Jangkitan di Hospital: Hati-Hati Semasa Menziarahi Orang Sakit

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Walaupun hospital ialah tempat di mana penyakit dirawat, ia juga dalam masa yang sama merupakan tempat semua jenis penyakit berkumpul. Mana tidaknya, semua jenis pesakit sama ada ringan atau berat ada di dalam hospital. Oleh itu, risiko penyakit berjangkit untuk tersebar ialah tinggi tanpa pengawalan yang baik.

Jangkitan noskomial ialah istilah yang digunakan bagi sebarang jangkitan yang diperoleh di hospital. Kadangkala, jangkitan ini lebih bahaya berbanding jangkitan di luar hospital kerana kuman yang ada di dalam hospital ialah lebih bahaya dan agresif.

Lantai hospital tidak bersih seperti yang anda lihat

Hospital kebiasaannya akan kelihatan sangat bersih. Sekurang-kurangnya, lantai akan dimop dua kali sehari. Sebab itulah ia akan kelihatan bersih dan berkilat. Hakikatnya, ia masih mengandungi pelbagai jenis kuman daripada darah, air kencing, muntah atau cecair badan yang lain.

Kebanyakan jangkitan nosokomial disebabkan oleh bakteria. Antara organisme utama yang menjadi puncanya ialah:

  • Staphylococcus aureus (S. aureus) – jangkitan darah.
  • Escherichia coli (E. coli) – jangkitan saluran kencing.
  • Enterococci – jangkitan luka, darah, atau saluran kencing.
  • Pseudomonas aeruginosa (P. aeruginosa) – jangkitan buah pinggang, saluran kencing, atau saluran pernafasan.

Kanak-kanak, warga emas, dan pesakit kronik paling berisiko

Jangkitan lebih cenderung untuk berlaku dalam kalangan kanak-kanak, warga emas, dan mereka yang mengalami sistem imun rendah seperti pesakit kronik. Jangkitan dalam kalangan golongan ini mungkin lebih agresif dan berbahaya.

Oleh sebab itu, lawatan ke hsopital perlu diminimakan bagi mereka kecuali atas urusan rawatan. Di Malaysia, kanak-kanak di bawah umur 12 tahun tidak dibenarkan untuk masuk ke dalam wad tanpa urusan hospital.

Jaga kebersihan dan amalkan jangkah pencegahan

Jika anda perasan, terdapat banyak pencuci tangan disediakan di hospital. Sila manfaatkannya dengan mencuci tangan anda sebelum dan selepas menziarahi pesakit. Ini ialah langkah asas dalam mengelakkan jangkitan tersebar. Elakkan menziarahi pesakit jika anda dalam keadaan tidak sihat seperti demam, batuk, dan selesema bagi mengelakkan kuman tersebar dalam kalangan pesakit dan pelawat.

Hospital bukan tempat berkelah beramai-ramai. Cuba kurangkan bilangan orang yang datang dan waktu melawat. Selain memberikan keselesaan kepada pesakit, ia juga penting dalam mengelakkan kuman tersebar.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: Oktober 22, 2018 | Kali terakhir kemaskini: Oktober 22, 2018

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut