backup og meta

Diagnosis Kanser Paru-Paru, Individu Berisiko WAJIB Buat Pemeriksaan Kesihatan Setahun Sekali

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 20/06/2023

    Diagnosis Kanser Paru-Paru, Individu Berisiko WAJIB Buat Pemeriksaan Kesihatan Setahun Sekali

    Pemeriksaan paru paru disaran untuk dilakukan sekurang-kurangnya setahun sekali, khususnya buat mereka yang berisiko menghidap kanser paru-paru.

    Disebabkan kanser paru-paru sukar untuk dikesan awal, pemeriksaan berkala amat penting untuk mencegah kanser paru-paru daripada merebak

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser Paru-Paru, sila dapatkannya di sini.

    Pemeriksaan paru paru: Ujian saringan

    pemeriksaan paru paru

    Ujian saringan amat disarankan oleh doktor kerana rawatan lebih berkesan terhadap kanser yang dikesan awal, terutamanya:

    • Perokok tegar
    • Masih merokok ataupun sudah berhenti 15 tahun lalu
    • Berumur di antara 55 hingga 80 tahun 

    Definisi perokok tegar ialah individu yang merokok hampir 30 tahun. Mereka menghisap rokok sekurang-kurangnya satu kotak sehari selama 30 tahun atau dua kotak sehari selama 15 tahun.

    Ujian fizikal

    Terdapat beberapa cara pemeriksaan paru paru. Sebagai contoh, doktor akan memeriksa sama ada anda mempunyai tanda-tanda seperti:

    1.   Bunyi paru-paru yang tidak normal
    2.   Kelenjar limfa membengkak
    3.   Turun berat badan secara mendadak
    4.   Hujung jari membengkak (clubbing/chubby fingernails)

    Simptom yang lazim dalam kalangan pesakit kanser paru-paru ialah batuk, nafas pendek (dyspnea) ataupun batuk berdarah (hemoptysis).

    Baca juga:

    Imbasan

    Ujian imbasan dapat membantu doktor untuk melihat bahagian paru-paru yang tidak nampak dengan mata kasar.

    Gambar yang diperoleh melalui ujian ini dapat membantu doktor untuk mencari lokasi kanser tersebut dan melihat sama ada ia telahpun merebak.

    1. Ujian X-ray

    Melalui ujian ini, doktor dapat melihat bahagian paru-paru pesakit dan mengesan jika ada sebarang abnormaliti.

    Walau bagaimanapun, ujian X-ray tidak dapat digunakan untuk membezakan antara tumor yang disebabkan oleh kanser atau penyakit lain seperti abses paru-paru (lung abscess) iaitu sejenis penyakit yang menyebabkan paru-paru bernanah.

    Oleh itu, pesakit mungkin perlukan ujian lain untuk menentukan sama ada tumor yang berada pada paru-paru tersebut ialah kanser atau tidak. 

    Pemeriksaan paru paru #2. Imbasan CT

    Selepas ujian X-ray, pesakit selalunya akan menerima imbasan CT. Melalui imbasan CT, doktor boleh memperoleh imbasan paru-paru yang lebih terperinci dan tepat.

    Imbasan CT merupakan prosedur yang tidak menyakitkan. Ujian ini mungkin akan mengambil masa di antara 10 hingga 30 minit.

    3. Imbasan MRI

    pemeriksaan paru paru

    Sama seperti imbasan CT, imbasan MRI akan menghasilkan imej paru-paru yang lebih lengkap.

    MRI selalunya digunakan untuk memeriksa sama ada kanser paru-paru yang pesakit alami telah merebak hingga ke otak ataupun saraf tunjang.

    4. Imbasan PET- CT

    Jika ujian CT dapat mengesan kehadiran kanser, doktor akan melakukan imbasan PET-CT untuk mengenal pasti kedudukan sel kanser yang aktif.

    Sama seperti imbasan CT, prosedur ini tidak menyakitkan dan mungkin memakan masa selama 30 hingga 60 minit.

    Melalui keputusan imbasan PET-CT, doktor dapat membuat diagnosis yang lebih tepat dan mencadangkan kaedah rawatan yang bersesuaian dengan tahap kanser yang pesakit alami.

    Biopsi dalam pemeriksaan paru paru

    Biopsi paru-paru merupakan satu prosedur yang dilakukan untuk mengeluarkan sampel tisu abnormal menggunakan jarum biopsi ataupun pembedahan daripada badan untuk mengenal pasti sama ada tisu tersebut bersifat malignan atau tidak.

    Jika anda dikesan mempunyai simptom sakit kanser paru-paru, anda mungkin akan menjalankan biopsi. Ada beberapa prosedur biopsi:

    1. Bronchoscopy

    Bronchoscopy merupakan satu prosedur yang membolehkan doktor melihat ke dalam salur pernafasan dan paru-paru pesakit.

    Semasa biopsi, doktor akan memberikan ubat bius sebelum memasukkan bronchoscope ke dalam hidung ataupun mulut pesakit.

    2. Endobronchial ultrasound (EBUS)

    EBUS dalam pemeriksaan paru paru merupakan sejenis prosedur yang tidak invasif namun amat efektif.

    Prosedur ini membolehkan doktor melakukan satu teknik yang dikenali sebagai transbronchial needle aspiration (TBNA) untuk menyedut tisu daripada kawasan paru-paru tanpa sebarang pembedahan.

    3. Fine needle biopsy

    Semasa doktor melakukan biopsi menggunakan jarum halus ataupun fine needle biopsy, doktor akan memasukkan jarum panjang melalui belakang badan untuk mengambil sampel tisu. Prosedur ini selalunya dilakukan dengan bantuan imbasan CT dan ultrasound.

    4. Thorancentesis

    Melalui prosedur ini, jarum akan dimasukkan melalui ruang di antara paru-paru dan dinding dada. Prosedur ini selalunya dilakukan untuk membuang cecair lebihan yang dikenali sebagai efusi pelural (pleural effusion).

    Prosedur yang sama juga boleh dilakukan untuk menentukan punca pesakit mendapat efusi plural, sama ada disebabkan kegagalan jantung, jangkitan paru-paru, tumor dan juga kanser.

    5. Mediastinoscopy

    Mediastinoscopy merupakan sejenis pembedahan toraks yang dilakukan dengan mediastinoscope untuk memeriksa bahagian dalam toraks yang terletak di antara paru-paru.

    Selain digunakan untuk melakukan biopsi, prosedur yang sama turut dijalankan untuk memeriksa kelenjar limfa pesakit yang menghidap kanser paru-paru.

    Pemeriksaan paru paru dan ujian makmal

    pemeriksaan paru paru

    1. Ujian fungsi pulmonary (Pulmonary function testing)

    Apabila pesakit didiagnosis dengan kanser paru-paru, doktor akan melakukan ujian untuk memeriksa fungsi pulmonari paru-paru.

    Melalui pemeriksaan paru paru ini, doktor dapat mencadangkan rawatan yang paling sesuai untuk pesakit mengikut keadaan kesihatan mereka.

    Doktor juga boleh melakukan ujian ini untuk memeriksa sama ada pesakit tersebut dalam keadaan yang sihat untuk melakukan pembedahan.

    2. Ujian darah

    Ujian darah dapat memberikan doktor informasi berkenaan keadaan kesihatan pesakit secara menyeluruh.

    Ia juga dapat menguji sama ada organ pesakit dalam keadaan sihat atau tidak.

    Ujian kimia darah boleh juga dilakukan untuk memeriksa sama ada hati atau buah pinggang pesakit berfungsi dalam keadaan yang baik.

    Hasil daripada ujian darah ini membolehkan doktor menentukan sama ada pesakit mampu melalui pembedahan atau menerima rawatan lain.

    3. Sputum cytology

    Doktor akan meminta pesakit untuk membuang kahak supaya sampel tersebut boleh dianalisa oleh seorang ahli patologi.

    Melalui prosedur ini, doktor boleh mengesan kanser, terutama sekali jika kanser tersebut terletak pada bahagian tengah saluran pernafasan.

    Cara ini tidak efektif untuk mengesan kanser yang terletak pada kawasan paru-paru yang lebih jauh. 

    4. Ujian genetik/Profil molekular

    Pesakit yang menghidap kanser paru-paru bukan sel kecil boleh melakukan ujian profil molekular ataupun molekular profiling untuk mengenal pasti jenis kanser yang membentuk tumor di dalam tubuh pesakit.

    Rawatan boleh diberikan secara lebih baik dan efektif untuk melawan sel kanser tersebut.

    Ujian PD-L1 dalam pemeriksaan paru paru

    PD-L1 merupakan sejenis protein yang mengelakkan sel imun badan daripada menyerang sel yang sihat dalam tubuh badan manusia.

    Terdapat sel kanser yang mempunyai bilangan PD-L1 yang banyak. Keadaan ini membantu sel kanser untuk ‘memperdaya’ sistem imun badan supaya tidak menyerangnya.

    Jika kanser yang pesakit alami mempunyai sel PD-L1 yang tinggi, pesakit tersebut boleh dirawat dengan terapi imun. Melalui terapi ini, sistem imun manusia akan dikuatkan lagi supaya ia boleh mengenal dan melawan sel kanser paru-paru. 

    Kebanyakan ujian PD-L1 dijalankan melalui prosedur biopsi. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 20/06/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan