6 Trend Kesihatan Menjelang 2020

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Tahun baru, azam baru. Menjelang 2020, terdapat beberapa perkara berkaitan dengan kesihatan yang wajar dititikberatkan. Tahun silih berganti dan purata jangka hayat manusia semakin lama semakin meningkat. Pelbagai jenis perubahan dan kemajuan teknologi yang dapat kita saksikan berikutan pengetahuan berkenaan kesihatan yang semakin meningkat. 

Suatu ketika dahulu, mereka yang mengalami kecacatan genetik tidak mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk menyaksikan keindahan dunia. Namun kini, dengan rawatan rapi, mereka berpeluang untuk menikmati kehidupan seperti individu lain, walaupun ada kekurangan pada keupayaan mereka. 

Kepada para pembaca, ini merupakan masa yang sesuai untuk anda menerapkan beberapa konsep kesihatan bagi mencapai misi kelanjutan usia dan mengelakkan kematian pramatang. Baca artikel ini untuk tahu dengan lebih lanjut.

Amalkan konsep pemakanan hijau

Penulis tidak bermaksud untuk memaksa para pembaca menjadi vegetarian atau vegan. Namun, pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan dapat meningkatkan kualiti hidup individu melalui penghindaran pelbagai jenis penyakit. Makanan tersebut mengandungi pelbagai jenis vitamin, mineral dan kandungan serat yang tinggi. 

Selain daripada mengelakkan jangkitan kuman melalui pengukuhan sistem imuniti badan, pengambilan makanan berserat juga boleh menghindarkan pelbagai jenis kanser terutamanya kanser kolorektal yang kian meningkat di Malaysia. Trend yang seharusnya diterapkan dalam menggapai impian wawasan 2020 perlulah berasaskan konsep gaya hidup sihat.

Masalah obesiti, kencing manis dan masalah metabolik yang lain boleh dielakkan dengan pengurangan gula dan makanan berkarbohidrat serta meningkatkan pengambilan makanan berserat. Ini berikutan keupayaan serat dalam memperlahankan sistem penghadaman, mengurangkan kadar penyerapan gula dan menyebabkan perembesan insulin badan yang lebih stabil.

Beri tumpuan lebih kepada kesihatan mental

Pada masa kini, terdapat banyak pembunuh dalam diam. Sakit jantung, pengambilan gula berlebihan, kemurungan dan sebagainya. Sudah tiba masanya untuk kita galakkan mereka yang mengalami simptom atau sudah didiagnosis dengan penyakit mental untuk mendapatkan rawatan. 

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), masalah kemurungan dialami oleh lebih daripada 264 juta individu di seluruh dunia. Ini bukanlah satu angka yang boleh dipandang ringan. Kesan kepada penyakit ini boleh menyebabkan penurunan kualiti hidup, kemerosotan prestasi di tempat kerja dan kematian, jika dibiarkan berpanjangan.

Tamatkan stigma dan hulurkan tangan anda. Jika anda tidak dapat membantu daripada aspek tertentu, berikanlah sokongan emosi dan mental. Dengarilah rintihan sahabat anda yang tertekan dan laporkan kepada pihak berkenaan sekiranya terdapat ketidakadilan di dalam sesuatu sistem hanya kerana mereka yang terbabit mempunyai masalah dengan kesihatan mental.

Kurangkan masa menggunakan telefon pintar

Media sosial, permainan video yang diterapkan dalam telefon pintar dan kebolehan untuk mencari pasangan melalui alternatif maya membuatkan peranti tersebut bagaikan jawapan kepada segala jenis persoalan. Kajian yang dibuat oleh Nielsen pada tahun 2018 telah menunjukkan bahawa populasi orang dewasa di Amerika Syarikat menghabiskan kira-kira 2 jam 22 minit menggunakan peranti telefon pintar.

Apa yang lebih mengejutkan lagi perkara tersebut tidak termasuk dengan masa yang dihabiskan berbalas mesej dengan individu lain atau secara rawaknya, membuka telefon untuk memeriksa jika ada notifikasi yang masuk. Jika perkara tersebut diambil kira, entah berapa lamalah mereka menghabiskan masa dengan telefon pintar. 4 jam, mungkin?

Ini merupakan salah satu bentuk ketagihan yang dirangsang dengan rembesan hormon dopamin bagi merasai perasaan gembira dan berpuas hati. Semakin lama, semakin sukar untuk anda merasai kesan fisiologikal dopamin. Ini bermakna, anda ingin dirangsang dengan lebih banyak dopamin sehingga merasai keseronokan yang diharapkan.

Telefon pintar beroperasi bagaikan sistem yang mencetuskan rembesan dopamin. Setiap sekali skrin tersebut diskrol, semakin kuat keinginan untuk anda terus skrol dan skrol. Pernah tak anda tenggelam dengan telefon pintar dan tanpa anda sedari, poof, 4 jam sudah berlalu? Kalau pernah, mungkin anda perlu kurangkan penggunaan telefon pintar. Klik sini untuk baca berkenaan dengan bagaimana cara mengurangkan penggunaan telefon pintar.

Pergi bercuti 2 kali setahun

Siapa tak suka mengembara kan? Bercuti merupakan salah satu cara bagaimana kita boleh mengekalkan tahap stres pada paras yang rendah. Kajian Jantung Framingham telah menunjukkan bahawa mereka yang bercuti kurang daripada 2 kali setahun terdedah kepada risiko sakit jantung. Bagaimana pergi bercuti boleh buatkan anda sihat ya?

Lazimnya, mereka yang pergi bercuti akan bergerak melebihi jumlah pergerakan harian. Banyak tempat menarik perlu dilawati dan peningkatan pada aktiviti fizikal ini dapat membantu merendahkan risiko untuk mendapat penyakit kronik seperti obesiti, kencing manis dan sakit jantung.

Jika anda merasa tertekan, sudah tiba masanya untuk anda melebarkan sayap dan terbang ke perantauan bagi mencari pengalaman dan mempelajari kebudayaan tempatan destinasi tersebut. 

Kecergasan di atas talian

Ramai yang ingin menurunkan berat badan namun tidak dipraktikkan. Kehidupan bermalas-malasan kelihatan lebih nikmat berbanding dengan rutin ketat yang perlu dipatuhi oleh mereka yang menginginkan badan yang cergas. Jika anda tidak berkesempatan untuk pergi ke gim, gunakanlah teknologi di atas talian. Terdapat pelbagai jenis laman sesawang yang menampilkan program senaman percuma dan berbayar (ikut pada kemampuan anda).

Jika kewangan merupakan satu masalah besar, tonton video di saluran YouTube. Terdapat ratusan jenis video yang mengajar cara untuk bersenam di rumah. Yoga, latihan angkat berat dan pilates, ini merupakan contoh topik yang sering diajarkan kepada penonton YouTube. Kajian yang dijalankan oleh Universiti Cambridge, United Kingdom pada tahun 2019 telah menunjukkan bahawa senaman dapat meningkatkan jangka hayat seseorang tanpa mengira tahap aktiviti mereka sebelumnya. 

Dapatkan vaksin atau vaksinkan anak anda

Jadilah ibu bapa yang bertanggungjawab. Lindungi anak anda daripada penyakit berbahaya yang boleh dihindari melalui penggunaan vaksin. Isu ini mungkin agak kontroversial namun pelbagai mitos telah dikaitkan dengan isu pengambilan vaksin. Bagi melindungi penduduk setempat, kadar vaksinasi bagi kawasan tersebut perlulah berada pada tahap setinggi 95%.

Pada penghujung tahun 2019, negara riuh dengan isu kes polio yang menjangkiti seorang bayi berusia 2 bulan. Itu merupakan salah satu contoh mengapa vaksin perlu diberikan kepada kanak-kanak. Jika anda merasa ragu-ragu atau khuatir akan kesan sampingan yang diuar-uarkan melalui media sosial, berjumpalah dengan doktor untuk khidmat nasihat kesihatan.

Jangan takut untuk memperjuangkan hak anak-anak anda untuk hidup dalam persekitaran yang bebas penyakit. 

Konklusi

Ayuh bersama-sama kita jadikan tahun 2020 ini sebagai tahun yang bermatlamat. Kesihatan perlu dijaga dan trend yang tersenarai boleh dijadikan panduan untuk hidup dengan lebih sihat. Jika tidak, tak sempatlah nanti nak tengok teknologi kereta terbang tanpa tayar, kan?

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Tarikh Reviu: Disember 30, 2019 | Kali terakhir kemaskini: Disember 30, 2019

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut