Manfaatkan Cuti Tahunan Anda, Elak Sakit Jantung

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan

Tahukah anda, individu yang bercuti kurang daripada 2 kali setahun berisiko untuk mendapat penyakit kardiovaskular? Ini bukan auta. Ia berdasarkan kajian terhadap faktor risiko penyakit kardiovaskular. Ikuti artikel ini untuk mengetahui kenapa anda perlu memanfaatkan cuti tahunan anda.

Melancong demi kelanjutan usia

Pada tahun 1948, kajian untuk mengenal pasti faktor risiko penyakit jantung telah dijalankan. Ia dikenali sebagai Kajian Jantung Framingham melibatkan 5,209 penduduk Framingham. Pelaksanaan kajian tersebut adalah melalui borang kaji selidik dan salah satu daripada ruang yang perlu diisi adalah kekerapan mereka mengambil cuti daripada bekerja. Dapatan kajian itu menunjukkan bahawa wanita yang melancong sekali dalam tempoh 6 tahun mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat penyakit kardiovaskular. Perbandingan ini dibuat dengan wanita yang bercuti sekurang-kurangnya 2 kali setahun.

Faktor risiko ini tidak hanya tertumpu kepada wanita sahaja. Lelaki yang tidak mengambil cuti tahunan mempunyai risiko setinggi 30% untuk mati disebabkan oleh penyakit jantung. Jumlah risiko ini mengambil kira faktor risiko konvensional seperti penyakit darah tinggi (hipertensi). Percutian tahunan mempunyai sifat pemulihan terhadap individu dalam mengekalkan kesan positif kepada kesihatan secara menyeluruh. 

Hilangkan stres

Apa yang bermain di fikiran anda saat anda berasa tertekan dengan jumlah kerja yang banyak? Selain daripada kelebihan kesihatan kardiovaskular, percutian ke tempat menarik dapat menghilangkan stres. Ini dapat menghindarkan kesan buruk daripada keadaan tersebut seperti lemah imuniti badan, pening kepala, sindrom usus rengsa (irritable bowel syndrome) dan penyakit mental. Menurut data yang dikumpul oleh Mayo Clinic, stres boleh meningkatkan tahap kortisol di dalam badan. Hormon ini boleh menyebabkan pelbagai kesan fisiologikal, salah satu daripadanya adalah mempercepatkan proses penuaan. 

Percutian juga boleh memberikan kebebasan kepada individu daripada cengkaman rutin harian yang berulang. Soal kaji selidik yang telah dibuat pada tahun 2012 menunjukkan 89% daripada individu yang melancong dapat berehat dan melupakan bebanan kerja. Ini boleh meningkatkan motivasi, taraf kesihatan individu beserta kepuasan hidup berbanding dengan mereka yang kurang pergi bercuti.

Aktiviti fizikal

Kehidupan sedentar telah menyumbang kepada kematian kira-kira 3 juta individu setahun akibat daripada penyakit kronik. Ini agak merunsingkan kerana ia merupakan penyebab yang boleh diatasi dengan peningkatan aktiviti fizikal. Kebanyakan individu melancong untuk menghilangkan stres, namun salah satu daripada kesan positif aktiviti melancong adalah peningkatan aktiviti fizikal. Aktiviti seperti berjalan, berbasikal, mendaki bukit boleh melindungi diri daripada penyakit-penyakit kronik. Melancong merupakan aktiviti yang sesuai untuk mereka yang sudah berusia memandangkan ia boleh memberikan kebaikan kesihatan yang optimum kesan daripada aktiviti fizikal bertaraf sederhana. 

Berjumpa dengan individu baru, mencuba makanan baru serta mengenali persekitaran baru boleh meningkatkan tahap kerintangan otak terhadap penyakit degeneratif. Kajian longitudinal Eropah pada tahun 2002 menunjukkan bahawa mereka yang aktif menyertai aktiviti sosial dan mental berkait dengan pelancongan mempunyai risiko yang rendah untuk mendapat demensia. Mereka yang melancong bersama rakan kebiasaannya dapat menikmati penurunan tahap stres yang lebih signifikan kesan daripada interaksi sosial yang menjadikan aktiviti tersebut lebih menarik.

Konklusi

Percutian ke tempat menarik dapat mengimbangi tahap tekanan di dalam hidup individu. Ini boleh menurunkan risiko untuk mendapat penyakit kardiovaskular seterusnya menggalakkan proses penuaan yang lebih sihat. Jika anda belum melancong lagi tahun ini, mohon cuti dan melanconglah ke tempat menarik. Ia boleh menghindarkan penyakit kardiovaskular.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut