Tahu Tak Warna Baju Yang Dipakai Sekarang Boleh Jejaskan Mood, Kreativiti & Kekuatan Anda?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

“Eh, apasal nampak berseri-seri hari ni? Haa…mesti sebab pakai baju colour pink ni.” Wah, mesti kembang setaman hati bila mendapat pujian macam tu. Tahukah anda warna sebenarnya memainkan peranan penting dan mempunyai efek tertentu dalam kehidupan?

Warna-warni kehidupan

Jika anda lihat di sekeliling, dunia ini sebenarnya dipenuhi dengan warna-warni yang tanpa anda sedari mempunyai kesan kepada kehidupan. Ia boleh mengubah emosi dan tingkah laku. Malahan mungkin membuatkan anda tertarik kepada seseorang. Jatuh cinta pandang pertama, who knows, right? 

Jom kita semak apakah kesan dan efek daripada warna yang anda pakai pada kehidupan seharian anda.

Warna dan efeknya

  1. Memori

Warna sebenarnya mempunyai kesan kepada ingatan. Jika terdapat banyak warna merah, anda akan lebih untuk mengingati perkataan negatif. Hijau pula cenderung membuatkan anda berpegang kepada perkara yang positif. Ia sekali gus membuatkan anda mempunyai pandangan lebih menggembirakan mengenai kehidupan dan keadaan minda yang lebih sihat.

  1. Tarikan

Lelaki yang memakai pakaian berwarna merah dikatakan lebih menarik pada pandangan wanita. Malahan lelaki juga dikatakan turut tertarik kepada wanita yang berpakaian merah. Namun hakikatnya, ia adalah satu kesan fizikal semata-mata dan ia tiada kaitan dengan perwatakan seseorang.

  1. Perhubungan

Kebahagiaan adalah perkara yang paling diingini oleh setiap individu. Dinding atau kediaman yang diwarnakan dengan merah jambu, hijau atau putih boleh membantu anda merasai perasaan itu. Warna-warna tersebut dikatakan dapat membantu anda untuk mempamerkan ekspresi wajah gembira kepada individu lain. 

  1. Jam dalaman

Saintis mendapati biru cerah (light blue) dapat membantu menetapkan semula ritma sirkadian (circadian rhythm) sekiranya ia tersasar daripada kebiasaan. Kajian menunjukkan biru mempunyai kesan paling positif terhadap corak fizikal, mental dan tingkah laku yang dialami dalam tempoh 24 jam.

  1. Emosi

Hijau dapat menjadikan emosi positif lebih kuat dan melemahkan emosi negatif. Putih dan merah jambu juga memberikan kesan yang sama tetapi ia masih di dalam penyelidikan. Sementara itu, merah tampaknya memberikan kesan bertentangan dan mewujudkan emosi negatif – sering kali ia dikaitkan dengan bahaya dan ketegangan.

  1. Kreativiti

Warna hijau dapat membantu menjadikan idea kreatif anda mencurah-curah. Saintis telah membandingkan dengan putih, kelabu, merah dan biru, namun nampaknya hijau merupakan juara yang dapat membantu seseorang individu menjadi lebih baik.

Jadi mungkin anda boleh memilih tumbuhan hijau kecil di dalam pasu dan letakkannya di meja pejabat anda.

  1. Kekuatan

Tindak balas anda akan menjadi lebih cepat dan kuat apabila anda melihat warna merah. Ini kerana otak anda melihatnya sebagai satu tanda bahaya dan sekali gus menjadikan badan anda bersedia untuk mempertahankan diri atau menyerang. 

Merah dikatakan sesuai untuk digunakan dalam situasi yang sukar seperti angkat berat di mana anda memerlukan kekuatan dalam tempoh yang singkat. Tetapi bagi sukan lain yang memerlukan strategi, kreativiti atau pergerakan yang lebih kompleks, merah mungkin bukan pilihan yang sesuai.

  1. Tenaga

Hijau sekali lagi menjadi tumpuan. Di mana anda mungkin akan menjadi lebih gembira dan kurang keletihan selepas bersenam jika dikelilingi warna hijau. Tetapi ia mungkin ada logiknya. Ini kerana kebanyakan individu yang bersenam di luar seperti di tanam, dikelilingi kehijauan akan berasa lebih baik. 

Walau apa pun, ia bergantung kepada pandangan individu itu sendiri. Penulis tidak menafikan ada sesetengah individu mungkin gemarkan warna seperti pink akan merasa lebih bertenaga apabila memakai atau melihat warna tersebut.  Jadi mungkin anda boleh kongsikan warna yang membuatkan anda lebih bersemangat dan bertenaga dengan Hello Doktor?

  1. Selera

Warna pinggan yang anda guna untuk makan juga memainkan peranan, ‘tak’ percaya? Pinggan yang berwarna berbeza daripada makanan yang terhidang di atas, akan menyebabkan anda kurang makan

Dalam satu kajian, individu yang mengambil pinggan putih akan mengambil hidangan fettuccini alfredo 30 peratus lebih banyak berbanding individu dengan pinggan berwarna merah. Kuncinya adalah kontras.

  1. Picky eater

 Kanak-kanak akan makan dengan lebih jika dihidangkan makanan dengan warna yang berbeza daripada pinggan. Jika anda ingin mencuba memberikan si manja makan lebih banyak buah-buahan dan sayuran, cuba gabungkan pelbagai warna. Sebagai bonus, ia juga melambangkan kepelbagaian nutrisi dan sudah tentu ia bagus untuk tumbesaran badan. 

Bereksperimen

Daripada artikel di atas, nampaknya hijau merupakan antara pilihan yang terbaik dan dapat memberikan kesan yang positif. Tetapi itu tidak bermakna anda tidak boleh bermain dengan warna-warna lain, seperti ungu, kuning mahupun hitam. Beranikan diri untuk mewarnai kehidupan anda dengan keceriaan dan kebahagiaan. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: Oktober 16, 2019 | Kali terakhir kemaskini: Mac 24, 2020