Neuropati Diabetes: Maklumat Asas untuk Pesakit Diabetes

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Neuropati diabetes adalah sejenis kerosakan saraf yang berlaku disebabkan oleh paras gula darah tinggi dalam jangka masa yang panjang. Ia adalah komplikasi diabetes yang serius dan biasa. 60-70% orang yang mengalami diabetes mengalami beberapa bentuk neuropati.

Terdapat empat jenis utama neuropati berkaitan diabetes: periferi, autonomi, proksimal, dan focal.

Neuropati periferi

Ini adalah bentuk neuropati yang berkaitan dengan diabetes. Neuropati jenis ini paling kerap menjejaskan betis kaki dan pergelangan kaki. Ia juga boleh menjejaskan tangan, lengan, belakang badan dan perut. Gejalanya bervariasi dari ringan hingga teruk dan mungkin menjadi lebih parah pada waktu malam. Ia termasuklah kesakitan, rasa terbakar, sensasi kesemutan, peningkatan kepekaan terhadap sentuhan atau kehilangan deria rasa (yang mungkin menjadi kekal), kelemahan otot, ataupun kehilangan refleks. Neuropati periferi juga boleh menyebabkan masalah kaki yang serius, seperti kecacatan, jangkitan dan ulser.

Neuropati autonomi

Ini adalah jenis neuropati diabetes kedua paling biasa. Neuropati jenis ini berlaku pada saraf yang mengawal organ-organ dalaman. Organ-organ yang dikawal oleh sistem saraf autonomi termasuk sistem pencernaan, kelenjar peluh, organ seks, sistem kardiovaskular dan pundi kencing.

Kerosakan saraf pada sistem penghadaman menyebabkan kesukaran menelan, sembelit, gastroparesis (perut lambat mengecut) menyebabkan perut kembung, loya, muntah, dan kehilangan selera makan. Neuropati autonomi juga boleh menyebabkan masalah seksual, seperti disfungsi erektil pada lelaki dan kekeringan faraj pada wanita. Kerosakan saraf pada sistem kardiovaskular boleh membuat perubahan dalam tekanan darah dan kadar denyutan jantung, menyebabkan pesakit merasa pening, berpusing-pusing atau pengsan. Ia juga boleh menyebabkan serangan jantung dan strok.

Neuropati fokal

Juga dipanggil mononeuropati, bentuk neuropati ini terjadi apabila terdapat kerosakan pada saraf tertentu atau sekumpulan saraf. Jenis ini paling kerap menjejaskan muka, badan, dan kaki. Ia biasanya muncul secara tiba-tiba dan menyebabkan kesakitan yang teruk. Walau bagaimanapun, ia biasanya hilang dalam masa beberapa minggu atau bulan dan tidak meninggalkan apa-apa kerosakan yang berkekalan. Gejala neuropati fokal bergantung kepada saraf yang terlibat, termasuk: penglihatan berganda, ketidakupayaan untuk memberi tumpuan, sakit di belakang mata, palsi Bell (lumpuh pada satu sisi muka), sakit di betis atau kaki, sakit di dada, perut, belakang badan, panggul, dan sakit di hadapan paha.

Neuropati proksimal

Neuropati jenis yang kurang biasa ini menyebabkan sakit paha, pinggul, punggung, kaki dan biasanya menjejaskan satu sisi badan. Juga dikenali sebagai femoral neuropathy atau diabetic amyotrophy, keadaan ini lebih lazim pada orang dewasa yang lebih tua dengan diabetes jenis 2.

Rawatan bagi Neuropati Diabetes

Tiada rawatan penyembuhan untuk neuropati diabetes, namun rawatan boleh membantu memperlahankan perkembangan penyakit. Rawatan juga boleh membantu diabetes dalam menguruskan gejala seperti senak perut, sembelit, dan kesakitan.

Pesakit boleh melegakan kesakitan daripada neuropati diabetes dengan mengambil ubat. Ubatan seperti ibuprofen dan acetaminophen boleh membantu melegakan kesakitan ringan dan sederhana. Ubat lain yang boleh digunakan untuk pengurusan kesakitan adalah ubat opioid. Pilihan rawatan lain pula termasuklah terapi cahaya, rangsangan saraf elektrik atau akupunktur juga boleh membantu.

Perkara yang paling penting dalam mengurangkan risiko neuropati diabetes adalah mengawal paras gula darah supaya berada dalam lingkungan sasaran. Bersenam secara teratur dan berhenti merokok juga boleh menjadi sebahagian daripada pelan rawatan komprehensif

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut