Salah Faham Biasa Mengenai HIV/AIDS

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Ramai yang pernah dengar tentang HIV/AIDS tetapi mungkin tidak ramai yang dapat maklumat yang benar mengenainya. Salah faham yang banyak berlegar dalam masyarakat sering membuatkan orang membesarkan perkara yang kecil dan memandang remeh hal yang sebenarnya besar.

Mari lihat salah faham biasa mengenai HIV/AIDS.

1. HIV dan AIDS ialah dua perkara berbeza yang berkaitan antara satu sama lain

HIV (human immunodeficiency virus) ialah virus manakala AIDS (acquired immunodeficiency syndrome) ialah keadaan yang disebabkan oleh jangkitan virus tersebut.

Jangkitan HIV menyebabkan sistem imun menjadi lemah dan ia mempunyai 4 tahap berbeza mengikut keterukan keadaan pesakit. AIDS ialah tahap paling teruk bagi jangkitan HIV.

2. Jangkitan HIV boleh tersebar melalui sentuhan biasa

Salah faham ini memberikan kesan buruk kepada pesakit. Mereka mungkin disisihkan dari masyarakat atas penyakit yang disangka boleh berjangkit melalui sentuhan biasa. Malah, bercium juga tidak menyebarkan virus HIV.

Jangkitan berlaku melalui darah, air mani, cecair faraj, atau susu badan. Semua ini boleh tersebar melalui perkongsian jarum, hubungan seksual (terutamanya hubungan sejenis), dan menyusu badan.

3. Nyamuk boleh menyebarkan virus

Memandangkan HIV tersebar melalui darah, ramai mungkin menyangka nyamuk atau serangga lain boleh menyebarkan jangkitan. Kajian menunjukkan bahawa ia tidak boleh berlaku meskipun di kawasan yang mempunyai kepadatan nyamuk dan kes jangkitan HIV yang tinggi.

Apabila nyamuk atau serangga lain menggigit, ia tidak menyuntik darah ke dalam badan orang lain. Tambahan pula, virus HIV tidak boleh hidup lama di dalam serangga atau nyamuk.

4. Diagnosis jangkitan HIV ialah satu pengakhiran kepada hidup

Semasa wabak jangkitan ini bermula, kadar kematian adalah sangat tinggi. Tiada rawatan khusus dan pencegahan yang efektif pada ketika itu. Kini, semuanya sudah berubah. Rawatan ART (antiretroviral therapy) memberikan hasil yang meyakinkan. Pesakit boleh hidup seperti biasa tanpa memindahkan virus kepada orang lain. Meskipun ART tidak menyembuhkan jangkitan, ia mampu mengawal simptom dan jangkitan dengan syarat ubat diambil seumur hidup.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut