backup og meta

Kebaikan Kumpulan Sokongan

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 03/12/2019

    Kebaikan Kumpulan Sokongan

    Pada masa kini, terdapat banyak kumpulan sokongan untuk pelbagai jenis topik, keprihatinan atau keadaan kesihatan. Sesetengah kumpulan sokongan dipimpin oleh individu profesional, dan kebanyakan yang lain, diketuai oleh rakan sebaya, yang turut sama dalam proses pemulihan. Ada sesetengah kumpulan sokongan dicipta untuk menawarkan sokongan dan bimbingan kepada keluarga dan rakan mangsa yang menderita masalah kesihatan mental. Ikuti artikel ini untuk memahami apa itu kumpulan sokongan dan kebaikan kumpulan sokongan ini.

    Apa itu kumpulan sokongan?

    Kumpulan sokongan adalah perjumpaan bagi individu yang ingin berkongsi masalah atau gangguan umum, seperti isu berkaitan masalah kesihatan mental; gangguan bipolar, kemurungan atau kegelisahan. Mereka berkumpul untuk membincangkan mengenai pengalaman, berkongsi nasihat dan memberi sokongan antara satu sama lain.

    Kumpulan ini boleh dibangunkan oleh individu yang menderita tentang sesuatu keadaan atau oleh individu yang berkepentingan, sebagai contoh; ahli keluarga. Dalam sesetengah kes, ia dibangunkan oleh klinik kesihatan mental atau organisasi bukan kerajaan. Terdapat pelbagai jenis format kumpulan sokongan, ada yang secara langsung, melalui telekomunikasi atau menerusi internet.

    Kebaikan kumpulan sokongan

    Kumpulan sokongan boleh dianggap sebagai pilihan individu yang mengalami masalah kesihatan mental, individu yang mengikut rawatan terapi dan perubatan.

    Berikut adalah beberapa manfaat yang mungkin diperolehi apabila menyertai kumpulan sokongan:

    Mengetahui bahawa anda tidak bersendirian

    Perjumpaan pertama kumpulan sokongan selalunya menarik. Antara kata-kata biasa yang sering dilafazkan ketika perjumpaan pertama adalah seperti, “Saya ingat hanya saya seorang dalam dunia ini yang berdepan masalah ini. Walau bagaimanapun, selepas menyertai kumpulan ini, saya terkejut mendapati setiap individu dalam kumpulan ini, turut mendepan masalah yang sama seperti saya.”

    Dengan kesedaran sebegini, ia biasanya mendatangkan kelegaan, kerana menyedari, mungkin untuk pertama kalinya bahawa terdapat individu lain yang turut mempunyai isu yang sama dan mereka bersedia untuk memberikan sokongan kepada pesakit.

    Meluahkan perasaan

    Kumpulan ini adalah satu tempat yang selesa kepada pesakit untuk berkongsi perasaan dan keadaan hidup mereka. Ia boleh dianggap sebagai pengalaman terapi dan penyembuhan, terutama untuk mengetahui bahawa individu lain dalam kumpulan akan bersimpati dan mendengar tanpa menghakimi, malah mereka turut memuji keterbukaan dan keberanian pesakit.

    Mengurangkan ketidakselesaan

    Ia adalah normal apabila pesakit mula menyedari penurunan tahap ketidakselesaan dan kesukaran. Ini merupakan tanda positif bahawa proses pemulihan sedang berlaku dan pesakit mula merasa lebih baik.

    Harapan

    Sesetengah individu dalam kumpulan sokongan mungkin dapat menjadi model peranan positif kepada pesakit, jelas membuktikan proses pemulihan boleh dicapai, dengan memberikan semangat dan harapan baru untuk masa depan.

    Memperolehi maklumat berguna

    Pelbagai tip dan sumber berguna untuk mengendalikan beberapa isu yang boleh diperolehi. Sesetengah ahli kumpulan mungkin berkongsi kisah kejayaan dan strategi yang membantu mereka untuk melangkah ke hadapan untuk proses pemulihan. Terdapat juga kumpulan sokongan yang memfokuskan kepada mempelajari dan mengamalkan kemahiran dan teknik sosial tertentu. Sesetengah kumpulan akan memberikan cadangan untuk buku dan laman web berguna untuk rujukan.

    Meningkatkan harga diri

    Selepas mempelajari kemahiran dan pengetahuan berguna, pesakit boleh memahami dengan lebih lagi mengenai diri mereka, sekali gus meningkatkan faktor yang dapat menyumbang kepada strategi untuk membantu mereka bergerak ke hadapan dengan objektif yang ingin dicapai.

    Perbaiki kemahiran sosial

    Berbual dan berjumpa dengan ahli kumpulan lain boleh mewujudkan peluang kepada pesakit untuk melatih teknik sosial dan komunikasi dengan lebih efektif bersama individu lain. Sebagai contoh, isu kesihatan mental biasanya menyebabkan wujud rasa tidak percaya dan pengasingan diri dari komuniti sosial. Kumpulan ini akan menyediakan ‘rumah’ yang selamat untuk memberikan keselesaan kepada individu bersama khalayak lain.

    Setiap kumpulan sokongan adalah berbeza, tetapi format asasnya adalah sebagai tempat perjumpaan sekumpulan individu sebagai satu rutin untuk berkongsi pengalaman dan memberikan galakan bersama. Jika anda mencari kumpulan sokongan yang sesuai, anda boleh menghubungi organisasi tempatan, membuat carian di internet atau bertanya doktor dan pengamal perubatan untuk bantuan.

    Hello Health Group tidak memberikan nasihat, diagnosis atau rawatan perubatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 03/12/2019

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan