backup og meta

Kulit Wajah Berjerawat? Ia Antara 7 Kesan Kekurangan Vitamin A Dalam Badan Patut Anda Tahu

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 04/07/2022

    Kulit Wajah Berjerawat? Ia Antara 7 Kesan Kekurangan Vitamin A Dalam Badan Patut Anda Tahu

    Badan yang tidak mendapat nutrien yang mencukupi, berisiko untuk mengalami masalah kesihatan tertentu. Jadi apakah mungkin simptom kesihatan berisiko untuk terjadi sekiranya seorang individu kurang vitamin A?

    Apakah itu vitamin A?

    Vitamin A adalah kumpulan sebatian yang diperlukan dalam jumlah yang kecil untuk badan dalam mengekalkan kesihatan.  Vitamin ini tidak dapat dihasilkan oleh badan, jadi ia merupakan antara aspek pemakanan yang penting.

    Walaupun ia jarang untuk berlaku, tetapi kekurangan vitamin ini boleh mendatangkan impak pada badan. Individu yang berisiko untuk berdepan masalah kekurangan vitamin ini adalah wanita hamil, ibu yang menyusu, bayi serta kanak-kanak.

    Jadi, apakah gejala dan masalah kesihatan berisiko untuk terjadi bagi individu yang kurang vitamin A?

    Umumnya, vitamin A iniboleh didapati dalam pelbagai jenis sumber makanan, termasuk sayuran berdaun hijau, sayuran berwarna oren seperti lobak, ubi keledek dan labu, susu serta telur.

    Vitamin ini adalah penting untuk pelbagai fungsi badan seperti kesihatan mata, penglihatan, kulit yang sihat dan membantu melawan jangkitan.

    Vitamin A adalah vitamin larut lemak, yang terbahagi kepada dua jenis;

    • Preformed vitamin A – juga dikenali sebagai retinol dan biasa terdapat dalam daging, ikan, telur dan produk tenusu.
    • Provitamin A – adalah jenis vitamin yang terhasil dari karotenoid dalam tumbuhan seperti sayuran dan buahan berwarna merah, hijau, kuning dan oren yang ditukar kepada vitamin A oleh badan.

    Masalah kesihatan kesan kurang vitamin A 

    1. Kulit kering

    masalah kesihatan - kulit kering

    Walaupun masalah kulit kering boleh disebabkan oleh pelbagai faktor lain, tetapi kekurangan vitamin A turut boleh menjadi puncanya. Vitamin ini penting untuk penghasilkan dan memperbaiki sel kulit.

    Ia juga membantu untuk melawan dan mencegah keradangan disebabkan oleh sesetengah masalah kulit. Tidak mendapat vitamin A yang mencukupi cenderung menyebabkan masalah ekzema dan masalah kulit lain.

    1. Lambat sembuh

    Luka yang lambat sembuh selepas mengalami kecederaan atau pembedahan adalah berkait dengan tahap vitamin A yang rendah. Ini kerana vitamin A menggalakkan penghasilan kolagen – komponen penting untuk kulit yang sihat.

    Berdasarkan kajian, pengambilan vitamin A sama ada secara suplemen atau melalui pemakanan, dapat membantu menguatkan kulit.

    1. Mata kering

    Merupakan antara isu yang paling biasa berlaku disebabkan kekurangan vitamin ini. Dalam kes yang kronik, ia boleh menyebabkan kebutaan atau kornea yang mati.

    Mata yang kering atau ketidakupayaan untuk menghasilkan air mata, merupakan antara tanda pertama kekurangan vitamin A. kebanyakan kanak-kanak di India, Afrika dan Asia Tenggara yang diet pemakanannya kurang vitamin A, berisiko untuk mengalami masalah ini.

    1. Jerawat

    kurang vitamin a - jerawat

    Oleh kerana vitamin A menggalakkan perkembangan kulit dan melawan keradangan, ia mungkin membantu mencegah atau merawat jerawat. Beberapa kajian menunjukkan kaitan tahap vitamin A yang rendah dengan kemunculan jerawat.

    1. Gangguan tumbesaran

    Kanak-kanak yang tidak mendapat vitamin A secukupnya akan berdepan masalah pembesaran. Ini kerana vitamin A amat penting untuk perkembangan badan manusia yang betul.

    1. Jangkitan

    Kerap mengalami jangkitan, terutama pada tekak dan dada, adalah tanda kekurangan vitamin A. Walaupun hasil kajian adalah bercampur, tetapi, suplemen vitamin A, dapat membantu mengawal jangkitan pada saluran pernafasan.

    1. Masalah kesuburan

    rawatan kesuburan untuk mengandung

    Masalah kesuburan ini boleh terjadi kepada individu lelaki mahupun wanita. Ini kerana vitamin A adalah diperlukan untuk pembiakan dan perkembangan bayi.

    Jika anda sukar untuk hamil, ia mungkin simptom kekurangan vitamin A, malah ia juga boleh menjadi penyebab kepada masalah keguguran.

    Terdapat penyelidikan lain yang menunjukkan lelaki subur mungkin memerlukan keperluan yang lebih besar untuk antioksidan kerana tahap tekanan oksidatif yang lebih tinggi dalam badan mereka.

    Vitamin A merupakan antara sumber nutrien yang bertindak sebagai antioksidan dalam badan.

    Bahaya pengambilan berlebihan

    Sememangnya individu yang kurang vitamin A akan mengalami simptom tertentu. Pun begitu, jika pengambilannya adalah secara berlebihan, ia juga boleh mendatangkan bahaya dan menyebabkan masalah kesihatan pada diri.

    Antara masalah yang boleh berlaku adalah seperti loya, muntah, penglihatan kabur, penipisan tulang, kerosakan hati, sakit kepala dan cirit-birit – jika diambil dalam dos yang besar secara berterusan untuk tempoh yang panjang.

    Jadi pengambilan dos vitamin A haruslah diambil mengikut keperluan yang sepatutnya dan bukan secara berlebihan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Muhamad Firdaus Rahim

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 04/07/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan