backup og meta

Nyamuk Bukan Sekadar Sebarkan Denggi

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 17/01/2023

    Nyamuk Bukan Sekadar Sebarkan Denggi

    “Tu la kau, bela nyamuk sangat, kan dah kena denggi. Padan muka!” Kalau cakap tentang nyamuk, mesti dikaitkan dengan denggi. Tapi adakah hanya denggi sahaja penyakit yang disebabkan nyamuk?

    Penyakit bawaan nyamuk

    Realitinya, seekor nyamuk mempunyai keupayaan untuk menyebarkan wabak atau penyakit lain yang boleh membawa maut. Selain denggi, nyamuk sebenarnya dikaitkan dengan penyebaran beberapa penyakit lain seperti, Zika, Chikungunya, malaria, Ensefalitis Jepun dan filariasis limfatik.

    Malangnya, masyarakat kita masih menganggap nyamuk hanyalah sekadar serangga kecil yang mempunyai sayap dan menghisap darah. Sedangkan beberapa penyakit yang disebutkan di atas berisiko untuk membawa ancaman maut.

    Jom ketahui serba sedikit mengenai penyakit sebaran nyamuk ini!

    Malaria

    Merupakan penyakit yang disebabkan oleh gigitan nyamuk tiruk atau dikenali sebagai Anopheles yang membawa Malaria (Plasmodium). Penyakit ini berlaku apabila parasit Malaria yang memasuki saluran darah melalui gigitan nyamuk tiruk membiak dan merosakkan sel darah merah.

    Nyamuk tiruk membiak di kawasan berair jernih seperti kawasan anak sungai di kaki bukit, aliran air tepi semak, air di celahan batu dan kawasan air yang terdapat di semak-samun. Kebiasaannya pada kawasan hutan, berbanding kawasan bandar.

    Tanda dan gejala 

    Malaria merupakan penyakit demam akut dengan tempoh inkubasi selama 7 hari atau lebih. Oleh kerana itu, demam yang berkembang kurang daripada seminggu selepas pendedahan pertama adalah bukan malaria. 

    Berikut adalah beberapa simptom yang boleh dikenal pasti:

  • Badan terasa sejuk dan menggigil
  • Peningkatan suhu badan menjadi panas
  • Demam berulang dan berlaku setiap 48 jam. Kitaran ini berterusan
  • Tanpa rawatan sewajarnya, demam akan berulang selang satu atau dua hari dan masalah berisiko untuk menjadi lebih kronik seperti koma, kekurangan sel darah merah (anemia), masalah buah pinggang, pendarahan sehingga berisiko menyebabkan maut
  • Tanda lain seperti pucat dan keletihan, muntah-muntah, myalgia, arthralgia serta loya
  • Simptom seperti demam kuning di mana kulit menguning
  • Filariasis limfatik

    Penyakit ini boleh berlaku disebabkan oleh cacing parasit berbentuk benang (pita) yang dipanggil filaria yang disebarkan oleh nyamuk jenis Anopheles dan Mansonia betina. Terdapat dua spesies filaria yang terdapat di Malaysia iaitu Wuchereria bancrofti dan Brugia malayi. 

    Filariasis limfatik atau penyakit untut, masih menjadi masalah kesihatan awam dan dianggarkan 120 juta penduduk di 80 buah negara dijangkiti penyakit ini. Satu pertiga pengidapnya tinggal di India, satu pertiga di kawasan Afrika dan selebihnya di Asia Tenggara, Pasifik dan Amerika. 

    Pada peringkat dewasa, parasit ini hidup di dalam sistem saluran limfatik iaitu rangkaian saluran dan nodus yang mengekalkan imbangan cecair di antara tisu dan darah yang juga komponen penting dalam sistem pertahanan badan.

    Berjuta-juta mikrofilaria yang hidup bebas di dalam aliran darah manusia boleh dihasilkan oleh cacing filaria. Ini kerana ia mampu dan mempunyai jangka hayat dari empat hingga enam tahun. Boleh bayangkan tak anda ‘hidup bersama’ cacing ini?

    Di negara ini, penyakit filariasis limfatik merupakan satu penyakit endemik, iaitu penyakit yang berlaku di daerah tertentu. Terdapat lapan buah negeri yang mempunyai risiko mengalami penyakit ini iaitu di Kedah, Perak, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak. 

    Tanda dan gejala

    Boleh dibahagikan kepada dua, iaitu:

    1 – Manifestasi akut

    • Pembengkakan pada bahagian tertentu
    • Demam, radang kemerahan
    • Kesejukan 
    • Pening kepala dan kelesuan

    Simptom yang dinyatakan di atas berlaku pada anggota badan atau dalam skrotum (pundi kemaluan) dan berkaitan dengan jangkitan kulat atau jangkitan bakteria yang melampau. Radang yang berlaku semasa serangan akut ini akan merosakkan saluran limfa kecil di dalam kulit dan mengurang keupayaan kulit untuk menyerap cecair.

    2 – Manifestasi kronik

    Keadaan ini melibatkan limfoedema dan urogenital. Limfoedema disebabkan oleh saluran limfatik yang tidak berfungsi kerana penyumbatan saluran akibat cacing filaria dewasa. Sering kali ia berlaku pada bahagian bawah badan. Tetapi ia boleh terjadi pada payudara, skrotum, zakar dan tangan. 

    Manifestasi kronik filariasis limfatik terdiri daripada hematuria (kehadiran darah dalam air kencing), hidrocele (pengumpulan cecair dalam pundi kencing), chyocele (kehadiran cecair limfa dalam tunika vaginalis), chyluria (kehadiran cecair limfa dalam air kencing) dan limfoedema pada skrotum atau zakar.

    Simptom yang boleh berlaku:

  • Luka
  • Rekahan 
  • Celar pada permukaan kulit dan di antara ruang kaki yang dipanggil lubang nanah
  • Tanpa rawatan sewajarnya, bakteria boleh memasuki sistem darah dah membahayakan nyawa
  • Rawatan

    Pesakit akan diberikan ubat yang bertujuan untuk membebaskan generasi akan datang daripada elephantiasis, hydrocele dan lain-lain manifestasi daripada penyakit ini dengan memutuskan kitaran jangkitan antara nyamuk dan manunis.

    Ubat yang akan diberikan ke kawasan-kawasan endemik setahun sekali adalah melibatkan dua jenis ubat dalam bentuk tablet:

    • Diethylcarbamazine (DEC) – 6mg/kg
    • Albendazole – 400mg (dos sama bagi semua tahap umur)

    Kesan sampingan ubatan adalah seperti pening, sengal badan, kelesuan, demam, mual dan muntah. Ianya dikaitkan secara positif dengan tahap dan kepadatan mikrofilaria dalam darah. Reaksi ini biasanya berlaku semasa awal rawatan dan kebiasaannya tidak berlanjutan lebih daripada 3 hari.

    Pencegahan

    Penduduk yang tinggal di kawasan endemik filariasis dinasihatkan untuk mengelakkan diri daripada terdedah kepada gigitan nyamuk kerana nyamuk merupakan vektor bagi transmisi penyakit ini.

    Pastikan kawasan persekitaran rumah anda adalah bebas dari pembiakan nyamuk dan kurangkan aktiviti pada waktu malam terutamanya jika anda berada di kawasan luar bandar atau hutan. 

    Penjagaan kebersihan diri juga adalah penting kepada individu yang mengidap penyakit ini terutama bahagian anggota badan yang mengalami limfoedema. Penjagaan kebersihan penting untuk mencegah daripada berlakunya jangkitan sekunder bakteria yang boleh menyebabkan manifestasi penyakit lebih teruk. 

    Japanese Encephalitis

    Di Malaysia, penyakit Japanese Encephalitis atau JE merupakan satu penyakit bersifat sporadik iaitu kes-kes terpencil. Ia pernah berlaku di kebanyakan negara Asia seperti Kemboja, China, Indonesia, India, Jepun, Nepal, Sri Lanka, dan Korea.

    Virus ini disebarkan oleh jangkitan nyamuk Culicine iaitu Culex tritaeniorhynchus, Culex vishnui, Culex gelidus dan Culex fuscocephala yang dijangkiti virus JE.

    Tanda dan gejala

    Kebanyakan jangkitan JE ini tidak menunjukkan tanda atau gejala. Dianggarkan hanya seorang daripada 250 individu yang dijangkiti akan menunjukkan gejala jangkitan. Antara gejala yang biasa adalah seperti:

    • Demam
    • Sakit kepala
    • Loya 
    • Muntah 

    Seperti yang boleh anda lihat, hampir kesemua penyakit bawaan nyamuk mempunyai gejala demam. Tetapi bagaimana untuk membezakan jika anda mempunyai demam kerana JE? 

    Selepas tempoh inkubasi antara 5 hingga 15 hari, gejala awal biasanya tidak spesifik. Ia mungkin melibatkan simptom seperti demam, cirit-birit, kekejangan yang diikuti sakit kepala, muntah-muntah, dan rasa kelesuan serta keletihan. 

    Walau bagaimanapun, selepas tempoh tersebut, akan wujud perubahan status mental seperti kemerosotan neurologi fizikal termasuk paresis, hemiplegia, tetraplegia, atau cranial nerve palsies dan / atau perkembangan gangguan pergerakan.

    Sawan juga boleh berlaku dan masalah itu paling kerap dialami oleh kanak-kanak.

    Ancaman bahaya

    Malaysia merupakan sebuah negara tropika dengan cuaca panas dan hujan sepanjang tahun, dan disebabkan itu, kita akan sentiasa dikelilingi nyamuk. Namun, sering kali kita berasa nyamuk hanya serangga kecil yang tidak berbahaya. 

    Hakikatnya ia boleh mengancam dan berbahaya kepada kita. Pastikan kawasan sekitar rumah bebas daripada menjadi tempat pembiakan nyamuk. Mencegah itu pastinya lebih baik daripada merawat. 

    Anda mungkin berminat untuk membaca artikel ini:

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 17/01/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan