Beri Biru

Oleh

Kegunaan

Apakah kegunaan Beri Biru?

Beri Biru adalah sejenis tumbuhan. Biasanya orang menggunakan buah dan daunnya untuk membuat ubat.

Ia digunakan untuk:

  • Mencegah katarak dan glaukoma.
  • Mengubati penyakit ulser, jangkitan saluran kencing (UTI), sklerosis berbilang (multiple sclerosis – MS), sindrom keletihan kronik (CFS), perut kembung, demam, vena varikos, dan buasir.
  • Membantu peredaran darah.
  • Sebagai julap.

Sesetengah wanita menggunakan Beri Biru untuk meredakan kesakitan sewaktu bersalin dan sebagai tonik selepas keguguran.

Buah dan daun Beri Biru yang kering digunakan untuk cirit-birit.

Teh yang dibuat daripada daun Beri Biru yang kering digunakan untuk sakit tekak dan bengkak (keradangan) pada mulut atau lapisan kulit tekak.

Penyedia penjagaan kesihatan telah menggunakan jus Beri Biru sebagai agen kontras dalam pengimejan resonans magnetik (MRI). Ejen kontras membolehkan pakar radiologi melihat dan mentafsir imej imbasan yang terhasil.

Sesetengah orang menyedut asap pembakaran bunga Beri Biru kering untuk rawatan kegilaan.

Bagaimana ia berfungsi?

Tiada kajian yang mencukupi tentang bagaimana suplemen herba ini berfungsi. Sila berbincang dengan pakar herba anda atau doktor untuk maklumat lanjut. Walau bagaimanapun, adalah diketahui bahawa Beri Biru, seperti kerabatnya Kranberi, boleh membantu mencegah jangkitan pundi kencing dengan menghalang bakteria daripada melekat pada dinding pundi kencing. Buah Beri Biru didapati mengandungi serat yang tinggi yang boleh membantu fungsi pencernaan yang normal. Ia juga mengandungi vitamin C dan antioksidan lain.

Langkah berjaga-jaga & Amaran

Apa yang perlu saya tahu sebelum mengambil Beri Biru?

Sebelum menggunakan ubat ini, sila maklumkan kepada doktor anda jika:

  • Anda mengandung, merancang untuk hamil atau menyusu badan.
  • Anda mengambil apa-apa ubat lain. Ini termasuk ubatan yang boleh didapati tanpa preskripsi, seperti ubat-ubatan herba dan suplemen.
  • Anda mempunyai alahan dengan mana-mana bahan daripada Beri Biru atau ubatan farmasi mahupun herba yang lain.
  • Anda mempunyai sebarang penyakit, gangguan, atau keadaan perubatan yang lain.
  • Anda mempunyai alahan dengan apa-apa makanan, pewarna, pengawet atau mana-mana haiwan.

Peraturan bagi pengambilan suplemen herba kurang ketat berbanding peraturan bagi pengambilan ubat. Lebih banyak kajian diperlukan untuk menentukan tahap keselamatannya. Manfaat dalam mengambil suplemen herba ini mestilah dipastikan melebihi risiko pengambilannya sebelum ia digunakan. Sila berunding dengan pakar herba anda atau doktor untuk maklumat lanjut.

Adakah Beri Biru selamat digunakan?

Buah Beri Biru mungkin selamat untuk kebanyakan orang apabila dimakan dalam jumlah makanan biasa. Tiada maklumat yang diiktiraf mengenai tahap keselamatan mengambil daun Beri Biru melalui mulut. Adalah lebih baik untuk mengelakkan pengambilan daunnya.

Peringatan dan amaran khusus

Kehamilan dan menyusu: Buah Beri Biru mungkin selamat apabila digunakan dalam jumlah yang biasa dijumpai dalam makanan. Tetapi masih belum cukup maklumat diketahui tentang tahap keselamatan apabila jumlah yang lebih besar yang digunakan untuk ubat. Kekal pada jumlah yang ada pada makanan normal jika anda sedang hamil atau menyusu.

Diabetes: Beri Biru mungkin menurunkan kadar gula darah pada orang yang menghidap diabetes. Perhatikan tanda-tanda paras gula dalam darah yang rendah (hipoglisemia) dan pantau paras gula darah anda dengan teliti jika anda menghidap diabetes dan menggunakan produk bahan Beri Biru. Dos ubat diabetes anda mungkin perlu disesuaikan oleh penyedia penjagaan kesihatan anda.

Pembedahan: Beri Biru boleh menjejaskan tahap glukosa darah dan boleh mengganggu kawalan paras gula dalam darah semasa dan selepas pembedahan. Berhenti menggunakan Beri Biru sekurang-kurangnya dua (2) minggu sebelum apa-apa pembedahan yang dijadualkan.

Kesan Sampingan

Apakah kesan sampingan pengambilan Beri Biru?

Beri Biru boleh menyebabkan:

  • Ketidakselesaan perut, masalah saluran penghadaman seperti sakit perut, kembung perut dan cirit-birit.
  • Peningkatan sensitiviti terhadap ubatan salisilat (salicylate).
  • Vitamin K berlebihan.
  • Hipoglisemia.
  • Alergi terhadap buah-buahan jenis ‘drup’.

Tidak semua orang mengalami kesan sampingan ini. Mungkin terdapat beberapa kesan sampingan yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan mengenai kesan sampingan di atas, sila berjumpa pakar herba atau doktor anda.

Tindak balas

Apakah tindakbalas yang boleh saya alami dengan Beri Biru?

Beri Biru mungkin mempunyai tindak balas terhadap keadaan kesihatan dan ubat yang anda sedang ambil. Sila rujuk kepada pakar kesihatan sebelum menggunakannya.

Produk yang boleh bertindak balas dengan Beri Biru termasuklah:

  • Ubat anti-diabetes.

Daun Beri Biru mungkin berupaya mengurangkan paras gula dalam darah. Ubat diabetes juga digunakan untuk menurunkan gula darah. Mengambil daun ini bersama-sama dengan ubat diabetes boleh menyebabkan paras gula darah anda terlalu rendah. Pantau kadar gula dalam darah dengan teliti. Dos ubat diabetes anda mungkin perlu diubah.

Sesetengah ubat yang digunakan untuk diabetes termasuklah glimepiride (Amaryl), glyburide (DiaBeta, Glynase PresTab, Micronase), insulin, pioglitazone (Actos), rosiglitazone (Avandia), chlorpropamide (Diabinese), glipizide (Glucotrol), tolbutamide (Orinase).

Penggunaan /Dos

Maklumat yang diberikan tidak menggantikan nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor atau pakar herba anda sebelum menggunakan ubat ini

Apakah dos Beri Biru yang biasa digunakan?

Dos untuk produk Beri Biru ini mungkin berbeza bagi setiap pesakit. Dos yang  wajar diambil bergantung pada usia anda, tahap kesihatan, dan beberapa syarat lain. Suplemen herba tidak selalunya selamat. Sila berbincang dengan pakar herba anda atau doktor untuk dos yang sesuai.

Apakah bentuk penyediaan Beri Biru?

Produk Beri Biru ini boleh didapati dalam bentuk dos penggunaan berikut:

  • Buah Beri Biru segar.
  • Buah Beri Biru kering.
  • Kapsul ekstrak daun Beri Biru.
  • Serbuk Beri Biru.
  • Ekstrak cecair Beri Biru.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: Mei 24, 2018 | Kali terakhir kemaskini: Mei 24, 2018

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut