backup og meta

Manfaatkan Cuti Tahunan Anda, Elak Sakit Jantung

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 29/02/2020

    Manfaatkan Cuti Tahunan Anda, Elak Sakit Jantung

    Tahukah anda, individu yang bercuti kurang daripada 2 kali setahun berisiko untuk mendapat penyakit kardiovaskular? Ini bukan auta. Ia berdasarkan kajian terhadap faktor risiko penyakit kardiovaskular. Ikuti artikel ini untuk mengetahui kenapa anda perlu memanfaatkan cuti tahunan anda.

    Melancong demi kelanjutan usia

    penyakit kardiovaskular

    Pada tahun 1948, kajian untuk mengenal pasti faktor risiko penyakit jantung telah dijalankan. Ia dikenali sebagai Kajian Jantung Framingham melibatkan 5,209 penduduk Framingham.

    Pelaksanaan kajian tersebut adalah melalui borang kaji selidik dan salah satu daripada ruang yang perlu diisi adalah kekerapan mereka mengambil cuti daripada bekerja.

    Dapatan kajian itu menunjukkan bahawa wanita yang melancong sekali dalam tempoh 6 tahun mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat penyakit kardiovaskular. Perbandingan ini dibuat dengan wanita yang bercuti sekurang-kurangnya 2 kali setahun.

    Faktor risiko ini tidak hanya tertumpu kepada wanita sahaja. Lelaki yang tidak mengambil cuti tahunan mempunyai risiko setinggi 30% untuk mati disebabkan oleh penyakit jantung. Jumlah risiko ini mengambil kira faktor risiko penyakit jantung lain seperti penyakit darah tinggi (hipertensi).

    Percutian tahunan mempunyai sifat pemulihan terhadap individu dalam mengekalkan kesan positif kepada tahap kesihatan secara menyeluruh. 

    Hilangkan stres ketika bercuti

    bercuti

    Apa yang bermain di fikiran anda saat anda berasa tertekan dengan jumlah kerja yang banyak? Pasti anda berasa letih dan sedih. Bagaikan hendak menangis melihat kerja yang bertimbun di atas meja. Semua itu boleh diubati dengan memanfaatkan cuti tahunan. 

    Selain daripada kelebihan kesihatan kardiovaskular, percutian ke tempat menarik dapat menghilangkan stres. Ini dapat menghindarkan kesan buruk daripada keadaan tersebut seperti lemah imuniti badan, pening kepala, sindrom usus rengsa (irritable bowel syndrome) dan penyakit mental.

    Menurut data yang dikumpul oleh Mayo Clinic, stres boleh meningkatkan tahap kortisol di dalam badan. Hormon ini boleh menyebabkan pelbagai kesan fisiologikal, salah satu daripadanya adalah mempercepatkan proses penuaan. 

    Percutian juga boleh memberikan kebebasan kepada individu daripada cengkaman rutin harian yang berulang. Soal kaji selidik yang telah dibuat pada tahun 2012 menunjukkan 89% daripada individu yang melancong dapat berehat dan melupakan bebanan kerja.

    Ini boleh meningkatkan motivasi untuk bekerja kelak, taraf kesihatan individu beserta kepuasan hidup berbanding dengan mereka yang kurang pergi bercuti.

    Aktiviti fizikal meningkat ketika bercuti

    cuti tahun

    Kehidupan tidak aktif telah menyumbang kepada kematian kira-kira 3 juta individu setahun akibat daripada penyakit kronik. Ini agak merunsingkan kerana ia merupakan penyebab yang boleh diatasi dengan peningkatan aktiviti fizikal.

    Kebanyakan individu melancong untuk menghilangkan stres, namun salah satu daripada kesan positif aktiviti melancong adalah peningkatan aktiviti fizikal. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan setiap individu untuk membuat aktiviti fizikal berintensiti rendah sekurang-kurangnya 150 minit seminggu.

    Aktiviti seperti berjalan, berbasikal, mendaki bukit boleh melindungi diri daripada penyakit-penyakit kronik. Melancong merupakan aktiviti yang sesuai untuk mereka yang sudah berusia memandangkan ia boleh memberikan kebaikan kesihatan yang optimum kesan daripada aktiviti fizikal bertaraf sederhana. 

    Berjumpa dengan individu baru, mencuba makanan baru serta mengenali persekitaran baru boleh meningkatkan tahap kerintangan otak terhadap penyakit degeneratif. Kajian longitudinal Eropah pada tahun 2002 menunjukkan bahawa mereka yang aktif menyertai aktiviti sosial dan mental berkait dengan pelancongan mempunyai risiko yang rendah untuk mendapat demensia.

    Mereka yang melancong bersama rakan kebiasaannya dapat menikmati penurunan tahap stres yang lebih signifikan kesan daripada interaksi sosial yang menjadikan aktiviti tersebut lebih menarik.

    Konklusi

    Percutian ke tempat menarik dapat mengimbangi tahap tekanan di dalam hidup individu. Ini boleh menurunkan risiko untuk mendapat penyakit kardiovaskular seterusnya menggalakkan proses penuaan yang lebih sihat.

    Jika anda belum melancong lagi tahun ini, mohon cuti dan melanconglah ke tempat menarik. Ia boleh menghindarkan penyakit kardiovaskular.

    Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

    Baca juga:

  • 7 Hari Cuti Paterniti. Apa Kata Anda? 

  • Ini Sebab Mengapa Ibu Perlukan Cuti Bersalin yang Lama!

  • Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 29/02/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan