backup og meta

Ya, AEFI Pada Vaksin Memang Wujud, Tapi Ini Yang Anda Perlu Tahu Tentang Kesan Sampingan Vaksin

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 10/06/2020

    Ya, AEFI Pada Vaksin Memang Wujud, Tapi Ini Yang Anda Perlu Tahu Tentang Kesan Sampingan Vaksin

    Vaksin merupakan satu bentuk rawatan penting bagi menghindarkan penyakit berjangkit yang boleh mengancam nyawa.

    Malaysia merupakan antara negara yang memperkenalkan program imunisasi nasional bagi menggalakkan pengambilan vaksin.

    Ia telah terbukti berkesan mengawal kemaraan penyakit berjangkit seperti influenza, tuberkulosis dan sebagainya, dibuktikan melalui kajian saintifik.

    Namun begitu, anda perlu tahu, setiap ubat ada kesan sampingannya. Vaksin juga tidak terlepas daripada hakikat tersebut.

    Salah satu daripada keadaan kesihatan yang mempunyai kaitan dengan vaksin dikenali sebagai adverse events following immunization (AEFI).

    Jika anda ingin tahu dengan lebih lanjut berkenaan dengannya, teruskan membaca.

    Teruk ke reaksi vaksin terhadap pengguna?

    Kemajuan teknologi perubatan membolehkan kita untuk terus mengkaji dan menambah baik protokol kesihatan sedia ada.

    Oleh sebab kebanyakan ubat (jika bukan semua) mempunyai kesan sampingan, ia akan diuji melalui beberapa fasa percubaan klinikal terlebih dahulu.

    Perkara ini penting bagi memastikan profil keselamatan vaksin boleh memberikan kebaikan optimum kepada pengguna di samping merendahkan risiko untuk mendapat kesan sampingan.

    AEFI adalah sebarang kesan sampingan yang boleh dialami oleh pesakit selepas mengambil suntikan imunisasi.

    Definisi yang diberikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut menekankan bahawa kesan sampingan tersebut tidak semestinya berkait rapat dengan vaksin.

    Jika seseorang kanak-kanak itu demam setelah disuntik vaksin, ia tidak bermakna simptom tersebut disebabkan oleh vaksin.

    Banyak faktor lain yang boleh menyebabkan demam.

    Anda mungkin berminat:

  • PERHATIAN! Ini 10 Jenis Vaksin Bayi, Remaja & Orang Dewasa Perlu Ambil, Siap Ada Harga Lagi
  • Kaum Adam, Ini Senarai LENGKAP 21 Pemeriksaan Kesihatan & Vaksin Perlu Buat!
  • fungsi vaksin

    Walau bagaimanapun, sebarang kesan sampingan yang berlaku selepas pesakit mendapatkan suntikan imunisasi wajar direkodkan dan diambil perhatian.

    Ia berikutan perkara ini boleh mempengaruhi tahap keyakinan pengguna terhadap vaksin yang diambil.

    Oleh sebab kecenderungan orang awam tidak selalu ke arah yang lebih saintifik, testimoni akan memberikan respons negatif terhadap pengambilan vaksin.

    Melalui konsep salah faham inilah wujudnya mitos seperti vaksin menyebabkan penyakit autisme.

    Malaysia telah mensasarkan kadar pengambilan vaksin oleh 95% penduduk negara bagi mengelakkan penyakit berjangkit.

    Namun, kita masih lagi belum mencapai jumlah tersebut.

    Testimoni buruk hanya akan menyebabkan rakyat alpa dan akibatnya, jumlah pengambilan vaksin menurun manakala kadar penyakit berjangkit berkait dengan vaksin meningkat.

    Cara rawat pengguna yang alami AEFI setelah suntikan vaksin

    Fungsi vaksin adalah untuk menghindarkan penyakit. Ini merupakan perkara penting yang mesti difahami oleh setiap pengguna.

    Oleh sebab itulah, vaksin tidak diambil oleh orang sakit. Mereka yang sihat perlu mendapatkan suntikan mengikut saranan doktor perubatan.

    Apabila berbicara mengenai kesan sampingan vaksin, kita boleh bahagikan kepada dua jenis:

  • Kesan sampingan ringan yang lazim berlaku seperti demam dan sakit pada kawasan suntikan.
  • Simptom teruk yang jarang berlaku seusai suntikan imunisasi.
  • Secara amnya, kesan serius seperti reaksi alergi teruk (anafilaksis) sangat jarang berlaku dan ia tidak mempengaruhi fungsi fisiologikal individu dalam jangka masa panjang.

    Rawatan atau cara kes AEFI diuruskan di hospital terbahagi kepada 3. 

    #1 Pantauan setelah terima suntikan

    fungsi vaksin

    Setelah anda disuntik, anda perlu duduk atau berlegar di kawasan berdekatan selama lebih kurang 15 minit. Ia bagi memastikan simptom teruk dapat dielakkan bagi mereka yang berisiko.

    Kanak-kanak boleh mendapat masalah anafilaksis. Populasi remaja dan orang dewasa pula cenderung untuk pengsan jika mereka alami kesan teruk AEFI.

    Pengguna yang berasa pening akan dinasihatkan untuk duduk atau baring sehingga bebas gejala sebelum dibenarkan pulang.

    Kesan teruk seperti anafilaksis dan pengsan boleh berlaku dalam masa kurang daripada 5 minit. Namun, pada 98% kes yang direkodkan, ia berlaku dalam masa kurang daripada 30 minit.

    #2 Tindak balas fungsi vaksin terhadap kawasan suntikan

    Simptom berkaitan dengan kawasan yang disuntik seperti kemerahan, gatal dan sakit lazim dialami oleh kebanyakan pengguna.

    Malah, mereka boleh mengalaminya sehingga 2 hari setelah suntikan imunisasi diberikan.

    Pemberian ubat tahan sakit seperti paracetamol boleh melegakan simptom dan memberikan keselesaan kepada pengguna.

    Walau bagaimanapun, setiap individu perlu peka terhadap pengambilan ubat untuk memastikan ia tidak menyebabkan kesan sampingan lain.

    Jika terdapat ketulan kecil dan keras pada kawasan suntikan, anda tidak perlu risau. Ia merupakan gejala normal yang tidak memberikan apa-apa kesan kesihatan.

    #3 Demam setelah menerima suntikan

    fungsi vaksin

    Oleh sebab fungsi vaksin menggunakan pendekatan pemberian virus hidup yang telah diubahsuai supaya tidak memudaratkan, demam merupakan respons normal badan.

    Ramai beranggapan bahawa demam setelah suntikan vaksin bermakna seseorang itu mengalami kesan sampingan.

    Walhal, badan anda sedang mengaktifkan sistem imun badan dan menghasilkan antibodi bersesuaian dengan vaksin yang disuntik.

    Demam merupakan sebahagian daripada mekanisme sistem pertahanan badan anda.

    Anda akan diberikan paracetamol untuk melegakan simptom tersebut.

    Namun, jika demam tersebut disertai dengan batuk dan sakit tekak, ia mungkin disebabkan oleh faktor bukan vaksin yang lain.

    Konklusi

    Fungsi vaksin adalah untuk melindungi manusia sejagat daripada penyakit berjangkit berbahaya.

    Apabila dunia dilanda oleh jangkitan epidemik dan pandemik, saintis bertungkus lumus menyediakan vaksin bagi melumpuhkan aktiviti virus.

    Namun begitu, ia tidak bermakna anda tidak akan mengalami kesan sampingan.

    Apa yang penting, jika anda alami AEFI, beritahu pada kakitangan kesihatan dan ikut nasihat daripada pegawai perubatan anda.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 10/06/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan