Akar Tikus / Pulai Pandak

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Nama AM: Akar Tikus / Pulai Pandak

Kegunaan

Apakah kegunaan Akar Tikus / Pulai Pandak?

Akar tikus (Rauwolfia serpentina) adalah sejenis tumbuhan. Ia biasa digunakan untuk tekanan darah tinggi yang ringan, kegelisahan, kesulitan tidur (insomnia), dan gangguan mental seperti psikosis dan kegilaan yang teruk. Akar tikus juga digunakan untuk gigitan ular dan reptilia, demam panas, sembelit, penyakit usus berserta demam, penyakit hati, sakit sendi (reumatik), pengekalan cecair (edema), epilepsi, dan sebagai tonik untuk kelemahan umum.

Salah satu bahan kimia dalam akar tikus adalah sama dengan ubat preskripsi yang dipanggil reserpine. Reserpine digunakan untuk merawat hipertensi ringan hingga sederhana, skizofrenia, dan beberapa gejala peredaran darah yang lemah.

Bagaimana ia berfungsi?

Tiada kajian yang mencukupi tentang bagaimana akar tikus ini berfungsi. Sila berbincang dengan pakar herba anda atau doktor untuk maklumat lanjut. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kajian yang menunjukkan bahawa akar tikus mengandungi bahan kimia seperti reserpine yang boleh mengurangkan kadar jantung dan tekanan darah.

Langkah berjaga-jaga & Amaran

Apa yang perlu saya tahu sebelum mengambil Akar Tikus / Pulai Pandak?

menggunakan ubat ini, sila maklumkan kepada doktor anda jika:

  • Anda mengandung, merancang untuk hamil atau menyusu badan.
  • Anda mengambil apa-apa ubat lain. Ini termasuk ubatan yang boleh didapati tanpa preskripsi, seperti ubat-ubatan herba dan suplemen.
  • Anda mempunyai alahan dengan mana-mana bahan daripada pokok akar tikus atau ubatan farmasi mahupun herba yang lain.
  • Anda mempunyai sebarang penyakit, gangguan, atau keadaan perubatan yang lain.
  • Anda mempunyai alahan dengan apa-apa makanan, pewarna, pengawet atau mana-mana haiwan.

Peraturan bagi suplemen herba adalah kurang ketat berbanding peraturan untuk ubat. Lebih banyak kajian diperlukan untuk menentukan tahap keselamatannya. Manfaat dalam mengambil suplemen herba ini mestilah dipastikan melebihi risiko pengambilannya sebelum ia digunakan. Sila berunding dengan pakar herba anda atau doktor untuk maklumat lanjut.

Adakah Akar Tikus / Pulai Pandak selamat digunakan?

Akar tikus mungkin selamat digunakan apabila ekstrak yang dipiawaikan digunakan di bawah pengawasan seorang profesional penjagaan kesihatan yang terlatih dalam penggunaannya. Akar tikus yang dipiawaikan mempunyai jumlah kandungan ubat yang ditetapkan. Jumlah reserpine dan bahan kimia lain dalam akar tikus boleh berbeza dari satu tumbuhan ke tumbuhan lain. Oleh kerana reserpine dan bahan kimia lain dalam akar tikus boleh menjadi sangat toksik, dosnya mestilah tepat dan kesan sampingannya perlu dipantau oleh profesional penjagaan kesihatan yang terlatih.

Penggunaan ubat dari bahan ini dengan sendiri adalah tidak selamat.

Peringatan khas & amaran

Kehamilan dan penyusuan bayi: Adalah tidak selamat untuk menggunakan akar tikus semasa kehamilan. Bahan kimia pada akar tikus mungkin menyebabkan kecacatan kelahiran. Dan juga adalah TIDAK SELAMAT untuk menggunakan akar tikus semasa menyusukan bayi. Bahan kimia yang terkandung di dalamnya boleh menyerap masuk ke dalam susu ibu dan mungkin membahayakan bayi yang menyusu.

Terapi kejutan (terapi elektrokonvulsif, ECT): Akar tikus tidak boleh digunakan oleh orang yang menerima ECT. Berhenti mengambil akar tikus sekurang-kurangnya seminggu sebelum memulakan ECT.

Batu-batu hempedu: Akar tikus mungkin membuatkan penyakit pundi hempedu menjadi lebih teruk.

Ulser perut, ulser usus, atau kolitis berulser (ulcerative colitis): Jangan gunakan akar tikus jika anda pernah mempunyai salah satu keadaan ini.

Alergi terhadap reserpine atau sejenis ubat yang dikenali sebagai alkaloid Rauwolfia: Jangan mengambil akar tikus jika anda alah kepada ubat-ubatan ini.

Kemurungan: Jangan mengambil akar tikus jika anda mengalami kemurungan atau kecenderungan untuk bunuh diri.

Tumor dalam kelenjar adrenal yang menyebabkan tekanan darah tinggi (pheochromocytoma): Jangan gunakan akar tikus jika anda mempunyai keadaan ini.

Pembedahan: Akar tikus mungkin mempercepatkan reaksi sistem saraf pusat. Terdapat kebimbangan bahawa ia mungkin mengganggu prosedur pembedahan dengan meningkatkan kadar denyutan jantung dan tekanan darah. Berhenti menggunakan akar tikus sekurang-kurangnya 2 minggu sebelum pembedahan yang dijadualkan.

Kesan Sampingan

Apakah kesan sampingan pengambilan Akar Tikus / Pulai Pandak?

Kesan sampingan boleh berkisar dari ringan hingga serius, termasuklah:

  • Hidung tersumbat
  • Kejang perut
  • Cirit-birit
  • Loya
  • Muntah
  • Hilang selera makan
  • Mengantuk
  • Kejang
  • Gejala seperti Parkinson, dan koma

Akar tikus boleh melambatkan masa reaksi dan tidak boleh digunakan semasa memandu atau mengendalikan mesin berat.

Tidak semua orang mengalami kesan sampingan ini. Mungkin terdapat beberapa kesan sampingan yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan mengenai kesan sampingan di atas, sila berjumpa pakar herba atau doktor anda.

Tindak balas

Apakah tindakbalas yang boleh saya alami dengan Akar Tikus / Pulai Pandak?

Akar Tikus / Pulai Pandak mungkin mempunyai tindak balas terhadap keadaan kesihatan dan ubat yang anda sedang ambil. Sila rujuk kepada pakar kesihatan sebelum menggunakannya.

Produk yang boleh membawa interaksi utama dengan herba ini termasuk:

  • Alkohol

Alkohol boleh menyebabkan rasa lena dan mengantuk. Akar tikus juga boleh menyebabkan rasa lena dan mengantuk. Mengambil sejumlah besar akar tikus bersama-sama dengan alkohol mungkin menyebabkan mengantuk yang terlalu teruk.

  • Digoxin (Lanoxin)

Digoxin (Lanoxin) membantu jantung berdenyut dengan lebih kuat. Akar tikus pula seolah-olah melambatkan degupan jantung. Mengambil snakeroot India bersama-sama dengan digoxin mungkin mengurangkan keberkesanan digoxin. Jangan mengambil akar tikus jika anda sedang mengambil digoxin (Lanoxin).

  • Levodopa

Levodopa digunakan untuk penyakit Parkinson. Mengambil akar tikus bersama dengan levodopa mungkin mengurangkan keberkesanan levodopa. Tidak jelas mengapa interaksi ini mungkin berlaku. Untuk berada di jalan selamat, jangan ambil akar tikus jika anda sedang mengambil levodopa.

  • Ubat untuk kemurungan (MAOIs)

Akar tikus mengandungi bahan kimia yang boleh meningkatkan kesan sampingan beberapa ubat yang digunakan untuk kemurungan.

Beberapa ubat yang digunakan untuk kemurungan termasuk phenelzine (Nardil), tranylcypromine (Parnate), dan lain-lain.

  • Ubat untuk keadaan mental (ubat antipsikotik)

Akar tikus seolah-olah mempunyai kesan yang menenangkan. Ubat untuk keadaan mental juga akan membantu menenangkan anda. Mengambil akar tikus bersama-sama dengan beberapa ubat untuk keadaan mental mungkin akan meningkatkan risiko kesan sampingan ubat untuk keadaan mental tersebut.

Antara ubat-ubatan ini termasuk chlorpromazine (Thorazine), clozapine (Clozaril), fluphenazine (Prolixin), haloperidol (Haldol), olanzapine (Zyprexa), perphenazine (Trilafon), prochlorperazine (Compazine), quetiapine (Seroquel), risperidone (Risperdal) thioridazine (Mellaril), thiothixene (Navane), dan lain-lain.

  • Propranolol (Inderal)

Propanolol (Inderal) digunakan untuk mengurangkan tekanan darah. Akar tikus juga seolah-olah mempunyai kesan dalam mengurangkan tekanan darah. Mengambil akar tikus bersama dengan propanolol (Inderal) mungkin menyebabkan tekanan darah anda menjadi terlalu rendah.

  • Ubat sedatif (Barbiturates)

Akar tikus mungkin menyebabkan rasa lena dan mengantuk. Ubat-ubatan yang menyebabkan rasa mengantuk dipanggil sedatif. Mengambil akar tikus bersama-sama dengan ubat penenang mungkin menyebabkan terlalu banyak tidur.

  • Ubat-ubatan perangsang

Ubatan perangsang mempercepatkan reaksi sistem saraf. Dengan mempercepatkan reaksi sistem saraf, ubat-ubatan perangsang boleh membuat anda berasa gelisah dan mempercepatkan degupan jantung anda. Akar tikus juga boleh menghasilkan kesan yang sama. Mengambil akar tikus bersama-sama dengan ubat-ubatan perangsang mungkin akan menyebabkan masalah yang serius termasuk peningkatan kadar jantung dan tekanan darah tinggi. Elakkan mengambil ubat perangsang bersama akar tikus.

Antara ubatan perangsang termasuklah diethylpropion (Tenuate), epinephrine, phentermine (Ionamin), pseudoephedrine (Sudafed), dan banyak lagi.

Produk yang boleh membawa interaksi sederhana dengan herba ini termasuk:

  • Ephedrine

Ephedrine boleh mempercepatkan reaksi sistem saraf dan membuat anda berasa gelisah. Akar tikus pula dapat menenangkan anda dan membuat anda mengantuk. Mengambil akar tikus bersama ephedrine dapat mengurangkan kesan ephedrine.

  • Ubat yang digunakan untuk kemurungan (antidepresan trisiklik)

Mengambil beberapa ubat yang digunakan untuk kemurungan mungkin boleh mengurangkan kesan akar tikus.

Antara ubat-ubatan yang digunakan untuk kemurungan termasuklah amitriptyline (Elavil), imipramine (Tofranil), dan lain-lain.

  • ‘Pil air’ (ubat diuretik)

Akar tikus mungkin boleh menjejaskan jantung. “Pil air” boleh mengurangkan paras kalium dalam badan. Tahap kalium rendah juga boleh menjejaskan jantung dan meningkatkan risiko kesan sampingan dari akar tikus.

Sesetengah “pil air” yang boleh mengurangkan kalium termasuklah chlorothiazide (Diuril), chlorthalidone (Thalitone), furosemide (Lasix), hydrochlorothiazide (HCTZ, HydroDuril, Microzide).

Penggunaan /Dos

Maklumat yang diberikan tidak menggantikan nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor atau pakar herba anda sebelum menggunakan ubat ini

Apakah dos Akar Tikus / Pulai Pandak yang biasa digunakan?

Dos untuk produk akar tikus ini mungkin berbeza bagi setiap pesakit. Dos yang anda wajar ambil bergantung pada usia anda, tahap kesihatan, dan beberapa syarat lain. Suplemen herba tidak selalunya selamat. Sila berbincang dengan pakar herba anda atau doktor untuk dos yang sesuai.

Apakah bentuk penyediaan Akar Tikus / Pulai Pandak?

Produk akar tikus ini boleh didapati dalam bentuk dos penggunaan berikut:

  • Ekstrak cecair;
  • Serbuk;
  • Tinktur;

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: Mei 30, 2018 | Kali terakhir kemaskini: Mei 30, 2018

Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.