backup og meta

Kencing Manis Memang Satu Penyakit Serius, Pembawa 6 Masalah Kesihatan Lain, Cek Sekarang!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 29/09/2022

    Kencing Manis Memang Satu Penyakit Serius, Pembawa 6 Masalah Kesihatan Lain, Cek Sekarang!

    Tahukah anda, kesan kencing manis ini adalah secara menyeluruh? Ia bukan sahaja dari aspek bagaimana badan menjalankan fungsi dan peranannya, tetapi ia juga memberi impak kepada emosi, fizikal dan gaya kehidupan seseorang pesakit.

    Moga perkongsian kali ini dapat membantu anda untuk memahami dengan lebih mendalam impak kencing manis dalam kehidupan seseorang individu.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kencing Manis, sila dapatkannya di sini.

    Komplikasi kesan kencing manis jangka panjang

    Penyakit kencing manis atau turut dikenali sebagai diabetes ini bukan sahaja dihidapi oleh golongan yang berusia, malah saban tahun ia semakin menular tanpa mengira usia dan jantina termasuk kanak-kanak dan remaja.

    Kencing manis secara ringkasnya merupakan satu masalah kesihatan yang berkaitan dengan kadar gula dalam darah yang tinggi.

    Ia adalah satu keadaan yang mengganggu dan merosakkan keupayaan badan untuk memproses glukosa darah atau dikenali sebagai gula dalam darah. 

    kesan kencing manis

    Jika ia dibiarkan secara berterusan, tanpa sebarang kawalan dan penjagaan yang lebih baik, ia boleh menyebabkan kesan kesihatan jangka masa panjang seperti:

    • Merosakkan saluran darah besar pada jantung, otak dan kaki (komplikasi maskovaskular)
    • Merosakkan saluran darah kecil, yang boleh menyebabkan masalah pada mata, buah pinggang, kaki dan saraf (komplikasi mikrovaskular)

    Bahagian badan yang lain juga berisiko untuk mengalami impak daripada kesan kencing manis, termasuklah sistem pencernaan, kulit, organ seksual, gigi dan gusi serta sistem imunisasi. 

    Berikut adalah beberapa komplikasi yang boleh berlaku:

    1. Penyakit kardiovaskular

    Penyakit kardiovaskular  merupakan kesan kencing manis, termasuklah penyakit pada saluran darah, serangan jantung dan angin ahmar (strok). 

    Risiko penyakit kardiovaskular akan menjadi lebih besar bagi individu yang menghidap kencing manis, yang sering mengalami masalah peningkatan kadar kolesterol dan tekanan darah.

    Tabiat merokok, mempunyai sejarah keluarga yang menghidap penyakit kardiovaskular dan tidak menjalani kehidupan yang aktif juga meningkatkan risiko penyakit dalam diri anda. 

    Untuk mengurangkan risiko dan mendapatkan pengesanan untuk sebarang masalah pada peringkat awal, pastikan anda:

    • Melakukan pemeriksaan tekanan darah bagi setiap 6 bulan atau lebih kerap sekiranya anda mempunyai masalah tekanan darah tinggi atau mengambil sebarang ubat-ubatan untuk menurunkan tekanan darah anda. 
    • Menjalani pemeriksaan HbA1c sekurang-kurangnya setahun sekali atau 3 hingga 6 bulan sekali, mengikut saranan doktor.
    • Melakukan pemeriksaan kolesterol setiap tahun. Ujian patologi lanjut seperti elektrokardiogram (ECG) atau ujian tekanan senaman juga boleh disyorkan oleh doktor anda.

    Kesan kencing manis #2. Penyakit mata

    Antara masalah berkaitan dengan mata dan impak diabetes yang boleh berlaku adalah seperti:

    #Retinopati 

    kesan kencing manis

    Dengan keadaan mata seperti ini, saluran darah pada retina menjadi rosak yang akhirnya memberikan kesan kepada tahap penglihatan anda.

    Retinopati wujud dalam pelbagai peringkat. Pada peringkat awal, biasanya wujud simptom, jadi melakukan pemeriksaan mata bagi kencing manis adalah penting untuk pengesanan peringkat awal.

    Pemeriksaan mata biasa dapat membantu mengesan sebarang perubahan dan membolehkan rawatan awal yang diperlukan dapat dilakukan untuk menghindari kerosakan yang lebih kronik.

    #Edema makular

    Makula merupakan sebahagian daripada retina dan ia membantu anda untuk melihat sesuatu objek dengan lebih jelas. Pembengkakan pada kawasan ini boleh berlaku apabila saluran darah pada retina rosak dan menyebabkan wujudnya bendalir.

    Edema makular cenderung menyebabkan makula menjadi rosak dan penglihatan menjadi kabur. Terdapat rawatan untuk mengatasi masalah ini. Pengesanan awal adalah amat penting.

    Baca juga:

    #Katarak, kesan kencing manis

    Akan muncul selaput pada lensa mata dan menjadikan penglihatan terganggu, sensitif terhadap silau dan penglihatan terhad.

    Individu yang menghidap diabetes boleh mendapat masalah katarak pada usia yang lebih awal daripada biasa. 

    #Glaukoma 

    Keadaan ini berlaku apabila bendalir dalam mata wujud dalam tahap yang lebih tinggi daripada kuantiti yang sepatutnya. Ia sekali gus menyebabkan wujudnya tekanan yang boleh merosakkan mata dari masa ke masa.

    Glaukoma boleh berlaku kepada individu yang menghidapi diabetes ataupun tanpa diabetes.

    3. Penyakit buah pinggang dan diabetes

    Nefropati bermaksud penyakit atau kerosakan buah pinggang. Nefropati diabetes adalah kerosakan kepada buah pinggang yang disebabkan oleh diabetes.

    Dalam kes yang teruk, ia boleh membawa kepada kegagalan buah pinggang. Namun, tidaklah semua individu yang menghidap diabetes mempunyai kerosakan buah pinggang.

    Pada peringkat awal nefropati diabetes, anda mungkin tidak dapat melihat sebarang tanda atau gejala. Mungkin terdapat beberapa simptom seperti:

    • Kawalan tekanan darah yang semakin teruk
    • Protein dalam air kencing
    • Bengkak kaki, buku lali, tangan atau mata
    • Peningkatan keperluan untuk membuang air kecil
    • Kurang memerlukan insulin atau ubat diabetes
    • Kekeliruan atau kesukaran menumpukan perhatian
    • Hilang selera makan
    • Pening dan muntah
    • Gatal berterusan
    • Keletihan

    Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan tentang apa-apa simptom, sila berjumpa dengan doktor anda.

    kesan kencing manis

    4. Kerosakan saraf, salah satu kesan kencing manis

    Kerosakan saraf (neuropati) biasanya berlaku disebabkan oleh paras gula dalam darah yang tinggi, walaupun keadaan ini juga boleh berlaku kerana keadaan seperti:

    Kerosakan pada saraf sama ada pada saraf emosi dan motor (pergerakan) boleh berlaku pada saraf kaki, lengan, tangan, dada dan perut serta saraf yang mengawal tindakan organ-organ badan.

    5. Masalah kaki dan kencing manis

    Kaki individu yang menghidap kencing manis adalah berisiko untuk mengalami kerosakan apabila bekalan darah kepada kedua-dua kaki pada saluran darah yang besar atau kecil berkurangan.

    Kerosakan saraf (neuropati periferal) sering menyebabkan masalah atau kesan kepada struktur kaki.

    Masalah pada aliran bekalan darah dan fungsi saraf boleh melambatkan penyembuhan dan meningkatkan risiko jangkitan dan mengurangkan deria rasa pada kaki.

    6. Masalah kulit, antara kesan kencing manis

    Antara komplikasi yang boleh berlaku adalah individu dengan masalah kesihatan ini mungkin akan mengalami kulit yang sangat kering akibat kerosakan pada saluran darah dan saraf kecil.

    Masalah paling biasa dialami pesakit diabetes adalah kulit sangat kering pada bahagian atas kaki. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 29/09/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan