Fakta Menarik Mengenai Jantung Anda

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Siapa tidak kenal jantung, satu organ penting yang mengepam darah kita. Jika organ ini berhenti mengepam darah, seseorang akan mati. Malah, sebab nombor satu kematian di Malaysia dan dunia juga berkaitan dengan masalah organ ini.

Banyak perkara yang mungkin anda tidak tahu mengenai organ ini. Ingin tahu fakta menarik tentang jantung? Teruskan membaca.

1. Purata saiznya ialah segenggam penumbuk

Cuba genggam tangan anda membentuk penumbuk. Itulah anggaran saiz jantung anda. Walaupun kecil jika dibandingkan dengan saiz badan keseluruhannya, ia mampu mengepam darah ke seluruh badan dengan otot yang kuat dan tahan lama.

2. Berdegup lebih 85,000 sehari

Kadar degupan bagi orang normal ialah antara 60 hingga 90 degupan seminit. Jika didarabkan dengan 24 jam, ia bersamaan 86,400 hingga 129,600 degupan sehari. Apa yang lebih menarik, jantung anda terus berdegup tanpa henti. Jika terhenti walaupun beberapa minit, anda boleh pitam kerana darah tidak sampai ke otak.

3. Masih boleh berdegup walaupun dikeluarkan dari badan

Degupan organ ini dikawal oleh sistem konduksi yang menghasilkan aliran elektrik dengan sendiri untuk merangsang otot-otot jantung mengecut dan mengendur. Walaupun dikeluarkan dari badan, aliran eletrik tersebut masih boleh dihasilkan sendiri. Jadi, ia akan masih berdegup.

4. Punca kematian nombor satu di dunia ialah penyakit jantung

Keadaan kesihatan yang disebut sebagai penyakit jantung iskemik (IHD) mengungguli tangga pertama di peringkat global dan Malaysia. Ia berlaku disebabkan salur darah koronari yang membekalkan darah ke sel-sel jantung tersumbat menyebabkan darah dan oksigen tidak sampai ke sel tersebut sehingga menjejaskan fungsi jantung. Dalam sesetengah kes, degupan boleh terhenti dan pesakit meninggal dunia.

5. Sel jantung tidak boleh berkembang biak

Berbeza dengan sel lain yang boleh berkembang biak dan menggantikan sel yang rosak, sel jantung tidak mempunyai kebolehan tersebut. Ini menjadikan ia sangat berharga. Sebagai contoh, apabila kulit anda terluka, badan akan memberi isyarat kepada sel kulit untuk membentuk sel baru bagi menggantikan sel yang telah mati (luka). Selepas beberapa hari, luka tersebut akan tercantum semula. Jika berlaku kecederaan pada jantung, tiada sel baru akan dihasilkan tetapi hanya akan membentuk parut.

Ketahui kiraan kadar jantung sasaran anda di Kalkulator Kadar Jantung Sasaran kami.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut