Iodine

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Kegunaan

Apakah kegunaan Iodine?

Iodine adalah sejenis bahan kimia. Tubuh badan kita memerlukan Iodine tetapi tidak dapat menghasilkannya. Oleh sebab itu, Iodine yang diperlukan mesti datang dari diet.

Iodine digunakan untuk mencegah kekurangan Iodine dan akibatnya, termasuk goiter. Ia juga digunakan untuk:

  • Mengubati penyakit kulit yang disebabkan oleh kulat (‘cutaneous sporotrichosis’).
  • Mengubati penyakit  fibrocystic payudara.
  • Mencegah kanser payudara, penyakit mata, diabetes, dan penyakit jantung dan strok.
  • Sebagai ‘ekspektoran’.

Iodine juga digunakan untuk  radiasi kecemasan, untuk melindungi kelenjar tiroid daripada iodid beradioaktif.

Iodine digunakan untuk kulit untuk membunuh kuman, mencegah kesakitan di dalam mulut (mucositis) yang disebabkan oleh kemoterapi, dan merawat ulser diabetik.

Iodine juga digunakan untuk pembersihan air.

Bagaimana ia berfungsi?

Tidak banyak kajian tentang bagaimana Iodine berfungsi. Sila berbincang dengan doktor untuk mendapatkan maklumat lanjut. Walau bagaimanapun, adalah diketahui bahawa Iodine dapat mengurangkan kadar hormon tiroid dan dapat membunuh kulat, bakteria, serta mikroorganisme lain seperti amoeba. Satu jenis Iodine tertentu yang dipanggil potassium iodide juga digunakan untuk merawat (tetapi bukan untuk menghalang) kesan kemalangan radioaktif.

Langkah berjaga-jaga & Amaran

Apa yang perlu saya tahu sebelum mengambil Iodine?

Sila berunding dengan doktor atau ahli farmasi anda, jika:

  • Anda mengandung atau menyusu badan. Ini kerana, semasa anda mengandung atau menyusukan bayi, anda hanya perlu mengambil ubat-ubatan atas cadangan doktor.
  • Anda mengambil apa-apa ubat lain. Ini termasuk ubatan yang anda ambil yang boleh didapati tanpa preskripsi, seperti ubat-ubatan herba dan supplemen.
  • Anda mempunyai alahan dengan apa-apa bahan Iodine atau ubat lain atau herba lain.
  • Anda mempunyai sebarang penyakit, gangguan, atau keadaan perubatan yang lain.
  • Anda mempunyai apa-apa jenis alahan lain, seperti makanan, pewarna, pengawet, atau haiwan.

Peraturan bagi pengambilan  suplemen adalah kurang ketat berbanding dengan peraturan bagi pengambilan ubat. Lebih banyak kajian diperlukan untuk menentukan keselamatannya. Kebaikan mengambil suplemen ini mestilah melebihi risikonya sebelum digunakan. Rujuklah dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Adakah Iodine selamat digunakan?

Iodine mungkin selamat untuk kebanyakan orang apabila diambil melalui mulut pada jumlah yang disyorkan atau apabila digunakan pada kulit dengan betul menggunakan produk yang diluluskan.

Penggunaan Iodine dalam jumlah yang besar atau dalam jangka masa panjang mungkin tidak selamat. Orang dewasa harus mengelakkan penggunaan dos yang lebih daripada 1100 mcg sehari dalam jangka masa yang lama (had maksimum yang boleh diterima, UL) tanpa pengawasan yang sewajarnya oleh pegawai perubatan. Bagi kanak-kanak, dos tidak boleh melebihi 200 mcg sehari untuk kanak-kanak yang berumur 1 hingga 3 tahun, 300 mcg sehari untuk kanak-kanak dari 4 hingga 8 tahun, 600 mcg sehari untuk kanak-kanak yang berumur 9 hingga 13 tahun, dan 900 mcg sehari untuk remaja. Ini adalah had maksimum yang boleh diterima (UL).

Langkah berjaga-jaga dan amaran

Kehamilan dan menyusu badan: Iodine mungkin selamat apabila diambil melalui mulut dalam jumlah yang disyorkan atau apabila digunakan pada kulit dengan betul menggunakan produk yang diluluskan (solusi 2%). Iodine mungkin tidak selamat apabila diambil melalui mulut dalam dos yang tinggi.

Jangan mengambil lebih daripada 1100 mcg Iodine setiap hari jika anda berusia lebih daripada 18 tahun; jangan mengambil lebih daripada 900 mcg Iodine setiap hari jika anda berusia 14 hingga 18 tahun. Pengambilan yang lebih tinggi mungkin menyebabkan masalah tiroid.

Penyakit tiroid autoimun: Orang yang menghidapi penyakit tiroid autoimun mungkin sangat sensitif terhadap kesan sampingan iodin.

Dermatitis herpetiformis: Mengambil Iodine boleh menyebabkan ruam ini menjadi lebih teruk.

Gangguan tiroid, seperti fungsi tiroid terlalu lemah (hypothyroidism), kelenjar tiroid yang membesar (goiter), atau ketumbuhan tiroid: Penggunaan dalam jangka masa panjang atau dos Iodine yang tinggi mungkin membuat semua keadaan ini menjadi lebih teruk.

Kesan Sampingan

Apakah kesan sampingan pengambilan Iodine?

Iodine boleh menyebabkan kesan sampingan yang ketara kepada sesetengah orang. Kesan sampingan yang biasa termasuk rasa mual dan sakit perut, hidung berair, sakit kepala, rasa metalik di lidah, dan cirit-birit.

Dalam kalangan orang yang sensitif, Iodine boleh menyebabkan kesan sampingan termasuk bengkak pada bibir dan muka (angioedema), pendarahan teruk dan lebam, demam, sakit sendi, pembesaran kelenjar limfa, reaksi alahan termasuk gatal-gatal, dan kematian.

Dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa, terdapat kebimbangan bahawa pengambilan yang lebih tinggi boleh meningkatkan risiko kesan sampingan seperti masalah tiroid. Iodine dalam jumlah yang lebih besar boleh menyebabkan rasa metalik di lidah, rasa sakit gigi dan gusi, pedih di dalam mulut dan tekak, air liur banyak, radang tekak, sakit perut, cirit-birit, badan susut, kemurungan, masalah kulit, dan banyak lagi kesan sampingan.

Apabila Iodine digunakan secara langsung pada kulit, ia boleh menyebabkan kerengsaan kulit, kesan kotoran pada kulit, reaksi alergi, dan kesan sampingan yang lain. Berhati-hati supaya tidak membalut atau menutup kawasan yang telah dirawat dengan Iodine untuk mengelakkan kulit terbakar.

Tidak semua orang mengalami kesan sampingan ini. Mungkin terdapat beberapa kesan sampingan yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan mengenai kesan sampingan di atas, sila berjumpa pakar herba atau doktor anda.

Tindak balas

Apakah tindakbalas yang boleh saya alami dengan Iodine?

Iodine boleh berinteraksi dengan ubat-ubatan  atau keadaan perubatan anda. Rujuklah dengan doktor anda sebelum menggunakannya.

Produk yang boleh berinteraksi dengan Iodine termasuk:

  • Ubat antitiroid.

Iodine boleh menjejaskan tiroid. Mengambil Iodine bersama-sama dengan ubat-ubatan untuk tiroid yang terlalu aktif mungkin akan mengurangkan fungsi tiroid. Jangan mengambil makanan tambahan Iodine jika anda mengambil ubat untuk tiroid yang terlalu aktif.
Antara ubat-ubatan ini termasuk methenamine mandelate (Methimazole), methimazole (Tapazole), potassium iodide (Thyro-Block), dan lain-lain.

  • Amiodarone

Amiodarone (Cordarone) mengandungi Iodine. Mengambil makanan tambahan Iodine bersama dengan amiodarone (Cordarone) mungkin menyebabkan terlalu banyak Iodine dalam darah. Terlalu banyak Iodine dalam darah boleh menyebabkan kesan sampingan yang akan mempengaruhi tiroid.

  • Lithium

Lithium boleh menghalang fungsi tiroid. Penggunaannya bersama dengan Iodine mungkin mempunyai kesan hipotiroid atau sinergis (17574,20754). Pantau fungsi tiroid.

  • ACE inhibitors

Sesetengah ubat untuk tekanan darah tinggi dapat mengurangkan kecepatan tubuh menghilangkan potassium. Kebanyakan makanan tambahan iodide mengandungi potassium. Pengambilan potassium iodide bersama-sama dengan beberapa ubat untuk tekanan darah tinggi mungkin menyebabkan terlalu banyak potassium dalam badan. Jangan ambil potassium iodide jika anda mengambil ubat untuk tekanan darah tinggi.

Beberapa ubat untuk tekanan darah tinggi termasuk captopril (Capoten), enalapril (Vasotec), lisinopril (Prinivil, Zestril), ramipril (Altace), dan lain-lain.

  • Angiotensin receptor blockers (ARBs)

Sesetengah ubat untuk tekanan darah tinggi dapat mengurangkan kecepatan tubuh menghilangkan potassium. Kebanyakan makanan tambahan iodide mengandungi potassium. Pengambilan potassium iodide bersama-sama dengan beberapa ubat untuk tekanan darah tinggi mungkin menyebabkan terlalu banyak potassium dalam badan. Jangan ambil potassium iodide jika anda mengambil ubat untuk tekanan darah tinggi.

ARB termasuk losartan (Cozaar), valsartan (Diovan), irbesartan (Avapro), candesartan (Atacand), telmisartan (Micardis), dan eprosartan (Teveten).

  • Potassium-sparing diuretics

Makanan tambahan Iodine mengandungi potassium. Sesetengah “pil air” mungkin juga meningkatkan kandungan potassium dalam badan. Mengambil potassium iodide bersama-sama dengan beberapa “pil air” mungkin menyebabkan terlalu banyak potassium berada di dalam badan. Oleh itu, janganlah mengambil potassium iodide jika anda mengambil “pil air” yang meningkatkan kandungan potassium dalam badan.

Sesetengah “pil air” yang meningkatkan kandungan potassium dalam badan termasuk spironolactone (Aldactone), triamterene (Dyrenium), dan amilorida (Midamor).

Penggunaan /Dos

Maklumat yang diberikan tidak menggantikan nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor atau pakar herba anda sebelum menggunakan ubat ini

Apakah dos Iodine yang biasa digunakan?

Dos yang berikut telah dikaji dalam penyelidikan saintifik:

Melalui mulut:

Untuk kecemasan radiasi: potassium iodide (KI) perlu diambil sebelum, atau secepat mungkin selepas pendedahan. Sinaran radiasi adalah yang paling berbahaya kepada wanita hamil dan menyusu bayi serta kanak-kanak, jadi KI perlu dilaraskan mengikut jumlah pendedahan radiasi dan umur. Pendedahan radiasi diukur dalam centigrays (cGy). Bagi bayi, kanak-kanak, remaja, dan wanita hamil atau sedang menyusu, KI diberikan jika pendedahan radiasi adalah 5 sentimeter (cGy) atau lebih. Tablet boleh dihancurkan dan dicampur dengan jus buah, jem, susu, dan sebagainya.

  • Untuk kelahiran sehingga 1 bulan, dos adalah 16 mg KI;
  • Bagi bayi dan kanak-kanak lebih dari 1 bulan hingga 3 tahun, 32 mg;
  • Untuk kanak-kanak 3 hingga 12 tahun, 65 mg;
  • Bagi remaja 12 hingga 18 tahun, 65 mg atau 120 mg jika remaja menghampiri saiz orang dewasa;
  • Bagi wanita hamil atau menyusu, 120 mg.
  • Bagi orang dewasa 18 hingga 40 tahun dengan pendedahan kepada 10 cGy atau lebih, 130 mg KI diberikan.
  • Bagi orang dewasa lebih daripada 40 tahun dengan pendedahan kepada 500 cGy atau lebih, 130 mg KI diberikan.

Pengambilan cukup (AI) Iodine untuk bayi: 0 hingga 6 bulan, 110 mcg / hari; 7 hingga 12 bulan, 130 mcg / hari.

Bagi kanak-kanak dan orang dewasa, Jumlah Diet Disyorkan (RDA) telah ditetapkan: kanak-kanak 1 hingga 8 tahun, 90 mcg / hari; 9 hingga 13 tahun, 120 mcg / hari; mereka yang berumur 14 tahun ke atas, 150 mcg / hari. Bagi wanita hamil, RDA adalah 209 mcg / hari, dan wanita menyusu, 290 mcg / hari.

Tahap Pengambilan Atas Tolerasi (UL), tahap pengambilan tertinggi yang tidak menyebabkan kesan sampingan, untuk pengambilan iodine telah ditetapkan: kanak-kanak 1 hingga 3 tahun, 200 mcg / hari; 4 hingga 8 tahun, 300 mcg / hari; 9 hingga 13 tahun, 600 mcg / hari; 14 hingga 18 tahun (termasuk kehamilan dan menyusu), 900 mcg / hari. Bagi orang dewasa lebih tua daripada umur 19 tahun termasuk wanita hamil dan menyusu, Tahap Pengambilan Tinggi Toleransi adalah 1100 mcg / hari.

Dos untuk  Iodine mungkin berbeza untuk setiap pesakit. Dos yang anda ambil bergantung pada usia anda, kesihatan, dan beberapa syarat lain. Malahan pula, suplemen tambahan tidak selalunya selamat. Sila berbincang dengan doktor anda untuk mengetahui dos yang sesuai untuk anda.

Apakah bentuk penyediaan Iodine?

Iodine boleh didapati dalam bentuk dos berikut:

  • Supplemen Potassium Iodine 150 mcg
  • titisan cecair Iodine potensi tinggi

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

enEnglish

Tarikh Reviu: Mei 25, 2018 | Kali terakhir kemaskini: Mei 27, 2018

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut