Seorang individu yang menghidapi penyakit kencing manis tidak mempunyai insulin atau tidak bertindak balas terhadap insulin seperti kebiasaan, glukosa tidak dapat diproses oleh badan seperti biasa, lalu ia boleh menyebabkan tahap gula dalam darah merosot.
Apabila keadaan ini berlaku, di mana tahap gula dalam darah menurun secara tiba-tiba, badan akan menganggap bahawa anda kelaparan dan memerlukan lebih glukosa untuk berfungsi. Isyarat ini akan diterjemahkan sebagai satu tanda lapar oleh badan. Rasa lapar yang berterusan adalah antara simptom kencing manis yang boleh diperhatikan.
- Kerap dahaga dan kencing
Antara simptom diabetes yang boleh berlaku adalah anda akan kerap berasa dahaga walaupun setelah mengambil minuman yang mencukupi. Anda juga akan kerap untuk ke bilik air pada waktu malam.
Keadaan ini berlaku apabila terdapat terlalu banyak glukosa dalam darah, sekali gus memaksa buah pinggang anda bekerja dengan lebih keras untuk menyingkirkan kandungan gula tambahan tersebut. Ini akan membuatkan anda menjadi kerap membuang air kecil, adakalanya ia akan berlaku beberapa kali pada waktu malam. Kekerapan untuk kencing ini akan mengakibatkan anda untuk menjadi lebih dahaga.
- Keletihan, gangguan emosi
Ketika badan anda sedang mencuba untuk mengimbangi kekurangan glukosa, ia akan memberikan impak kepada anda, di mana keadaan ini akan menjadikan anda keletihan. Anda perlu bangun untuk membuang air kecil beberapa kali pada waktu malam, secara tidak langsung akan menyebabkan gangguan pada tidur anda dan keletihan pastinya akan mendatangkan gangguan kepada emosi, boleh menjadikan anda lebih cepat marah.
- Luka lambat sembuh
Ini adalah simptom yang paling sering berlaku. Keadaan ini boleh terjadi disebabkan saluran darah yang rosak kerana glukosa yang berlebihan bergerak di dalam urat dan arteri. Ia mendatangkan kesukaran kepada darah yang diperlukan untuk membantu proses penyembuhan sampai kepada anggota-anggota badan yang diperlukan.
- Penglihatan kabur
Apabila tahap glukosa dalam darah adalah tinggi, ia mengubah bentuk kanta dan mata. Keadaan ini akan menyebabkan penglihatan anda menjadi kabur. Walau bagaimanapun keadaan ini boleh menjadi normal atau hampir normal apabila tahap gula dalam darah kepada kepada asal. Tahap gula darah yang tinggi, jika dibiarkan untuk tempoh yang panjang, cenderung untuk menyebabkan kerosakan kekal dan berisiko untuk menyebabkan buta.
- Jangkitan
Simptom ini lebih berlaku kepada individu wanita. Anda perlu lebih berhati-hati kepada risiko jangkitan yis pada faraj. Diabetes secara umumnya akan melemahkan imunisasi badan, ini bermakna anda akan mudah untuk mendapat pelbagai jangkitan lain.
Sekiranya anda mempunyai simptom yang dinyatakan, adalah amat disarankan untuk anda mendapatkan pemeriksaan lanjut dengan doktor bagi mendapatkan kepastian mengenai tahap kesihatan anda.
Bagaimana diagnosis dilakukan?
Diagnosis untuk diabetes jenis 2 memerlukan hubung kait antara simptom dan juga keputusan ujian. Namun begitu, kebanyakan penghidap penyakit ini tidak mempunyai sebarang simptom (asymptomatic) ataupun hanya mengalami simptom yang tidak khusus atau jelas.
Untuk itu, melakukan pemeriksaan seperti ujian darah dan makmal adalah amat penting untuk mendapatkan diagnosis. Individu yang mengalami penyakit diabetes ini juga sering kali berdepan simptom seperti akan kerap ke tandas untuk kencing, kerap berasa dahaga walaupun sudah minum, jangkitan berulang dan kerap mengalami jangkitan kulit, mengalami penurunan berat berat tanpa sebarang alasan yang munasabah.
Seperti yang dinyatakan, kebanyakan individu yang mendapat penyakit diabetes ini adalah dalam kalangan individu dewasa lebih berusia, maka antara gejala yang dapat diperhatikan adalah masalah kabur penglihatan dan mereka juga kerap mempunyai tanda hitam pada sesetengah bahagian kulit mereka yang berkait rapat dengan kerintangan insulin. Tanda hitam pada kulit ini disebut sebagai Acanthosis nigricans.
Komplikasi diabetes jenis 2 boleh dibahagikan kepada akut dan kronik.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen