Butterbur

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Kegunaan

Apakah kegunaan Butterbur?

Butterbur adalah sejenis herba. Biasanya daun, akar, dan bebawangnya digunakan untuk menghasilkan ubat.

Butterbur digunakan untuk kesakitan, sakit perut, ulser perut, migrain dan sakit kepala yang lain, batuk berterusan, menggigil, keresahan, wabak, demam, masalah tidur (insomnia), batuk kokol, asma, demam alahan (resdung), kerengsaan pundi,dan kekejangan saluran kencing. Butterbur juga digunakan untuk merangsang selera makan.

Sesetengah orang menyapu butterbur pada kulit untuk membantu penyembuhan luka.

Bagaimana ia berfungsi?

Tidak banyak kajian tentang bagaimana suplemen herba ini berfungsi. Sila berbincang dengan pakar herba anda atau doktor untuk maklumat lanjut. Walau bagaimanapun, diketahui bahawa butterbur mengandungi bahan kimia yang boleh melegakan kekejangan dan mengurangkan bengkak (keradangan).

Langkah berjaga-jaga & Amaran

Apa yang perlu saya tahu sebelum mengambil Butterbur?

Berunding dengan doktor atau ahli farmasi atau penjual herba anda, jika:

  • Anda hamil atau menyusu. Ini kerana, semasa anda mengandung atau menyusukan bayi, anda hanya boleh mengambil ubat-ubatan atas cadangan doktor.
  • Anda mengambil apa-apa ubat lain. Ini termasuk apa-apa ubat yang anda ambil yang boleh dibeli tanpa preskripsi.
  • Anda mempunyai alahan dengan apa-apa bahan yang terkandung dalam butterbur atau ubat-ubatan lain atau herba lain.
  • Anda mempunyai sebarang penyakit, gangguan, atau keadaan perubatan yang lain.
  • Anda mempunyai apa-apa jenis alahan lain, seperti alahan kepada makanan, pewarna, pengawet, atau haiwan.

Kawalan (regulasi) bagi suplemen herba kurang ketat daripada kawalan untuk ubat-ubatan. Lebih banyak kajian diperlukan untuk menentukan keselamatannya. Faedah mengambil suplemen herba ini mestilah melebihi risikonya sebelum digunakan. Rujuk dengan pakar herba anda atau doktor untuk maklumat lanjut.

Adakah Butterbur selamat digunakan?

Produk Butterbur yang mengandungi alkaloid pyrrolizidine (PAs) tidak selamat apabila diambil melalui mulut atau disapu di atas kulit pecah. Kulit yang pecah membolehkan bahan kimia diserap ke dalam badan. Jangan gunakan produk butterbur melainkan jika produk tersebut diperakui dan dilabel sebagai bebas-PA.

Produk butterbur bebas-PA mungkin selamat untuk orang dewasa dan kanak-kanak apabila diambil melalui mulut dengan sewajarnya. Ekstrak akar bebas-PA dilihat selamat apabila digunakan sehingga 16 minggu pada orang dewasa. Terdapat beberapa bukti bahawa ekstrak butterbur bebas-PA (Petadolex, Weber & Weber, GmbH & Co, Jerman) boleh digunakan dengan selamat pada kanak-kanak berumur 6-17 tahun sehingga 4 bulan.

Tiada maklumat mencukupi yang diketahui tentang keselamatan menggunakan produk butterbur bebas-PA pada kulit yang pecah. Jangan gunakannya.

Langkah berjaga-jaga & amaran khas

Kehamilan dan menyusu: Mengambil butterbur melalui mulut mungkin tidak selamat. Persediaan Butterbur yang mengandung alkaloid pyrrolizidine (PA) mungkin menyebabkan kecacatan kelahiran dan kerosakan hati. Tiada maklumat yang cukup diketahui tentang keselamatan menggunakan produk butterbur yang tidak mengandungi PA semasa mengandung atau menyusukan anak. Jangan gunakannya.

Alahan kepada ragweed dan tumbuhan yang berkaitan dengannya: Butterbur boleh menyebabkan reaksi alahan bagi orang yang sensitif terhadap kumpulan keluarga Asteraceae / Compositae. Ahli keluarga ini termasuk ragweed, kekwa, marigold, daisi, dan banyak lagi. Jika anda mempunyai alahan, pastikan anda menyemak dengan penyedia penjagaan kesihatan anda sebelum mengambil butterbur.

Penyakit hati: Terdapat sedikit kebimbangan bahawa butterbur mungkin menyebabkan penyakit hati menjadi lebih teruk. Jangan ambil.

Kesan Sampingan

Apakah kesan sampingan pengambilan Butterbur?

Butterbur boleh menyebabkan sendawa, sakit kepala, gatal mata, cirit-birit, asma, sakit perut, keletihan, dan mengantuk. Walau bagaimanapun, butterbur dilihat kurang menyebabkan mengantuk dan keletihan jika dibandingkan dengan cetirizine (Zyrtec). Produk-produk Butterbur mungkin menyebabkan tindak balas alahan pada orang yang alah kepada ragweed, marigold, daisi, dan herba lain yang berkaitan.

Sesetengah produk butterbur mungkin mengandungi alkaloid pyrrolizidine (PA) yang boleh merosakkan hati, paru-paru, dan peredaran darah, dan mungkin menyebabkan kanser.

Tidak semua orang mengalami kesan sampingan ini. Mungkin terdapat beberapa kesan sampingan yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan mengenai kesan sampingan di atas, sila berjumpa pakar herba atau doktor anda.

Tindak balas

Apakah tindakbalas yang boleh saya alami dengan Butterbur?

Produk yang boleh bertindak balas dengan butterbur termasuk ubat-ubatan yang meningkatkan penguraian ubat lain oleh hati (Cytochrome P450 3A4 (CYP3A4) induser).

Butterbur diuraikan oleh hati. Sesetengah bahan kimia yang terbentuk apabila hati menguraikan butterbur boleh membahayakan. Ubat-ubatan yang menyebabkan hati menguraikan butterbur dapat meningkatkan kesan toksik bahan kimia yang terdapat dalam butterbur.

Antara ubat-ubatan ini termasuk carbamazepine (Tegretol), phenobarbital, phenytoin (Dilantin), rifampin, rifabutin (Mycobutin), dan lain-lain.

butterbur mungkin mempunyai tindak balas terhadap keadaan kesihatan dan ubat yang anda sedang ambil. Sila rujuk kepada pakar kesihatan sebelum menggunakannya.

Penggunaan /Dos

Maklumat yang diberikan tidak menggantikan nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor atau pakar herba anda sebelum menggunakan ubat ini

Apakah dos Butterbur yang biasa digunakan?

Dos yang berikut telah dikaji dalam penyelidikan saintifik:

MELALUI MULUT:

  • Untuk mencegah sakit kepala migrain: ekstrak rizom butterbur tertentu (Petadolex, Weber & Weber, GmbH & Co, Jerman) telah digunakan dalam dos 50 hingga 100 mg dua kali sehari dengan makanan. Dos yang tinggi dilihat lebih baik. Dos yang lebih rendah sebanyak 50 mg dua kali sehari mungkin tidak berkesan pada orang dewasa. Sesetengah penyelidik mencadangkan mengambil ekstrak selama 4-6 bulan, kemudian menurunkan dos dari masa ke masa sehingga migrain mula meningkat lagi. Itu adalah dos yang disyorkan. Bagi kanak-kanak 6-9 tahun dengan migrain, dos 25 mg dua kali sehari telah digunakan; 50 mg dua kali sehari telah digunakan bagi kanak-kanak yang lebih tua. Dos tiga kali sehari telah digunakan pada kanak-kanak yang tidak bertindak balas terhadap dos dua kali sehari.
  • Untuk demam alahan (resdung): ekstrak butterbur tertentu (ZE 339, Zeller AG) satu tablet 3-4 kali sehari telah digunakan. Ekstrak keseluruhan akar butterbur (Petaforce) dalam dos 50 mg dua kali sehari juga telah digunakan untuk demam alahan.

Dos untuk butterbur mungkin berbeza untuk setiap pesakit. Dos yang anda ambil bergantung pada usia anda, kesihatan, dan beberapa keadaan lain. Suplemen herba tidak selalunya selamat. Sila berbincang dengan pakar herba anda atau doktor untuk dos yang sesuai.

Apakah bentuk penyediaan Butterbur?

Butterbur boleh didapati dalam bentuk dos berikut:

  • Serbuk
  • Ekstrak cecair
  • Tinktur (bahan perubatan yang dilarutkan dalam alkohol)
  • Suplemen diet (kapsul)

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: April 16, 2018 | Kali terakhir kemaskini: April 16, 2018

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut