Juniper

Oleh

Kegunaan

Apakah kegunaan Juniper ?

Juniper adalah sejenis pokok renek. Buahnya (beri) boleh digunakan sebagai ubat dan tersedia dalam bentuk ekstrak buah serta minyak pati. Jangan terkeliru antara minyak buah juniper dengan minyak cade yang disuling daripada kayu juniper (Juniperus oxycedrus).

Juniper digunakan untuk masalah penghadaman seperti sakit perut, gas penuh di dalam usus (flatulence), pedih ulu hati, kembung perut, kehilangan selera makan, jangkitan kuman dan cacing. Ia juga digunakan untuk merawat jangkitan pada saluran kencing (UTI) dan batu karang serta batu pundi kencing. Ada sesetengah orang pula menggunakan herba ini untuk merawat patukan ular, diabetes dan  kanser.

Selain itu, juniper juga boleh disapu terus pada kulit untuk merawat luka dan kesakitan pada sendi dan otot. Minyak pati juniper juga boleh disedut untuk merawat bronkitis dan kesakitan.

Beri juniper selalu digunakan di dalam makanan sebagai bahan perasa di dalam gin (sejenis minuman keras) dan persediaan makanan yang pahit. Ekstrak dan minyak pati juniper turut digunakan sebagai bahan perasa tambahan di dalam makanan dan minuman.

Dalam industri pembuatan pula, minyak juniper digunakan sebagai bahan  pewangi di dalam sabun dan alat kosmetik.

Alat-alat kosmetik yang menggunakan esktrak dan minyak juniper contohnya ialah, gincu, bedak asas, perapi rambut, minyak mandian, mandian buih, pembayang mata dan banyak lagi.

Bagaimanakah ia berfungsi?

Kajian tidak cukup tentang bagaimana suplemen herba ini berfungsi. Sila berbincang dengan doktor, ahli farmasi atau penjual herba untuk maklumat lanjut. Namun, juniper beri sememangnya diketahui mengandungi bahan  kimia yang boleh mengurangkan keradangan dan gas. Ia juga berkesan untuk menghapuskan bakteria dan virus. Selain itu, herba ini juga boleh meningkatkan kadar pembuangan air kecil.

Langkah berjaga-jaga & amaran

Apakah yang saya perlu tahu sebelum mengambil juniper?

Sebelum mengambil juniper, sila berunding dengan doktor, ahli farmasi atau penjual herba jika anda:

  • Anda sedang hamil atau menyusukan bayi. Ini adalah kerana anda hanya perlu mengambil ubat yang disyorkan oleh doktor sahaja ketika fasa ini
  • Anda sedang mengambil ubat-ubatan lain. Ini termasuk ubat yang boleh dibeli tanpa preskripsi dari doktor
  • Anda mempunyai alahan terhadap bahan dalam juniper atau ubat atau suplemen lain
  • Anda mempunyai penyakit atau keadaan kesihatan yang lain seperti fungsi sistem imun lemah
  • Anda mempunyai jenis alahan yang lain seperti terhadap makanan, pewarna, bahan pengawet atau haiwan

Kawalan terhadap suplemen herba adalah kurang ketat berbanding kawalan terhadap ubat. Banyak kajian diperlukan untuk menentukan keselamatannya. Manfaat dari pengambilan suplemen ini mesti mengatasi risikonya sebelum diambil. Sila berunding dengan doktor atau penjual herba untuk maklumat lanjut.

Adakah ia selamat digunakan?

Juniper, beri juniper dan ekstrak juniper adalah selamat digunakan apabila diambil di dalam jumlah makanan yang biasa.

Ia juga barangkali selamat digunakan untuk kebanyakan orang dewasa apabila diambil melalui mulut dengan dos ubat dalam jangka masa pendek, atau disedut sebagai wap, ataupun apabila disapu terus pada kulit.

Mengambil herba ini melalui mulut untuk tempoh masa yang panjang atau dengan dos yang tinggi barangkali tidak selamat

Langkah berjaga-jaga dan amaran khusus

Wanita hamil dan menyusukan bayi:  Penggunaan juniper sewaktu anda hamil atau merancang untuk hamil adalah tidak selamat.  Hal ini kerana, ia boleh memberi kesan kepada rahim yang boleh menjejaskan kesuburan dan mengakibatkan keguguran. Bagi wanita yang sedang menyusukan anak juga seeloknya menghindari pengambilan herba ini kerana masih banyak lagi yang tidak diketahui akan kesannya kepada bayi yang disusui.

Diabetes:  Ambil juniper dengan berhati-hati kerana ia boleh menurunkan paras gula dalam darah. Dibimbangi sekiranya diambil oleh pesakit yang menghidapi diabetes boleh menyebabkan paras gula terlalu rendah ke tahap yang merbahayakan pesakit.

Masalah perut dan usus:  Beri juniper boleh merengsakan perut dan usus menyebabkan masalah yang sedia ada bertambah teruk.

Tekanan darah tinggi dan tekanan darah rendah:  Beri juniper boleh menjejaskan tekanan darah dan menyebabkan kesukaran untuk mengawalnya.

Pembedahan:  Beri juniper boleh menjejaskan paras gula dalam darah dan menyukarkan kawalannya semasa dan selepas pembedahan. Berhenti mengambilnya sekurang-kurangnya dua minggu sebelum pembedahan yang dijadualkan.

Kesan sampingan

Apakah kesan sampingan pengambilan juniper?

Menyapu juniper terus pada kulit boleh mengakibatkan kesan sampingan seperti kerengsaan, kepanasan, kemerahan dan bengkak.  Elakkan penggunaannya pada luka yang besar.

Selain itu, pengambilan juniper melalui mulut untuk jangka masa panjang atau dengan dos yang tinggi boleh menyebabkan masalah ginjal, sawan dan lain-lain kesan sampingan yang serius

Tidak semua orang mengalami kesan sampingan ini. Mungkin terdapat beberapa kesan sampingan yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan mengenai kesan sampingan di atas, sila berjumpa doktor atau penjual herba anda.

Tindak balas ubat

Apakah tindak balas yang mungkin berlaku dengan juniper ?

Suplemen herba ini mempunyai tindak balas dengan ubat lain yang anda ambil dan keadaan kesihatan anda. Sila berunding dengan doktor atau ahli farmasi sebelum mengambilnya.

Produk yang mempunyai tindak balas dengan ubat ini termasuklah:

Ubat untuk merawat diabetes / kencing manis (Ubat anti-diabetes)

Juniper boleh merendahkan paras gula dalam darah sebagaimana ubat-ubat yang digunakan untuk merawat diabetes. Pengambilan herba ini bersama dengan ubat untuk diabetes boleh menyebabkan paras gula jatuh ke tahap yang merbahaya. Periksa paras gula anda dengan teliti ,sekiranya perlu, dos ubat untuk diabetes mungkin perlu diubah.

Ubat-ubat yang digunakan untuk merawat diabetes termasuklah glimepiride (Amaryl), glyburide (DiaBeta, Glynase PresTab, Micronase), insulin, pioglitazone (Actos), rosiglitazone (Avandia), chlorpropamide (Diabinese), glipizide (Glucotrol), tolbutamide (Orinase), dan lain-lain.

Pil air (Ubat diuretik)

Juniper boleh berfungsi seperti ‘pil air’ dengan meningkatkan penyingkiran air daripada tubuh badan. Mengambil herba ini bersama dengan ubat diuretik / pil air yang lain boleh menyebabkan tubuh badan kehilangan air terlalu banyak lalu mengakibatkan simptom-simptom seperti pening dan tekanan darah yang terlalu rendah.

Beberapa ubat diuretik / pil air yang biasa digunakan  termasuklah chlorothiazide (Diuril), chlorthalidone (Thalitone), furosemide (Lasix), hydrochlorothiazide (HCTZ, Hydrodiuril, Microzide), dan lain-lain.

Penggunaan / Dos

Maklumat yang diberikan tidak menggantikan nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor atau ahli farmasi anda sebelum menggunakan ubat ini.

Apakah dos juniper yang biasa digunakan?

Dos untuk suplemen herba ini mungkin berbeza bagi setiap orang. Dos yang anda ambil bergantung kepada umur, kesihatan dan beberapa keadaan lain. Suplemen tidak selalunya selamat. Sila berbincang dengan doktor atau ahli herba tentang dos yang sesuai.

Apakah bentuk ketersediaan juniper yang boleh didapati?

Ia boleh didapati dalam bentuk dan kekuatan berikut:

  • Suplemen pemakanan (kapsul)
  • Teh herba
  • Serbuk
  • Ekstrak cecair

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

enEnglish

Tarikh Reviu: Julai 26, 2018 | Kali terakhir kemaskini: Julai 26, 2018

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut