Asafoetida

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh hellodoktor

Kegunaan

Apakah kegunaan Asafoetida?

Asafoetida adalah tumbuhan yang mempunyai bau yang busuk dan rasa yang pahit. Asafoetida biasanya digunakan untuk:

  • Masalah pernafasan termasuk bronkitis (kronik) dan asma.
  • Masalah penghadaman termasuk angin usus, sakit perut, sindrom iritasi usus (IBS), dan iritasi usus besar.
  • Batuk kokol (pertusi)
  • Krup
  • Tekak yang garau
  • Histeria
  • Gila
  • Sawan
  • Sebagai rangsangan saraf bagi keletihan mental dan fizikal berserta depresi (neurastenia)

Wanita kadang kala menggunakan asafoetida bagi mengembalikan kitaran haid mereka yang terhenti untuk sebab-sebab tertentu.

Asafoetida kadang kala disapu secara terus pada kulit bagi kematu dan kalus.

Dalam proses pembuatan, asafoetida digunakan sebagai wangian dalam kosmetik dan bahan perasa dalam makanan dan minuman.

Asafoetida juga digunakan dalam produk untuk menghalau anjing, kucing, dan hidupan liar.

Bagaimana ia berfungsi?

Tiada kajian lengkap mengenai bagaimana herba tambahan ini berfungsi. Sila berbincang dengan pakar herba anda atau doktor untuk maklumat lanjut. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kajian menunjukkan bahan kimia dalam asafoetida boleh bantu merawat sindrom iritasi usus (IBS), dan juga boleh melindungi seseorang dari paras tinggi lemak tertentu termasuklah kolesterol dan trigliserida dalam darah. Bahan kimia dipanggil kumarin dalam asafoetida boleh mencairkan darah.

Langkah berjaga-jaga & Amaran

Apa yang perlu saya tahu sebelum mengambil Asafoetida?

Rujuk dengan doktor atau ahli farmasi atau pakar herba anda, jika:

  • Anda hamil atau menyusu badan. Ini kerana, semasa anda hamil atau menyusukan bayi, anda hanya boleh mengambil ubat-ubatan atas cadangan doktor.
  • Anda mengambil apa-apa ubat lain. Ini termasuk ubatan yang anda ambil yang boleh didapati tanpa preskripsi.
  • Anda mempunyai alahan dengan apa-apa bahan dalam asafoetida atau ubatan lain atau herba lain.
  • Anda mempunyai sebarang penyakit, gangguan, atau keadaan perubatan yang lain.
  • Anda mempunyai sebarang jenis alahan lain, seperti pada makanan, pewarna, bahan pengawet, atau haiwan

Peraturan bagi herba tambahan kurang ketat berbanding peraturan bagi ubat. Lebih banyak kajian diperlukan bagi memastikan keselamatannya. Kebaikan pengambilan herba tambahan ini haruslah melebihi risiko sebelum digunakan. Rujuk pada pakar herba atau doktor anda untuk maklumat lanjut.

Adakah Asafoetida selamat digunakan?

Asafoetida dikira selamat bagi kebanyakan individu dalam kuantiti yang biasa dijumpai dalam makanan. Terdapat beberapa bukti menunjukkan bahawa asafoetida selamat untuk diambil secara oral seperti ubat.

Kanak-kanak:

Asafoetida tidak selamat untuk bayi jika diambil secara oral kerana mungkin menyebabkan gangguan darah yang tertentu.

Kehamilan dan menyusukan bayi:

Asafoetida juga tidak selamat untuk diambil secara oral jika anda hamil. Ia mungkin boleh menyebabkan keguguran. Elakkan penggunaannya.

Asafoetida juga tidak selamat diambil secars oral jika anda sedang menyusukan bayi. Bahan kimia dalam asafoetida boleh diserap ke dalam susu ibu dan kemudian mengakibatkan gangguan pendarahan kepada bayi yang disusukan. Elakkan penggunaannya.

Pembedahan:

Asafoetida boleh memperlahankan proses pembekuan darah. Terdapat kebimbangan di mana asafoetida boleh meningkatkan risiko pendarahan ketika atau selepas pembedahan. Berhenti daripada mengambil asafoetida sekurang-kurangnya 2 minggu sebelum pembedahan dijadualkan.

Kesan Sampingan

Apakah kesan sampingan pengambilan Asafoetida?

Dalam sesetengah individu, asafoetida boleh menyebabkan:

  • Bengkak bibir
  • Sendawa
  • Angin usus
  • Cirit birit
  • Sakit kepala
  • Sawan
  • Gangguan darah
  • Mual
  • Muntah
  • Iritasi pada tekak
  • Urin berasa panas seperti terbakar

Mengambil rempah yang kuat ini secara berlebihan dalam jangka masa yang berlebihan boleh menyebabkan kitaran haid wanita tidak teratur.

Tidak semua orang mengalami kesan sampingan ini. Mungkin terdapat beberapa kesan sampingan yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan mengenai kesan sampingan di atas, sila berjumpa pakar herba atau doktor anda.

Tindak balas

Apakah tindakbalas yang boleh saya alami dengan Asafoetida?

Herba tambahan ini boleh bertindakbalas dengan ubat atau keadaan perubatan terkini anda. Rujuk pada pakar herba atau doktor anda sebelum menggunakannya.

Keadaan kesihatan yang boleh bertindakbalas dengan herba anda, termasuklah:

  • Gangguan pendarahan: Terdapat kebimbangan di mana asafoetida boleh meningkatkan risiko pendarahan. Jangan guna asafoetida jika anda mempunyai gangguan pendarahan.
  • Epilepsi atau mempunyai sejarah konvulsi: Jangan guna asafoetida jika anda pernah mengalami epilepsi atau keadaan sistem saraf tunjang lain yang boleh menyebabkan sawan atau konvulsi.
  • Masalah perut dan usus (gastriusus, GI): Asafoetida boleh merengsa salur GI. Jangan menggunakannya jika anda mempunyai jangkitan GI atau keadaan GI yang lain.
  • Tekanan darah tinggi (hipertensi) atau tekanan darah rendah (hipotensi): Terdapat sedikit kebimbangan di mana asafoetida boleh menganggu kawalan tekanan darah. Elakkan penggunaannya jika anda mempunyai masalah tekanan darah.

Terdapat juga beberapa ubat-ubatan yang boleh bertindakbalas:

  • Ubat untuk tekanan darah tinggi (Ubat antihipertensi): Asafoetida boleh menurunkan tekanan darah. Pengambilan asafoetida bersama ubat untuk tekanan darah tinggi boleh menyebabkan tekanan darah anda menjadi terlalu rendah. Ubat-ubatan ini termasuklah captopril (Capoten), enalapril (Vasotec), losartan (Cozaar), valsartan (Diovan), diltiazem (Cardizem), Amlodipine (Norvasc), hydrochlorothiazide (HydroDiuril), furosemide (Lasix), dan lain-lain lagi.
  • Ubat untuk memperlahankan pembekuan darah (ubat anticoagulant/antiplatelet): Asafoetida boleh memperlahankan pembekuan darah. Pengambilan asafoetida bersama ubat yang boleh memperlahankan pembekuan darah akan meningkatkan risiko lebam dan pendarahan. Ubat-ubatan ini termasuklah aspirin, clopidogrel (Plavix), diclofenac (Voltaren, Cataflam, others), ibuprofen (Advil, Motrin, others), naproxen (Anaprox, Naprosyn, others), dalteparin (Fragmin), enoxaparin (Lovenox), heparin, warfarin (Coumadin), dan lain-lain.

Asafoetida mungkin mempunyai tindak balas terhadap keadaan kesihatan dan ubat yang anda sedang ambil. Sila rujuk kepada pakar kesihatan sebelum menggunakannya.

Penggunaan /Dos

Maklumat yang diberikan tidak menggantikan nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor atau pakar herba anda sebelum menggunakan ubat ini

Apakah dos Asafoetida yang biasa digunakan?

Dos bagi herba tambahan ini berbeza bagi setiap orang. Ia bergantung kepada umur, kesihatan, dan beberapa keadaan anda yang lain. Herba tambahan tidak selalunya selamat. Sila berbincang dengan pakar herba atau doktor untuk dos yang sesuai untuk anda.

Apakah bentuk penyediaan Asafoetida?

Herba tambahan ini boleh didapati dalam bentuk dos berikut:

  • Kapsul
  • Ekstrak cecair
  • Serbuk

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: April 5, 2018 | Kali terakhir kemaskini: September 12, 2019

Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.