Salah Diagnosis Diri Dengan Penyakit Kronik Kerana Percayakan Dr.Google

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Kalau kita nak tahu tentang sesuatu, sure pilihan utama adalah search dekat Google, bukan? Malahan sebenarnya ada tau individu yang menggunakan carian tersebut dalam hal berkaitan kesihatan.

Diagnosis sendiri

Berdasarkan satu kajian, mendapati dua daripada lima individu di Amerika Syarikat telah mendiagnosis diri mereka dengan penyakit kronik selepas mendapatkan rundingan daripada Dr.Google mengenai simptom yang dihadapi.

Tinjauan yang dijalankan oleh LetsGetChecked dan dikendalikan oleh OnePoll melibatkan 2,000 individu mendapati 43 peratus responden menyemak simptom mereka secara atas talian dan mempercayai bahawa mereka mempunyai penyakit yang lebih serius berbanding keadaan sebenar. 

65 peratus responden menggunakan internet untuk mendiagnosis diri sendiri tetapi kajian menunjukkan membuat carian berdasarkan simptom atau gejala yang dihadapi hanya akan memburukkan keadaan.

Ini kerana 74 peratus responden memberitahu, carian yang pada mulanya dilakukan untuk mengurangkan kebimbangan bertukar dan membuatkan mereka lebih bimbang dan risau mengenai tahap kesihatan mereka. Keadaan ini disebabkan sumber jawapan yang boleh dipercayai dari Dr.Google adalah kurang daripada 40 peratus.

Google bukan pilihan pertama

Hasil kajian juga menunjukkan bahawa carian web bukanlah pilihan pertama setiap individu untuk melakukan diagnosis. Ini kerana separuh daripada responden, 51 peratus memilih untuk melakukan pemeriksaan dengan profesional perubatan sebagai pilihan utama. 

Dalam masa sama, satu per empat daripada responden, iaitu sebanyak 26 peratus tidak mempunyai doktor penjagaan utama dan enam daripada 10 secara aktif mengelak daripada melakukan pemeriksaan dengan doktor. 

47 peratus responden memilih alasan untuk mengelakkan doktor kerana kos rawatan, 37 peratus disebabkan doktor tidak mempercayai simptom atau gejala yang disampaikan responden dan sebanyak 37 peratus tidak mempunyai masa untuk melakukan pemeriksaan.

Salah diagnosis

Menurut Pengarah Perubatan LetsGetChecked, Robert Mordkin, hasil kajian ini menunjukkan bahawa sejumlah besar masyarakat menjalani kehidupan dengan gejala dan simptom yang mereka tidak faham atau salah diagnosis. 

Hakikat bahawa lebih separuh daripada individu dewasa memilih Google untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai gejala yang dihadapi adalah satu perkara yang tidak sepatutnya dilakukan. 

Keadaan ini akan menyebabkan individu yang mempunyai masalah kesihatan mengambil masa berminggu atau berbulan sebelum mendapatkan pemeriksaan doktor bagi penyelesaian yang lebih baik untuk masalah kesihatan yang dihadapi. Secara tidak langsung, ia mungkin akan memudaratkan lagi tahap kesihatan individu.

Pemeriksaan doktor

Bagi penulis, tidak salah untuk membuat sebarang carian di Google untuk mengenal pasti apakah masalah kesihatan yang mendasari simptom atau gejala yang dihadapi. Tetapi dalam masa yang sama, anda juga perlu melakukan pemeriksaan doktor untuk melakukan pemeriksaan.

Ini adalah untuk membolehkan anda memperolehi fakta yang lebih tepat berkaitan masalah yang anda mungkin hadapi. Jangan terlalu percaya 100 peratus dengan apa yang anda perolehi daripada Dr. Google, okay?

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut