backup og meta

Glaukoma Boleh Menyebabkan Mata Buta? Ambil Tahu Simptom, Risiko & Rawatan Ini

Disemak secara perubatan oleh Dr. Amy Kor · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 09/11/2021

    Glaukoma Boleh Menyebabkan Mata Buta? Ambil Tahu Simptom, Risiko & Rawatan Ini

    Glaukoma merupakan sejenis penyakit mata apabila sebahagian mata mengalami kerosakan saraf optik disebabkan tekanan tinggi. Ia adalah penyakit mata yang serius dan boleh menyebabkan buta jika tidak dirawat.

    Rawatan tidak boleh mengembalikan tahap kesihatan mata seperti sebelumnya, tetapi ia dapat mencegah dari berdepan dengan kerosakan penglihatan yang lebih bahaya.

    Siapa yang berisiko mendapat penyakit mata glaukoma?

    Individu dewasa berusia 40 tahun ke atas mempunyai risiko untuk mendapat penyakit ini. Walau bagaimanapun, mereka yang berumur bawah usia 40 tahun, kanak-kanak dan bayi juga turut berpotensi mengalaminya. 

    Anda lebih berisiko untuk mendapat glaukoma, jika:

    • Berusia lebih 40 tahun
    • Mempunyai sejarah keluarga yang mempunyai glaukoma
    • Daya penglihatan lemah
    • Mempunyai penyakit diabetes
    • Mengambil ubatan tertentu seperti prednisone
    • Pernah mendapat kecederaan pada mata

    Apakah simptom yang boleh dilihat?

    Tanda pertama yang boleh dikenal pasti adalah kehilangan penglihatan periferal, iaitu penglihatan yang membolehkan anda melihat objek sekeliling tanpa perlu memalingkan kepala atau mengerakkan mata atau pandangan sisi.

    Namun, simptom ini jarang sekali disedari, sehingga ia sudah terlambat untuk merawatnya.

    Jika anda mempunyai tanda-tanda seperti berikut, sila berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan dan pemeriksaan lanjut:

    • Kehilangan penglihatan atau pandangan menjadi kabur
    • Mata merah
    • Mata kelihatan kabur (terutama pada bayi)
    • Mual atau muntah
    • Mata terasa sakit
    • Melihat halos (lingkaran cahaya) di sekeliling lampu
    • Penglihatan terhad (narrowed vision)

    Diagnosis penyakit mata glaukoma 

    Doktor akan menggunakan titisan untuk membuka atau membesarkan anak mata dan akan menguji tahap penglihatan serta memeriksa mata anda.

    Saraf optik anda akan turut diperiksa dan mengambil gambar saraf anda jika perlu. Pemeriksaan glaukoma tidak menyakitkan cuma ia akan mengambil sedikit masa.

    Rawatan

    Doktor mungkin akan menggunakan preskripsi ubat mata, pembedahan laser atau pembedahan mikroskop untuk mengurangkan tekanan pada mata pesakit.

    #1. Ubat mata

    Ubat mata ini boleh membantu mengurangkan penghasilan bendalir dan menurunkan tekanan pada mata.

    Kesan sampingan yang boleh terjadi seperti alahan, kemerahan, rasa menyengat, penglihatan kabur dan kerengsaan pada mata.

    Sesetengah ubat glaukoma boleh menjejaskan paru-paru dan jantung, jadi pastikan anda memaklumkan kepada doktor tentang sebarang ubat lain yang anda ambil atau alahan.

    #2. Pembedahan laser

    Prosedur ini akan membantu meningkatkan aliran cecair mata yang dikenali sebagai humor berair (aqueous humor) bagi individu yang menghidapi jenis glaukoma sudut terbuka.

    Selain itu, prosedur ini juga membantu menghentikan penyumbatan cecair untuk individu yang mempunyai glaukoma penutupan sudut.

    Antara prosedur yang akan dijalankan:

    • Trabeculoplasty: untuk membuka saluran
    • Iridotomy: membuat lubang kecil di iris untuk memberi aliran cecair lebih bebas
    • Cyclophotocoagulation: merawat bahagian lapisan tengah mata untuk kurangkan pengeluaran cecair

    Pembedahan mikroskop

    pembedahan mata

    Prosedur ini dipanggil trabeculectomy, di mana doktor akan membuat saluran baru untuk mengalirkan cecair dan mengurangkan tekanan pada mata. Doktor mungkin perlu menanam tiub untuk membantu mengalirkan cecair.

    Namun, terdapat kemungkinan pembedahan ini boleh menyebabkan kehilangan penglihatan sama ada sementara atau kekal, pendarahan atau jangkitan.

    Berbincanglah dengan doktor untuk mendapatkan rawatan yang terbaik dan sesuai untuk anda.

    Penjagaan dan pencegahan

    Individu yang mempunyai masalah glaukoma dan menerima rawatan yang sewajarnya tidak akan menjadi buta. Namun, masih terdapat pesakit yang mengalami nasib sebaliknya. 

    Ia disebabkan kesedaran awal tentang bahaya kondisi ini jadi peratusan untuk kehilangan penglihatan kerana glaukoma adalah rendah. 

    Walau bagaimanapun, dengan kemajuan teknologi pada masa kini dan penjagaan yang betul, maka anda dapat memastikan kesihatan penglihatan berada pada tahap yang baik.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Amy Kor

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 09/11/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan