magnesium termasuklah kekacang, bijirin, sayur-sayuran (terutama brokoli, labu, dan sayur-sayuran berdaun hijau), dan kacang (terutamanya badam). Sumber-sumber lain termasuk produk tenusu, daging, coklat, dan kopi. Air dengan kandungan mineral yang tinggi, atau “air liat”, juga mengandungi sumber magnesium.
  • Magnesium dalam bentuk pil berkapsul.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: Mei 30, 2018 | Kali terakhir kemaskini: Mei 30, 2018

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut