backup og meta

Wah! Kita Boleh Derma 4 Organ Ini Semasa Masih Hidup

Disemak secara perubatan oleh Dr. Amy Kor · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 13/07/2020

    Wah! Kita Boleh Derma 4 Organ Ini Semasa Masih Hidup

    Derma organ sering dikaitkan dengan individu yang sudah meninggal dunia. Namun, tahukah anda bahawa ada beberapa organ badan yang boleh didermakan semasa kita masih hidup.

    Apakah organ tersebut? Teruskan pembacaan anda.

    Apa itu derma organ?

    Pemindahan organ manusia pertama yang berjaya adalah pada tahun 1954 melibatkan buah pinggang.

    Tidak lama selepas itu, prosedur ini mula dikembangkan ke organ lain seperti hati, jantung, pankreas, paru-paru, dan usus. Hari ini, ribuan individu menderma dan menerima organ setiap tahun.

    Walaupun derma organ banyak berlaku dalam kalangan individu yang sudah tidak bernyawa, ia juga boleh dilakukan semasa masih hidup.

    Ini adalah kerana sebahagian fungsi organ ini boleh diambil alih oleh pasangan organ tersebut (buah pinggang) atau ia boleh berkembang semula (hati).

    Namun, hanya sebahagian organ boleh didermakan semasa hidup. Apakah organ tersebut?

    Derma organ semasa hidup- 4 bahagian tubuh yang boleh didermakan

    1. Buah pinggang

    Buah pinggang ialah organ paling kerap didermakan di dunia. Lebih 90% dari 21,500 individu di Malaysia yang memerlukan pendermaan organ adalah melibatkan buah pinggang.

    Organ ini boleh didermakan semasa masih hidup kerana terdapat 2 buah pinggang dalam setiap individu normal. Memberi salah satu darinya tidak akan membuatkan seseorang mati. Buah pinggang berbaki tersebut boleh mengambil alih fungsi organ yang didermakan.

    Sebab utama pesakit memerlukan buah pinggang ialah penyakit buah pinggang kronik (CKD) disebabkan diabetes. Tanpa pemindahan organ, mereka perlu bergantung dengan mesin dialisis seumur hidup.

    2. Hati

    Hati mempunyai karakter istimewa yang membuatkan ia boleh didermakan semasa penderma masih hidup walaupun tidak mempunyai pasangan.

    Organ terbesar di dalam abdomen ini mempunyai potensi untuk berkembang semula apabila dibuang sebahagian darinya. Sebahagian dari hati (40% hingga 60%) penderma akan dipotong untuk diberikan kepada penerima. Dalam tempoh setahun, saiz hati tersebut akan kembali hampir kepada asal.

    Antara keadaan yang memerlukan pemindahan hati ialah penyakit autoimun seperti primary biliary cholangitis (PBC).

    3. Paru-paru

    Meskipun paru-paru tidak mempunyai potensi untuk berkembang semula seperti hati, ia juga boleh didermakan dalam sesetengah kes, paling kerap ialah penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD).

    Paru-paru terdiri dari beberapa cuping, 3 di sebelah kanan dan 2 di sebelah kiri. Salah satu dari cuping ini boleh didermakan.

    4. Usus

    Prosedur pemindahan usus sangat jarang dilakukan. Namun, ia tetap ada dalam kes tertentu seperti usus terlalu pendek sejak lahir.

    Kesimpulannya, jika anda berhasrat ingin mendermakan organ badan anda, dapatkan nasihat daripada doktor pakar terlebih dahulu.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Amy Kor

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 13/07/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan