JAGA-JAGA! Teks Whatsapp Boleh Buat Hubungan Dengan Pasangan Retak, Kenapa?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Dengan kemudahan telefon pintar serta jaringan hubungan internet yang begitu laju, kiriman teks melalui mesej mahupun Whatsapp sering menjadi pilihan komunikasi yang lebih digemari berbanding bercakap melalui telefon.

Ini kerana kos menghantar mesej adalah jauh lebih murah dan juga percuma tanpa had berbanding daripada membuat panggilan melalui telefon.

Selain itu, percaya atau tidak, mesej juga mempunyai peranannya dalam membantu dan juga merosakkan perhubungan anda.

Adakalanya anda menggunakan kiriman teks dengan tujuan untuk kekal berhubung dengan buah hati anda, tetapi kadangkala ia digunakan untuk mengelakkan sesuatu situasi yang tidak diingini.

Bagaimana kiriman teks memberi kesan terhadap perhubungan anda?

mesej

Aktiviti bermesej dalam perhubungan sememangnya mempunyai peranannya yang tersendiri. Tidak dinafikan bahawa mesej sememangnya memberikan kedua-dua kesan positif dan negatif dalam perhubungan.

Walau bagaimanapun, timbul masalah apabila kiriman teks ini menjadi cara yang paling utama dalam berkomunikasi antara anda dan pasangan anda.

Mengapa ia menjadi masalah? Ini kerana seringkali berlakunya salah faham dan salah anggap akibat daripada penggunaan mesej sebagai medium komunikasi utama. Ia kemudiannya boleh menjejaskan hubungan antara anda dan pasangan. 

Kesan menggunakan kiriman teks sebagai medium dalam perhubungan

#1. Mesej boleh memperbaiki hubungan

Mesej dengan kandungan teks yang bersifat pujian, lucu atau komen yang positif boleh membuatkan pasangan anda berasa lebih selesa dan dekat dengan anda. Mereka juga akan berasa lebih seronok dengan hubungan yang mereka miliki bersama anda.

#2. Mesej berlebihan menunjukkan terdapat sesuatu isu atau masalah

Apabila seseorang pasangan itu menghantar kiriman teks kepada pasangannya secara berlebihan, ia adalah satu tanda amaran.

Sebagai contoh, jika seseorang itu bermesej secara tanpa henti, ia mungkin menunjukkan bahawa dia adalah seorang yang bersifat suka menempel dengan pasangannya. Ia adalah salah satu tanda insecure dalam perhubungan.

Selain itu, mesej yang berlebihan juga adalah salah satu tanda controlling issues. Apabila pasangan anda kerap bermesej dan bertanya mengenai keberadaan anda, dengan siapa anda berada dan apa yang anda lakukan, ia menunjukkan bahawa hubungan anda berada dalam situasi yang kurang sihat. 

#3. Sexting boleh menimbulkan masalah dalam perhubungan

Jika anda berfikir bahawa dengan menghantar teks-teks seksi atau gambar lucah boleh menjadikan hubungan anda lebih hot, anda ternyata silap! Terdapat satu kajian yang menunjukkan bahawa perhubungan yang melibatkan teks berunsur seks secara melampau akan mengalami lebih banyak konflik.

Kesilapan yang sering berlaku melalui mesej

mesej

Berikut merupakan antara kesilapan yang sering berlaku ketika bermesej bagi mereka yang sedang dalam perhubungan. 

#1. Menggunakan mesej sebagai medium untuk menyelesaikan masalah

Jika terdapat sebarang masalah atau konflik dalam perhubungan anda, cuba elakkan daripada menggunakan mesej teks bagi menyelesaikannya. Ingat, mesej bukanlah alat untuk anda menyelesaikan masalah. Adalah lebih baik jika anda berjumpa secara berhadapan dengan pasangan anda bagi sebarang perbincangan.

Berkomunikasi secara bersemuka akan memberikan anda satu perbualan yang lebih bermakna kerana anda boleh melihat ekspresi wajah dan nada suara pasangan anda. Ini adalah satu perkara yang amat penting dalam satu komunikasi yang sihat antara kedua-dua belah pihak.

#2. Bertanya terlalu banyak soalan

Jika anda bertanya 2 atau 3 soalan, ia adalah sesuatu yang normal dan memperlihatkan bahawa anda mempunyai minat terhadap pasangan anda. Tetapi jika anda bertanya terlalu banyak soalan kepada pasangan anda, dia akan merasakan seperti anda melakukan soal siasat ke atasnya. 

Hadkan pertanyaan anda kerana anda masih mempunyai banyak masa untuk bertanya kepadanya. 

#3. Menghantar kiriman Whatsapp yang terlalu panjang

Ini adalah salah satu kesilapan yang sering berlaku. Anda tidak sepatutnya menghantar teks mesej yang terlalu panjang kerana ia boleh menjadi sesuatu yang menjengkelkan. Apatah lagi jika pasangan anda sedang sibuk dan tidak mempunyai banyak masa untuk menghadam segala yang anda tulis.

Jika anda mempunyai sesuatu yang panjang untuk diluahkan, elakkan penggunaan mesej dan seeloknya anda berjumpa dengan pasangan anda atau menelefonnya.

#4. Menghantar mesej ketika sedang marah

Jangan sesekali menghantar mesej ketika anda sedang berada dalam emosi yang tidak stabil seperti marah. Anda cenderung untuk berfikiran cetek dan tidak berfikir dengan sebaiknya ketika anda sedang marah. 

Ini akan membuatkan anda berasa menyesal berkenaan apa yang anda hantar melalui mesej setelah kemarahan anda reda.

#5. Mesej pada waktu yang tidak sesuai

Anda perlu ingat untuk sentiasa menghormati waktu peribadi pasangan anda. Walaupun mesej boleh dibalas pada bila-bila masa, ini tidak bermakna bahawa anda boleh menghantar mesej tidak kira waktu.

Elakkan diri anda daripada menghantar mesej pada waktu awal pagi atau lewat malam. Tunggu waktu yang sesuai untuk menghantar mesej anda. Ini kerana jika anda menghantar mesej pada waktu tengah malam, tidak bermakna anda akan mendapat balasan mesej pada waktu itu juga. Hormati pasangan anda jika anda ingin dihormati kerana masing-masing mempunyai kehidupan peribadi yang ingin dinikmati. 

Anda tidak sama dengan pasangan anda

mesej

Walaupun mungkin anda menganggap bahawa anda mempunyai banyak persamaan dengan pasangan, ia sebenarnya berbeza daripada apa yang anda fikirkan. Ambil contoh mudah dalam soal makanan. Anda mungkin menggemari masakan Jepun, tetapi tidak bagi pasangan anda.

Begitu juga dengan soal etika penghantaran mesej yang mana anda mungkin gemar membalas mesej dengan pantas, tetapi pasangan anda pula gemar membalas pada waktu yang lain.

Oleh itu, hormat-menghormati antara satu sama lain adalah amat penting dalam perhubungan. Ikuti prinsip asas atau etika dalam bermesej supaya perhubungan anda dapat bertahan lama hingga ke akhir hayat. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: Februari 27, 2020 | Kali terakhir kemaskini: Februari 26, 2020

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut