backup og meta

Vape dan Paru-paru ‘Popcorn’

Disemak secara perubatan oleh Dr. Amy Kor · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 13/07/2020

    Vape dan Paru-paru ‘Popcorn’

    Popcorn memang sedap dimakan, bukan? Tetapi ada kaitan ke antara vape dan popcorn? Jom ketahui dengan lebih lanjut mengenai hubung kait kedua-duanya dalam perkongsian artikel ini. 

    Apa itu vape?

    Rokok elektrik atau turut dikenali sebagai e-vape, adalah memasukkan nikotin ke dalam paru-paru dan saluran darah tanpa asap dan tar rokok biasa. Tetapi masih membahayakan kesihatan anda, terutama yang menawarkan perisa.

    Vape, berfungsi dengan bateri untuk memanaskan nikotin, perasa dan bahan kimia lain dan diubah menjadi wap yang akan anda sedut. Terdapat pelbagai bahan kimia yang boleh menyebabkan kanser terdapat di dalamnya, termasuk formaldehyde, logam berat dan zarah yang boleh tersekat pada bahagian paru-paru anda.

    Terdapat beberapa bahan kimia dalam vape boleh mendatangkan kerengsaan pada saluran udara dalam paru-paru, dan ia pasti akan menimbulkan masalah. Terdapat kajian yang menyatakan perasa seperti kayu manis (cinnamon) yang digunakan pada vape juga boleh mengakibatkan keradangan sel-sel paru -paru dan juga masalah seperti paru-paru ‘popcorn’.

    Bagaimana terjadinya paru-paru ‘popcorn’?

    Terdapat satu bahan kimia, diacetyl, yang terkandung dalam sesetengah bahan perasa, dikaitkan dengan penyakit paru-paru yang serius dipanggil bronchiolitis obliterans atau turut dikenali sebagai paru-paru ‘popcorn’ (popcorn lung).

    Ia merupakan satu keadaan yang merosakkan saluran udara kecil dan menyebabkan anda batuk dan pendek nafas. Paru-paru merupakan tempat darah mengambil mendapatkan oksigen sebelum membawanya ke sel-sel seluruh badan anda. 

    Apabila anda menyedut nafas, udara yang mengalir masuk ke dalam paru-paru anda akan melalui trakea. Trakea mempunyai saluran yang dikenali sebagai bronchi, terbahagi kepada dua tiub yang membawa kepada paru-paru kiri dan paru-paru kanan.

    Di dalam paru-paru anda, tiub bronchi ini akan berpecah lagi dan lagi. Cara mudah untuk membayangkan keadaannya adalah seperti cabang-cabang pokok. Cabang yang paling kecil disebut sebagai bronchioles dan ia berakhir dengan kantung udara kecil yang dikenali sebagai alveoli – bahagian di mana oksigen diambil oleh darah. 

    Keadaan paru-paru Individu yang mempunyai masalah ini adalah saluran udara kecil akan mengalami keradangan dan kemerahan. Ia sekali gus boleh menyebabkan saluran udara itu menjadi lebih sempit. Inilah yang menyebabkan timbulnya isu kesukaran untuk mendapatkan udara yang mencukupi untuk bernafas. 

    Bahan-bahan lain dalam vape

    Penyakit itu mendapat namanya kerana individu yang bekerja di kilang penghasilan bertih jagung (popcorn) mendapat masalah paru-paru yang serius kerana bernafas dalam diacetyl. Bahan ini digunakan dalam proses perasa bagi bertih jagung, karamel, dan produk tenusu. Kaedah yang dihidu oleh pengguna vape adalah sama seperti cara pekerja kilang bertih jagung tersebut menghidunya.

    Bahan lain yang boleh mengakibatkan paru-paru ‘popcorn’ ini adalah acetaldehyde, bahan kimia yang terdapat dalam asap marijuana dan jugak rokok elektronik. Ia juga merupakan bahan yang turut boleh menyebabkan kerosakan pada lapisan mulut, tekak dan perut.

    Bahan kimia lain yang boleh menyebabkan paru-paru ‘popcorn’ adalah termasuk:

    • Asap oksida logam, produk sampingan kegunaan kimpalan biasa
    • Formaldehyde, bahan kimia penyebab kanser yang digunakan dalam sesetengah produk gam dan bahan binaan
    • Sulfur dioksida, bahan pencemaran yang dilepaskan oleh pembakaran bahan api fosil
    • Klorin
    • Ammonia
    • Nitrogen oksida
    • Asid hidroklorik
    • Sulfur mustard – senjata kimia yang dikenali sebagai ‘mustard gas’

    Ada kalanya keadaan bronchiolitis obliterans boleh berlaku selepas anda mengalami penyakit serius yang menjejaskan paru-paru, sebagai contoh masalah kesihatan melibatkan pneumonia atau bronkitis.

    Terdapat juga sesetengah individu yang mempunyai masalah arthritis rheumatoid turut boleh menghidapi masalah paru-paru ‘popcorn’ ini. Ia adalah sebagai kesan sampingan masalah kesihatan tersebut.

    Jika anda menjalani prosedur pemindahan paru-paru atau atau transplant sel stem, anda juga berisiko untuk mengalami keadaan ini sekiranya badan anda cuba untuk menolak organ baru tersebut. Masalah ini merupakan antara penyebab utama kematian bagi individu yang melakukan prosedur pemindahan paru-paru. 

    Simptom

    Diacetyl, akan menyebabkan luka kecil pada kantung udara pada paru-paru anda yang akan membuatkan saluran udara menjadi tebal dan sempit dan boleh mengakibatkan batuk kering, sesak nafas, kesukaran bernafas yang merupakan antara simptom utama. 

    Ia akan muncul dalam tempoh 2 minggu dan 2 bulan anda terdedah kepada bahan berbahaya ini. Anda akan berdepan masalah ini apabila anda bersenam atau melakukan tugasan berat. Jika anda menjalani pemindahan paru-paru, ia mungkin mengambil masa beberapa tahun untuk menunjukkan simptomnya.

    Antara simptom lain seperti sakit kepala, demam, gangguan pada mata, kulit, hidung, dan tekak anda serta masalah kesihatan lain. 

    Diagnosis

    Jika anda mempunyai beberapa gejala bronchiolitis obliterans, doktor mungkin akan mencadangkan untuk melakukan imbasan tomografi (CT) berkomputer pada dada anda. Beberapa x-ray turut akan diambil dari sudut berbeza. Ujian pernafasan juga mungkin akan dilakukan untuk melihat tahap paru-paru anda bekerja.

    X-ray mungkin dapat membantu memberitahu doktor jika paru-paru anda memerangkap terlalu banyak udara. Walau bagaimanapun cara terbaik untuk membuat pengesahan sama ada anda mengalami paru-paru ‘popcorn’ adalah dengan melakukan prosedur biopsi. 

    Kaedah merawat masalah berkaitan pengambilan vape

    Paru-paru ‘popcorn’ adalah satu masalah kesihatan yang kekal dan tiada ubat yang dapat mengubatinya. Jadi adalah amat penting untuk mendapat tahu mengenainya pada peringkat awal agar kita boleh berusaha melambatkan atau mencegahnya dari menjadi semakin buruk.

    • Jika anda mendapat masalah paru-paru ‘popcorn’ ini kerana bernafas dalam bahan kimia berbahaya, anda perlu mengelakkannya. Mungkin anda boleh memakai alat perlindungan atau mungkin anda perlu menukar kerja demi kesihatan anda.
    • Doktor mungkin akan memberikan anda antibiotik atau steroid untuk mengurangkan kerengsaan dalam saluran pernafasan anda.
    • Ubatan yang dapat memperlahankan sistem imunisasi anda dapat membantu melindungi bronkiol anda dari berdepan kerosakan yang lebih teruk.
    • Doktor akan memberikan anda ubat untuk membantu mengurangkan batuk dan mungkin akan memberikan oksigen bagi memudahkan anda untuk bernafas.

    Akhir kata

    Penjagaan kesihatan paru-paru adalah amat penting untuk menjamin kesihatan secara keseluruhan. Jika anda berasa ragu-ragu dengan keadaan kesihatan melibatkan paru-paru anda, anda disarankan untuk melakukan pemeriksaan doktor dengan segera. Jangan melengah-lengahkan masa, okay?

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Amy Kor

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 13/07/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan