Wabak Chikungunya Kian Tular di Bahagian Utara Negara

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh hellodoktor

Penyakit bawaan nyamuk seperti denggi, malaria dan chikungunya adalah antara penyakit berbahaya yang mungkin boleh membawa maut jika tidak dirawat dengan kadar segera. Hakikatnya, penyakit-penyakit ini masih lagi menyerang individu di seantero dunia walaupun pelbagai inisiatif seperti pengambilan vaksin dan gotong-royong memusnahkan tempat pembiakan nyamuk telah dijalankan. Persoalannya, adakah tahun 2019 akan membawa perubahan?

Tidak lama sebelum tular di Malaysia, ribuan kes chikungunya telah dilaporkan di negara jiran kita iaitu Thailand. Baru dua minggu pertama tahun 2019 sahaja, sebanyak 447 kes telah dilaporkan daripada 12 wilayah kebanyakannya dari Phuket, Songkhla dan Pattani. Ekoran itu, pelancong dari negara lain telah dinasihatkan untuk mengambil vaksin pelancongan sebelum memasuki negara itu. 

Portal Bangkok Post pula telah menyatakan bahawa Gabenor Bangkok, Pol Gen Aswin Kwanmuang telah mengarahkan pengawalan secara ketat terhadap penyakit ini dengan mengambil tindakan untuk membunuh larva nyamuk di sekitar kawasan-kawasan merah tersebut.

Pun begitu, negara jiran terutamanya negara kita masih perlu berjaga-jaga. Pemantauan di gerbang sempadan antara Malaysia dan Thailand serta antara negara-negara serantau yang lain dilaporkan telah diperkuatkan dengan kaedah pemeriksaan suhu badan untuk mengesan kes yang disyaki Chikungunya dari pelawat yang ingin memasuki negara.

Walaupun segala usaha telah dilakukan, wabak chikungunya masih lagi menghantui penduduk negara kita. Dan igauan ngeri ini ternyata benar apabila mula terpapar di dada akhbar dan media sosial mengenai penularan wabak ini ke negara kita.

Kian tular di bahagian utara negara

Gempar satu negara baru-baru ini apabila wabak yang sudah lama mendiamkan diri iaitu chikungunya tular kembali di negara kita. Untuk lebih terperinci, wabak berbahaya ini sedang menyerang kawasan utara negara kita dan Alor Setar, Kedah merupakan kawasan merah yang sangat berisiko tinggi. Setakat hari ini sahaja, lebih daripada 10 kes berkaitan chikungunya telah dicatatkan di kawasan tersebut.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar, seramai 4 individu lagi telah dilaporkan sah positif chikungunya sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan positif wabak ini adalah seramai 19 individu. Ini ditegaskan lagi oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Kedah iaitu Datuk Dr. Norhizan Ismail selepas satu lagi lokasi baharu selain City Plaza turut dikesan iaitu di sekitar pekan Simpang Kuala, Alor Setar.

Beliau berkata lagi, kesemua 4 mangsa terbaharu wabak ini merupakan penduduk dan peniaga berusia antara umur 39 hingga 60 tahun yang mendiami deretan kedai di pekan Simpang Kuala itu. Jelas Dr. Norhizan, pihak mereka telah menerima aduan berkenaan penularan wabak ini di lokasi baharu itu sekitar jam 10 malam pada hari Isnin lalu. Ekoran itu, siasatan segera telah diambil dan aktiviti kawalan vektor telah dijalankan di kedua-dua lokasi yang dinyatakan.

Susulan itu, sebanyak 453 premis telah diperiksa di sekitar kawasan City Plaza dan 26 bekas pembiakan positif telah dikesan. Akibatnya, sejumlah 15 kompaun bernilai RM7,500 telah dikeluarkan. Manakala di lokasi kedua pula iaitu Simpang Kuala, sebanyak 24 premis telah diperiksa dan 6 bekas pembiakan positif turut dikesan. Disebabkan itu, sejumlah 4 kompaun bernilai RM2,000 telah dikeluarkan di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975.

Ya, walaupun pihak yang berwajib sudah memainkan peranan mereka sebaik mungkin untuk menangani wabak yang membimbangkan ini, kita masih perlu berhati-hati. Walaupun anda bukan berada dekat dengan kawasan-kawasan merah yang telah dinyatakan, wajar untuk anda tahu sedikit sebanyak mengenai wabak chikungunya.

Apa itu chikungunya?

Chikungunya adalah sejenis virus yang disebarkan melalui vektor iaitu nyamuk Aedes aegypti atau Aedes albopictus yang telah dijangkiti, sama seperti wabak demam denggi dan malaria. Virus ini mula-mula ditemui pada 1952 di kawasan sekitar Mozambique dan Tanzania, Afrika dan mula merebak ke setiap benua tahun demi tahun. Pada lewat 2013, virus ini ditemui pertama kali di Amerika di Pulau Caribbean. Sehingga kini, masih tiada ubat atau vaksin untuk merawat penyakit ini.

Punca

Penyakit ini adalah berpunca daripada virus chikungunya (CHIKV) dan disebarkan melalui gigitan nyamuk yang telah dijangkiti. Ia akan menyebarkan virus ini dengan memindahkan virus melalui darah individu yang sudah dijangkiti pada individu yang belum dijangkiti.

Simptom

Kebanyakan individu yang dijangkiti virus ini akan menunjukkan beberapa simptom yang biasanya akan bermula 3 hingga 7 hari selepas digigit nyamuk. Berikut merupakan simptomnya:

  • Pening kepala
  • Demam panas
  • Muntah-muntah
  • Cirit-birit
  • Sakit dan bengkak pada otot
  • Ruam pada badan

Simptom-simptom ini mungkin akan beransur pulih selepas seminggu, sebulan atau seterusnya bergantung kepada individu. Walaupun ia tidak berisiko tinggi mengakibatkan kematian, simptomnya kadangkala boleh jadi sangat teruk dan meninggalkan kesan jangka masa panjang. Ini semua akan bergantung juga kepada faktor usia dan tahap kesihatan individu. 

Rawatan

Sehingga kini, masih tiada ubat atau vaksin yang boleh merawat virus ini. Oleh itu, apa yang anda boleh lakukan adalah mengelak dan mencegah. Jika anda ingin melancong ke luar negara yang berisiko tinggi, cuba elakkan gigitan nyamuk dengan memakai baju dan seluar yang menutup badan serta tinggal di dalam kawasan yang mempunyai pendingin hawa. 

Jika anda khuatir telah dijangkiti dan badan anda mula menunjukkan simptom, pastikan anda mendapatkan rehat dan minum air yang secukupnya untuk mengelak dehidrasi. Sebaiknya, segera berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan khidmat rawatan dan nasihat selanjutnya.

Jadi, adakah anda perlu risau mengenai penularan wabak ini? Jawapannya adalah mungkin ya dan mungkin tidak. Hakikatnya, pihak berwajib telah menjalankan pelbagai usaha yang sebaik mungkin untuk membendung penyakit ini daripada terus berleluasa. Dan kini, ia bergantung kepada anda sendiri.

Pengambilan vaksin sebelum keluar melancong adalah idea yang bagus. Pun begitu, adalah lebih baik jika anda menangguhkan terlebih dahulu rancangan anda untuk pergi melancong sehingga wabak ini mula reda. Sebenarnya, mengelak dan mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. 

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Baca juga:

Rujukan