Luka Lambat Sembuh kerana Diabetes?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Pernahkah anda mengalami luka dan ia mengambil masa untuk sembuh? Apakah yang menyebabkan situasi ini berlaku? Bolehkah keadaan kesihatan seperti masalah diabetes menjadi punca kepada luka yang mengambil masa lebih lama untuk sembuh dan baik? Ikuti artikel ini untuk penjelasan lanjut.

Mengenai diabetes 

Penyakit diabetes atau lebih mudah dikenali sebagai kencing manis ini bukan sahaja dihidapi oleh golongan yang berusia, malah saban tahun ia semakin menular tanpa mengira usia dan jantina termasuk kanak-kanak dan remaja.

Kencing manis secara ringkasnya merupakan satu masalah kesihatan yang berkaitan dengan kadar gula dalam darah yang tinggi. Ia adalah satu keadaan yang mengganggu dan merosakkan keupayaan badan untuk memproses glukosa darah atau dikenali sebagai gula dalam darah. 

Jika ia dibiarkan secara berterusan, tanpa sebarang kawalan dan penjagaan yang lebih baik, kencing manis berisiko untuk menyebabkan pembentukan gula dalam darah, yang cenderung untuk meningkatkan risiko komplikasi penyakit kronik dan berbahaya seperti strok (angin ahmar) dan penyakit jantung.

Turut dikenali sebagai Diabetes Mellitus (DM) dalam kalangan warga perubatan, penyakit diabetes ini boleh dibahagikan kepada tiga subkategori utama, iaitu:

  • Diabetes Mellitus jenis 1 (Type 1 Diabetes Mellitus, T1DM)

Merupakan diabetes yang paling kerap berlaku dalam kalangan individu kanak-kanak dan juga remaja. Ia adalah sejenis penyakit kronik yang berkait rapat dengan pelbagai komplikasi seperti retinopati, nefropati, neuropati dan juga morbiditi berkaitan dengan sistem kardiovaskular.

Menurut kajian-kajian yang telah dilakukan, kawalan gula dalam darah yang baik dan awal adalah penting dalam mengurangkan kekerapan berlakunya komplikasi berkaitan dengan kencing manis yang kronik.

  • Diabetes Mellitus jenis 2 (Type 2 Diabetes Mellitus,T2DM)

Adalah satu penyakit diabetes yang kerap berlaku dalam kalangan individu dewasa. Ia merupakan penyakit kronik yang cukup lazim dan semakin meningkat insidennya di seluruh dunia. 

Diabetes jenis 2 ini banyak dipengaruhi oleh faktor persekitaran dan juga peranan kecenderungan genetik seseorang itu. Lazimnya, penyakit diabetes ini dizahirkan melalui keadaan paras gula dalam darah yang tinggi (hyperglycaemic state) yang kronik bersama gangguan metabolik yang lain. 

  • Diabetes Mellitus ketika hamil (Gestational Diabetes Mellitus, GDM)

Gestational diabetes mellitus (GDM) adalah merupakan satu penyakit yang biasa dialami oleh individu wanita hamil. Ia adalah salah satu komplikasi perubatan kerap dihadapi semasa kehamilan. Tidak seperti bentuk diabetes yang lain, diabetes gestasi akan hilang sejurus selepas kelahiran. 

Diabetes ini boleh menjejaskan kesihatan ibu dan janin jika tidak dikesan dan dikawal. Wanita hamil mempunyai lebih banyak risiko preeklampsia, jangkitan, pendarahan selepas bersalin, dan keguguran. Merawat diabetes gestasi sangat diperlukan untuk memastikan janin sihat dan mengelakkan komplikasi semasa kelahiran.

Simptom diabetes

Berikut adalah beberapa simptom kencing manis umum yang boleh berlaku, antaranya seperti:

  1. Paras gula dalam darah tinggi

Cara terbaik untuk mengetahui tahap gula dalam darah adalah dengan menjalani pemeriksaan. Paras gula dalam darah yang meningkat selepas makan adalah sesuatu yang normal. Tetapi sekiranya tahap gula dalam darah yang tinggi ini tidak menurun dan berterusan sepanjang hari, ia adalah sesuatu yang tidak normal.

  1. Kehilangan berat badan

Antara simptom yang mungkin berlaku adalah berat badan yang semakin berkurangan. Tahap gula dalam darah yang tinggi boleh menyebabkan kehilangan berat badan dalam jangka masa yang singkat, antara 2 hingga 3 kilogram dalam masa 2 atau 3 bulan. Jika anda sememangnya sedang dalam usaha untuk menurunkan berat badan, mungkin anda akan berasa gembira. Tetapi hakikatnya kehilangan berat badan ini bukanlah sesuatu yang menyihatkan. 

Keadaan ini boleh berlaku apabila hormon insulin tidak berfungsi untuk membekalkan glukosa ke dalam sel-sel di mana ia boleh digunakan sebagai tenaga, badan akan menganggap ia sebagai satu signal kelaparan dan mengurai lemak pada otot sebagai sumber tenaga alternatif.

Luka Lambat Sembuh kerana Diabetes - sentiasa lapar

  1. Sentiasa lapar

Seorang individu yang menghidap penyakit kencing manis tidak mempunyai insulin atau tidak bertindak balas terhadap insulin seperti kebiasaan, glukosa tidak dapat diproses oleh badan seperti biasa, lalu ia boleh menyebabkan tahap gula dalam darah merosot. 

Apabila keadaan ini berlaku, di mana tahap gula dalam darah menurun secara tiba-tiba, badan akan menganggap bahawa anda kelaparan dan memerlukan lebih glukosa untuk berfungsi. Isyarat ini akan diterjemahkan sebagai satu tanda lapar oleh badan. Rasa lapar yang berterusan adalah antara simptom kencing manis yang boleh diperhatikan. 

  1. Kerap dahaga dan kencing

Antara simptom diabetes yang boleh berlaku adalah anda akan kerap berasa dahaga walaupun setelah mengambil minuman yang mencukupi. Anda juga akan kerap untuk ke bilik air pada waktu malam. 

Keadaan ini berlaku apabila terdapat terlalu banyak glukosa dalam darah, sekali gus memaksa buah pinggang anda bekerja dengan lebih keras untuk menyingkirkan kandungan gula tambahan tersebut. Ini akan membuatkan anda menjadi kerap membuang air kecil, adakalanya ia akan berlaku beberapa kali pada waktu malam. Kekerapan untuk kencing ini akan membuatkan anda untuk menjadi lebih dahaga. 

  1. Keletihan, gangguan emosi

Ketika badan anda sedang mencuba untuk mengimbangi kekurangan glukosa, ia akan memberikan impak kepada anda, di mana keadaan ini akan menjadikan anda keletihan. Anda perlu bangun untuk membuang air kecil beberapa kali pada waktu malam, secara tidak langsung akan menyebabkan gangguan pada tidur anda dan keletihan pastinya akan mendatangkan gangguan kepada emosi, boleh menjadikan anda lebih cepat marah. 

  1. Luka lambat sembuh

Ini adalah simptom yang paling sering berlaku. Keadaan ini boleh terjadi disebabkan saluran darah yang rosak kerana glukosa yang berlebihan bergerak di dalam urat dan arteri. Ia mendatangkan kesukaran kepada darah yang diperlukan untuk membantu proses penyembuhan sampai kepada anggota-anggota badan yang diperlukan. Biasanya melibatkan dua keadaan, iaitu penyakit vaskular periferi dan neuropati diabetes. 

  1. Penglihatan kabur

Apabila tahap glukosa dalam darah adalah tinggi, ia mengubah bentuk kanta dan mata. Keadaan ini akan menyebabkan penglihatan anda menjadi kabur. Walau bagaimanapun keadaan ini boleh menjadi normal atau hampir normal apabila tahap gula dalam darah bertukar kepada asal. Tahap gula darah yang tinggi, jika dibiarkan untuk tempoh yang panjang, cenderung untuk menyebabkan kerosakan kekal dan berisiko untuk menyebabkan buta. 

  1. Jangkitan

Simptom ini lebih berlaku kepada individu wanita. Anda perlu lebih berhati-hati kepada risiko jangkitan yis pada faraj. Diabetes secara umumnya akan melemahkan imunisasi badan, ini bermakna anda akan mudah untuk mendapat pelbagai jangkitan lain. 

Mengapa luka lambat sembuh?

Seperti yang dinyatakan di dalam senarai simptom bagi penyakit diabetes ini, pesakit yang menghidapi masalah kesihatan ini akan berdepan dengan situasi luka yang lambat untuk baik dan sembuh. Tetapi mengapakah keadaan ini berlaku?

Luka yang dialami oleh pesakit diabetes akan mengambil masa penyembuhan yang lebih lama berbanding dengan luka yang terjadi kepada individu sihat. Bahkan jika tidak ditangani dengan kaedah yang betul, luka pesakit diabetes berisiko untuk merebak hingga berakhir dengan pemotongan anggota badan yang terlibat. 

Antara sebab mengapa luka yang berlaku sukar untuk sembuh adalah kerana kadar gula dalam darah pada badan pesakit adalah terlalu tinggi. Keadaan ini sekali gus cenderung untuk merosakkan dan mengganggu fungsi saraf, mengurangkan sistem imunisasi badan dan mengakibatkan proses aliran darah menjadi kronik, dan melambatkan proses penyembuhan jaringan sel dan tisu badan yang terluka serta mengalami kerosakan. 

Keadaan ini akan mengakibatkan luka akan tetap terbuka, berdarah serta susah untuk disembuhkan. Luka yang sukar untuk sembuh berisiko untuk menyebabkan pesakit lebih berisiko untuk terdedah kepada jangkitan kulat, jangkitan bakteria dan gangren. 

Bagaimana merawat luka yang dialami?

Bagi mengelakkan risiko luka untuk menjadi lebih serius dan kronik, berikut adalah beberapa kaedah rawatan luka bagi pesakit diabetes, iaitu:

Luka Lambat Sembuh kerana Diabetes - kaedah rawatan

  1. Bersihkan luka

Langkah pertama yang harus dilakukan untuk merawat luka bagi pesakit kencing manis adalah dengan membersihkan luka dengan segera. Anda boleh memilih untuk membersihkan luka dengan air yang mengalir dan sabun atau sebarang pencuci antiseptik. Kemudian, pastikan luka itu dilap dengan kering dan sapukan krim sapu antibiotik yang disarankan oleh doktor supaya luka bebas daripada jangkitan kuman. Pastikan anda kerap menukar kain balutan luka agar ia sentiasa dalam keadaan bersih. 

  1. Kurangkan tekanan pada luka

Hindari dari memberikan tekanan yang berlebihan pada kawasan atau bahagian yang mengalami luka, seperti dengan mengelakkan pemakaian pakaian yang terlalu ketat. Mengurangkan tekanan dapat membantu luka untuk lebih cepat pulih dan baik. Jika anda mengalami luka pada bahagian tapak kaki, disarankan untuk menggunakan kusyen lembut atau kasut khas bagi mencegah masalah yang lebih teruk disebabkan diabetes. 

  1. Mengawal tahap gula dalam darah

Kandungan tahap gula dalam darah yang tidak terkawal pastinya akan merumitkan lagi proses penyembuhan luka. Oleh itu, adalah amat penting untuk mengawal paras gula dalam darah dengan mengamalkan diet pemakanan yang sihat untuk diabetes, senaman, pengambilan ubat antidiabetes, dan suntikan insulin, sekiranya diperlukan. Anda boleh berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kaedah mengawal dan penjagaan tahap gula dalam darah.

  1. Pantau tanda-tanda jangkitan

Jangkitan pada luka boleh berlaku tanpa sebarang simptom. Namun, berikut adalah antara simptom yang mungkin terjadi seperti demam, rasa kesakitan, kemerahan, bengkak atau berasa panas sekitar kawasan yang luka. Tambahan bagi simptom yang berikut, luka yang mengalami jangkitan juga boleh diklasifikasikan apabila luka menjadi berair, bernanah, diikuti dengan bau yang tidak menyenangkan. Dengan mengenal pasti simptom jangkitan dengan cepat pastinya akan dapat membantu anda untuk mengatasi dan mengubati masalah luka tersebut.

  1. Penjagaan pemakanan

Bagi mempercepatkan proses penyembuhan luka, anda amatlah digalakkan untuk menjaga aspek pemakanan dan pengambilan nutrisi harian anda. Salah satu nutrien penting yang harus diambil setiap hari untuk merawat luka diabetes adalah protein. Protein dipercayai dapat membantu memperbaiki tisu kulit yang rosak dan tisu badan lain. Keperluan kalori, lemak, serat, vitamin dan mineral seperti zink dan vitamin C juga sama pentingnya. 

  1. Pemeriksaan doktor

Seandainya luka yang dialami tidak bertambah baik dalam tempoh masa 48 jam, anda disarankan untuk menghubungi doktor atau mendapatkan pemeriksaan doktor dengan kadar yang segera. Jika ia tidak dilakukan dengan cepat, ia akan meningkatkan kecenderungan untuk luka-luka anda akan menjadi lebih buruk serta kronik dan sukar untuk diubati. 

Mencegah kehadiran luka baru

Terdapat beberapa situasi yang cenderung untuk menyebabkan munculnya luka baru, seperti:

  • Memotong kuku

Sekiranya anda adalah penghidap diabetes, maka anda perlu lebih berhati-hati ketika memotong kuku, terutama kepada individu yang pernah mengalami luka di kaki sebelum ini. Langkah pencegahan ini adalah untuk mengelakkan berlaku sebarang kecederaan dan luka apabila anda memotong kuku. Sekiranya anda berdepan masalah untuk memotong kuku anda, pastinya anda perlu mendapatkan bantuan individu lain, dan jangan pernah teragak-agak untuk meminta bantuan kerana ia pastinya dapat mengelakkan daripada berlaku sebarang kecederaan. 

  • Memeriksa kaki

Individu yang mengalami masalah kencing manis biasanya akan kerap mengalami masalah kebas pada kaki. Maka adalah penting untuk anda memeriksa kaki termasuklah tapak kaki anda selepas melakukan sebarang aktiviti atau memakai kasut. Ini adalah bertujuan untuk mengelakkan sebarang luka-luka kecil, kemerahan atau bengkak yang mungkin tidak anda sedari. Selain itu, anda juga boleh membasuh kaki dan mengelapnya sehingga kering dengan segera bagi memastikan kaki anda sentiasa bersih. 

  • Kasut selesa

Untuk mengelakkan luka dan kesakitan pada kaki, anda dinasihatkan untuk sentiasa memakai kasut ketika di dalam atau di luar rumah. Selain itu, sebaiknya pilih dan pakai kasut yang selesa dan mempunyai kusyen pelapik pada bahagian tumit. Hindari daripada memakai kasut yang terlalu ketat dan keras kerana ia boleh membuatkan kaki anda mengalami luka dan sakit. 

  • Jangan merokok

Luka Lambat Sembuh kerana Diabetes - merokok

Jika anda mempunyai sejarah menghidapi diabetes, adalah amat disarankan untuk anda berhenti merokok. Tabiat merokok hanya akan menyebabkan peredaran darah anda terhalang dan mengurangkan aliran oksigen ke seluruh badan. Hasilnya, jika anda mengalami luka, ia akan menjadi semakin teruk dan proses penyembuhan akan menjadi perlahan. 

  • Pemeriksaan doktor

Pastikan anda mendapatkan pemeriksaan secara tetap untuk memeriksa kaki dan anggota badan lain untuk merawat sebarang luka diabetik. Doktor mungkin dapat membantu memeriksa jika terdapat sebarang tanda awal kerosakan saraf, masalah peredaran yang lemah atau jangkitan luka, agar rawatan awal dapat diberikan dengan segera. Jika anda mempunyai sejarah diabetes atau sebarang kecederaan yang tidak sembuh pada kaki, maka anda perlu mendapatkan pemeriksaan dan rawatan yang betul daripada doktor. 

Pentingnya pemakanan seimbang

Jika anda sudah mula mengalami gejala atau simptom kencing manis, adalah amat penting untuk anda menjaga aspek pemakanan anda. Berikut adalah perkara yang boleh anda lakukan untuk menghindari diri anda daripada untuk berdepan dengan lebih banyak simptom kencing manis. Antaranya seperti:

1# Perbanyakan serat

Memperbanyakkan serat dalam hidangan makanan yang anda ambil adalah satu perkara yang amat baik untuk kesihatan anda. Ini kerana serat secara definisinya adalah komponen karbohidrat tumbuh-tumbuhan yang tidak boleh dipecahkan dan diserap oleh badan manusia.

Pengambilan serat yang lebih adalah aspek yang penting dalam makanan seimbang. Serat berupaya untuk meningkatkan isipadu makanan tanpa penambahan kalori. Ini membolehkan serat untuk menghasilkan rasa kenyang yang sama dengan pengambilan kalori yang lebih banyak, sekali gus mendorong seseorang itu untuk berasa kenyang dengan lebih lama dengan kalori yang lebih rendah. 

2# Kurangkan karbohidrat

Di Malaysia, nasi merupakan makanan ruji – ia merupakan sumber karbohidrat yang mudah didapati di Malaysia, ia diambil dalam hampir setiap hidangan, daripada sarapan sehinggalah ke makan malam. Tidak cukup dengan itu, sajian tinggi dengan karbohidrat ini juga lazimnya dihidangkan dengan minuman yang manis seperti air milo, kopi dan juga air teh. Dalam satu hidangan bersama satu minuman sahaja, sebahagian besar keperluan kalori harian seseorang itu telahpun dipenuhi. 

Akibat daripada tabiat mengambil makanan yang tinggi dengan kalori daripada karbohidrat, ia menyebabkan badan seseorang itu terus menerus membawa dan mengumpul kalori yang berlebihan dan juga simpanan gula (glukosa) yang tinggi dalam badan, meningkatkan risiko untuk menghidap kencing manis. Justeru, pengambilan karbohidrat perlu dikurangkan bagi menurunkan risiko anda daripada menghidap kencing manis. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut