Borage

Oleh

Kegunaan

Apakah kegunaan Borage?

Borage adalah sejenis tumbuhan. Bunga dan daunnya, serta minyak dari benihnya digunakan sebagai ubat.

Minyak biji Borage digunakan untuk:

  • Masalah kulit termasuk ekzema, dermatitis seborea, dan neurodermatitis.
  • Artritis Reumatoid (RA).
  • Tekanan.
  • Sindrom Prahaid (PMS).
  • Diabetes.
  • Kecelaruan hiperaktif kurang daya tumpuan (ADHD).
  • Sindrom kesukaran pernafasan akut (ARDS).
  • Ketagihan alkohol.
  • Sakit dan bengkak (keradangan).
  • Mencegah penyakit jantung dan strok.

Bunga dan daun Borage pula digunakan untuk:

  • Demam.
  • Batuk
  • Kemurungan.

Selain itu, Borage juga digunakan untuk:

  • Kekurangan adrenal.
  • Pembersihan darah.
  • Meningkatkan aliran air kencing.
  • Mencegah keradangan paru-paru.
  • Sebagai sedatif.
  • Menggalakkan berpeluh.
  • Meningkatkan pengeluaran susu ibu.
  • Merawat bronkitis dan selesema.

Borage digunakan pada kulit untuk dermatitis seborea pada bayi dan juga digunakan dalam kain balutan untuk melembutkan kulit.

Dalam hidangan makanan, Borage biasanya dimakan dalam salad dan sup.

Dalam industri pembuatan, Borage digunakan dalam produk-produk penjagaan kulit.

Bagaimana ia berfungsi?

Tiada kajian yang mencukupi tentang bagaimana suplemen herba ini berfungsi. Sila berbincang dengan pakar herba anda atau doktor untuk maklumat lanjut. Walau bagaimanapun, adalah diketahui bahawa minyak Borage mengandungi asid lemak yang dipanggil asid gamma-linolenic (GLA). GLA didapati mempunyai kesan anti-radang. Bunga Borage pula mungkin mempunyai kesan antioksidan.

Langkah berjaga-jaga & Amaran

Apa yang perlu saya tahu sebelum mengambil Borage?

Sebelum menggunakan ubat ini, sila maklumkan kepada doktor anda jika:

  • Anda mengandung, merancang untuk hamil atau menyusu badan.
  • Anda mengambil apa-apa ubat lain. Ini termasuk ubatan yang boleh didapati tanpa preskripsi, seperti ubat-ubatan herba dan suplemen.
  • Anda mempunyai alahan dengan mana-mana bahan daripada Borage atau ubatan farmasi mahupun herba yang lain.
  • Anda mempunyai sebarang penyakit, gangguan, atau keadaan perubatan yang lain.
  • Anda mempunyai alahan dengan apa-apa makanan, pewarna, pengawet atau mana-mana haiwan.

Peraturan bagi pengambilan suplemen herba kurang ketat berbanding peraturan bagi pengambilan ubat. Lebih banyak kajian diperlukan untuk menentukan tahap keselamatannya. Manfaat dalam mengambil suplemen herba ini mestilah dipastikan melebihi risiko pengambilannya sebelum ia digunakan. Sila berunding dengan pakar herba anda atau doktor untuk maklumat lanjut.

Adakah Borage selamat digunakan?

Minyak biji Borage mungkin selamat untuk diambil melalui mulut atau digunakan pada kulit dengan sewajarnya.

Minyak biji Borage mungkin tidak selamat diambil apabila produk yang turut mengandungi bahan kimia berbahaya yang dipanggil alkaloid pyrrolizidine (PA) diambil melalui mulut. Gunakan produk yang hanya diperakui dan dilabel tidak mengandungi PA.

Peringatan dan amaran khusus

Kanak-kanak: Minyak biji Borage mungkin selamat apabila diambil melalui mulut dengan sewajarnya. Minyak biji Borage mungkin tidak selamat apabila produk yang turut mengandungi PA diambil melalui mulut.

Kehamilan dan penyusuan susu: Minyak biji Borage mungkin tidak selamat diambil semasa kehamilan dan menyusu. Adalah penting untuk mengelakkan produk borage yang mungkin mengandungi alkaloid pyrrolizidine (PA). PA adalah risiko kepada para ibu kerana ia boleh menyebabkan penyakit hati yang serius dan mungkin menyebabkan kanser. PA juga berisiko kepada bayi kerana ia berpotensi menyebabkan kecacatan sejak lahir dan ia boleh disebarkan melalui susu ibu. Para pengkaji masih belum pasti jika produk borage yang disahkan bebas PA adalah selamat diambil semasa kehamilan dan menyusu. Adalah lebih baik untuk ambil jalan selamat dan elakkan menggunakan produk borage.

Gangguan pendarahan: Terdapat kebimbangan bahawa minyak biji borage mungkin akan memanjangkan masa pendarahan serta meningkatkan risiko lebam dan pendarahan. Sekiranya anda mengalami masalah pendarahan, gunakan produk borage dengan berhati-hati.

Penyakit hati: Produk borage yang mengandung alkaloid pyrrolizidine (PA) yang hepatotoksik mungkin menyebabkan penyakit hati menjadi lebih teruk.

Pembedahan: Borage mungkin meningkatkan risiko pendarahan semasa dan selepas pembedahan. Hentikan pengambilan borage sekurang-kurangnya dua (2) minggu sebelum pembedahan yang dijadualkan.

Kesan Sampingan

Apakah kesan sampingan pengambilan Borage?

Kesan sampingan mungkin termasuk:

  • Najis/tinja yang lembut / cair.
  • Cirit-birit.
  • Sendawa dengan banyak.
  • Perut kembung.

Selain itu, bahagian tumbuhan borage iaitu daun, bunga, dan biji benihnya boleh mengandungi PA. PA boleh merosakkan hati atau menyebabkan kanser, terutamanya apabila digunakan dalam dos yang tinggi atau untuk masa yang lama.

Tidak semua orang mengalami kesan sampingan ini. Mungkin terdapat beberapa kesan sampingan yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan mengenai kesan sampingan di atas, sila berjumpa pakar herba atau doktor anda.

Tindak balas

Apakah tindakbalas yang boleh saya alami dengan Borage?

Borage mungkin mempunyai tindak balas terhadap keadaan kesihatan dan ubat yang anda sedang ambil. Sila rujuk kepada pakar kesihatan sebelum menggunakannya.

Produk boleh berinteraksi dengan borage termasuklah:

  • Ubat yang meningkatkan penguraian ubat-ubatan lain oleh hati (Cytochrome P450 3A4 – CYP3A4 inducers).

Bahan dalam borage akan diuraikan oleh hati. Sesetengah bahan kimia yang terbentuk apabila hati menguraikan minyak biji borage adalah berbahaya. Ubatan yang menyebabkan hati menguraikan minyak ini berupaya meningkatkan kesan-kesan toksik bahan kimia yang terkandung dalam minyak biji borage tersebut.

Antara ubat-ubatan ini termasuklah carbamazepine (Tegretol), phenobarbital, phenytoin (Dilantin), rifampin, rifabutin (Mycobutin), dan lain-lain.

  • Ubat-ubatan yang memperlambat pembekuan darah (ubatan antigumpal – anticoagulant / antiplatelet).

Minyak biji borage mungkin melambatkan pembekuan darah. Mengambil minyak ini bersama-sama dengan ubat-ubatan yang turut memperlahankan pembekuan darah mungkin akan meningkatkan risiko menjadi lebam dan pendarahan.

Minyak biji borage mengandungi GLA (gamma linolenic acid). GLA adalah sebahagian daripada bahan minyak ini yang mungkin akan melambatkan pembekuan darah.

Beberapa ubatan yang melambatkan pembekuan darah pula termasuklah aspirin, clopidogrel (Plavix), diclofenac (Voltaren, Cataflam, yang lain), ibuprofen (Advil, Motrin, yang lain), naproxen (Anaprox, Naprosyn, , heparin, warfarin (Coumadin), dan lain-lain.

  • Ubat-ubatan yang digunakan semasa pembedahan (Anestesia)

Minyak biji borage mungkin akan bertindak balas dengan ubatan yang digunakan semasa pembedahan. Pastikan anda memaklumkan kepada doktor tentang produk semula jadi yang anda ambil sebelum menjalani pembedahan. Untuk mengambil jalan yang selamat, anda harus berhenti mengambil minyak biji borage sekurang-kurangnya dua minggu sebelum pembedahan.

  • NSAID (ubat anti-radang bukan steroid).

NSAID adalah ubatan anti-radang yang digunakan untuk mengurangkan kesakitan dan pembengkakan. Minyak biji borage juga digunakan sebagai ubat anti-radang. Kadangkala NSAIDs dan minyak ini digunakan bersama untuk artritis reumatoid. Tetapi minyak biji borage kelihatan berfungsi dengan cara yang berbeza daripada ubatan NSAID. Sesetengah saintis berpendapat bahawa mengambil NSAID bersama minyak biji borage mungkin akan mengurangkan keberkesanan minyak ini. Tetapi masih terlalu awal untuk mengetahui sama ada hal ini benar atau tidak.

Sesetengah ubatan NSAID termasuklah ibuprofen indomethacin, naproxen, piroxicam, aspirin, dan lain-lain.

Penggunaan /Dos

Maklumat yang diberikan tidak menggantikan nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor atau pakar herba anda sebelum menggunakan ubat ini

Apakah dos Borage yang biasa digunakan?

Dos yang berikut telah dikaji dalam penyelidikan saintifik:

MELALUI MULUT:

Untuk artritis reumatoid (RA): 1.1 atau 1.4 gram minyak biji borage setiap hari sehingga 24 minggu.

Dos untuk produk borage ini mungkin berbeza bagi setiap pesakit. Dos yang anda wajar ambil bergantung pada usia anda, tahap kesihatan, dan beberapa syarat lain. Suplemen herba tidak selalunya selamat. Sila berbincang dengan pakar herba anda atau doktor untuk dos yang sesuai.

Apakah bentuk penyediaan Borage?

Suplemen herba ini boleh didapati dalam bentuk dos penggunaan berikut:

  • Bunga.
  • Minyak organik.
  • Suplemen makanan.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan

Tarikh Reviu: Mei 24, 2018 | Kali terakhir kemaskini: Mei 24, 2018

Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.