Ketidakseimbangan Otot dan Pekerja Malas di Barisan Pemasangan

Penulis: Morteza Tafakory Pakar Kesihatan Sukan

Terdapat banyak individu yang sedang berhadapan dengan pelbagai jenis kesakitan tidak kira sakit kronik, sakit akut dan sakit otot, saraf atau sendi. Seperkara yang saya perlu berulang kali jelaskan kepada klien adalah hanya kerana kesakitan itu berpunca daripada satu kawasan, tidak bermakna ia merupakan punca kesakitan itu berlaku.

Anda tidak boleh melihat kesakitan itu sebagai satu perkara yang asing, walaupun ia agak mudah untuk dilakukan.

Sambungan badan dan kesakitan

Konsep ini selalunya agak mengelirukan bagi kebanyakan individu. Jika lutut mereka sakit, mengapa masalah itu bukan datangnya daripada lutut mereka? Kadangkala ia agak sukar untuk memahami bahawa ia sebenarnya mungkin masalah berkaitan bahu atau pinggang. Ini kerana kesemua anggota dalam badan adalah bersambung dan setiap daripadanya akan mempengaruhi fungsi anggota yang lain.

Untuk memahami ini dengan lebih dalam, selak baju anda. Anda boleh lihat bahawa perbuatan itu bukan sahaja akan memberi kesan kepada bahagian baju yang diselak bahkan turut memberi kesan kepada keseluruhan fabrik. Ini merupakan contoh apa yang berlaku dalam badan kita.

Kecederaan di barisan pemasangan

Kebanyakan klien tidak dapat memahami bahawa sesuatu kecederaan itu berpunca daripada ketidakseimbangan otot. Soalan yang kerap ditanyakan kepada saya adalah ‘’jika ketidakseimbangan otot ini telah berlanjutan sehingga bertahun-tahun, mengapa saya secara tiba-tiba akan merasai kesakitan? Bagaimanakah ia boleh berlaku? Bukankah ia lebih kepada kesakitan akut?”.

“Anda perlu melihat kesakitan dan kecederaan dengan pendekatan yang lebih umum. Anda perlu lihat secara keseluruhannya”.

Cara yang paling mudah untuk saya jawab soalan ini adalah dengan menggunakan analogi barisan pemasangan di kilang. Bayangkan satu barisan pemasangan dengan pekerja yang mengendalikannya. Bayangkan terdapat dua pekerja bekerjasama sebelah-menyebelah. Seorang pekerja mula hilang fokus. Lama-kelamaan, dia akan berhenti bekerjasama dengan pekerja yang seorang lagi.

Pekerja yang seorang lagi pula merupakan seorang yang rajin dan dia mahukan barisan itu terus beroperasi tanpa gangguan. Walaupun pekerja pertama sudah mula malas, pekerja kedua memikul kerja yang lebih dan memastikan pekerjaan itu siap. Namun demikian, pekerja yang kedua akan berasa agak terbeban lalu mengadu kepada orang atasannya. Lama-kelamaan kerjanya juga menjadi agak kurang berkualiti lalu mengakibatkan produktiviti akhirnya terjejas.

Dalam analogi ini anda dapat lihat bahawa bukan pekerja malas yang akan mengadu terlebih dahulu, tetapi pekerja yang terpaksa melakukan kerja yang berlebihan. Samalah juga halnya dengan badan kita. Kebiasaannya, otot dan sendi yang akan ‘’mengadu’’ terlebih dahulu lalu membuatkan individu percaya kawasan itu merupakan puncanya. Sebenarnya, terdapat kawasan lain yang menjadi punca kesakitan yang berlaku. Ya, ia memang agak rumit. Sehingga kawasan lain ini masih tidak dapat ditemui, selagi itu kesakitan itu akan berlanjutan.

Mempertimbangkan badan secara keseluruhan

Ini merupakan punca mengapa anda tidak boleh lihat kesakitan atau kecederaan sebagai satu perkara yang asing. Jika anda mengalami sakit bahu, ia tidak semestinya menunjukkan bahawa bahu itu merupakan punca permasalahannya. Anda mungkin boleh merawat bahu anda bagi mengurangkan kesakitan menggunakan teknik urutan dan lain-lain. Ini adalah penting dan tidak boleh diabaikan. Ia sangat membantu untuk melegakan ketegangan otot serta melancarkan perjalanan darah dan nutrisi kepada otot. Ini sangat penting. Namun begitu, sehingga anda masih tidak ketemu punca sebenarnya, rasa sakit pada bahu anda akan sentiasa muncul kembali.

‘’Kadangkala, agak sukar untuk memahami mengapa rasa sakit pada satu kawasan mempunyai kaitan dengan kawasan yang lain. Hakikatnya, badan adalah bersambung antara satu sama lain dan bagaimana satu anggota badan bekerja sudah pasti akan memberi kesan kepada anggota yang lain juga”.

Untuk lebih memahaminya, lihat secara umum apabila berdepan dengan kesakitan dan kecederaan. Lihat secara keseluruhannya. Selalunya, kesakitan adalah berpunca daripada disfungsi struktur yang proksimal seperti ketidakstabilan pada pinggang, bahu atau pergerakan yang lemah pada tulang belakang.

Sama juga, adalah lebih baik untuk melihat pendekatan yang lebih umum untuk mencegah dan merawat kecederaan. Libatkan senaman yang melibatkan keseluruhan badan yang akan memberi kesan kepada keseimbangan badan dan pergerakan motor seperti mengangkat beban atau ‘turkish get ups’. Anda juga tidak perlu terkejut jika perlu memperbaiki disfungsi pinggang untuk merawat bahu anda atau sebaliknya.

Sentiasa ingat analogi menyelak baju anda. Ketahui bahawa perkara yang berlaku kepada sesuatu kawasan sesungguhnya akan memberi kesan kepada bahagian lain badan anda.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Tarikh Reviu: Mac 19, 2019 | Kali terakhir kemaskini: Disember 3, 2019

Morteza Tafakory Pakar Kesihatan Sukan

Morteza Tafakory pernah menjalani pengajian dalam bidang fisioterapi di University of Applied Sciences di Utrecht, Belanda. Beliau amat memahami selok-belok disiplin pengajian ini juga mengenalpasti kekurangan yang ada dalam bidang perubatan.

Sepanjang hidupnya, beliau banyak aktif dalam pelbagai jenis sukan, dan seringkali mendapat kecederaan akibat daripada gaya hidup yang sihat tersebut. Pada ketika itu, beliau menjalai program rawatan terapi dan mengenalpasti terdapatnya kelemahan jika bergantung kepada satu jenis rawatan sahaja. Antara yang menjadi kelemahan dalam bidang ini adalah seperti sesuatu rawatan harus dilakukan mengikut sesuatu protokol sahaja.

Oleh kerana setiap individu itu unik, Morteza Tafakory percaya seseorang ahli terapi tidak perlu terikat dengan sesuatu cara kerja pemulihan. Berdasarkan pengalaman beliau, fisioterapi merupakan salah satu teka-teki kompleks dalam proses pemulihan. Oleh itu, beliau telah menjalankan kajian mendalam bagi mempelbagaikan pendekatannya sebagai ahli terapi. Morteza Tafakory mempunyai ilmu dalam pelbagai disiplin yang menyokong kerjayanya sekaligus menjadikan beliau seorang pakar terapi yang kaya dengan pelbagai kaedah rawatan.

Memandangkan tugas sebagai pakar terapi memerlukan pembelajaran sepanjang hayat, Morteza telah aktif dalam memberi kesedaran tentang jenis terapi seperti Mylogenics ©, PHP © T.O.P. Trainer © A & B of the Overload Principle ©, Kinesiotaping, Sporttaping dan I.M.T ©. Beliau juga sering mengikuti perkembangan terkini dalam bidang nutrisi dan dietetik.

Lihat Lebih Lagi
Artikel Terkini