Bagaimana Ingin Menjadikan Kesihatan Sesuatu yang Berjangkit?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

Kita sedia maklum bahawa demam denggi, penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), tuberkulosis, HIV, demam campak, dan influenza boleh berjangkit dari seorang individu ke individu yang lain. Namun, bukan penyakit sahaja boleh berjangkit, kesihatan juga sebenarnya boleh berjangkit dalam satu komuniti.

Berita baiknya ialah jangkitan ini baik untuk masyarakat. Terdapat banyak cara untuk anda menularkan ‘virus kesihatan’ dalam komuniti. Cuba 3 cara ini.

1. Mulakan dengan contoh yang baik di rumah

Keluarga merupakan institusi pendidikan paling penting dalam masyarakat. Unit paling kecil ini mampu melahirkan komuniti yang bijak, sihat, dan aktif jika dijaga dengan baik.

Apa anda boleh lakukan di rumah?

Waktu makan! Ini mungkin momen paling kerap anda bersama ahli keluarga. Pilih dan sediakan makanan yang sihat. Kurangkan makanan berlemak, bergula, dan berminyak. Lebihkan bijirin penuh, sayur-sayuran, dan buah-buahan. Penuhkan peti ais dengan makanan yang sihat.

Tetamu datang? Sediakan hidangan sihat. Contohnya, air teh kurang gula, ayam yang direbus atau dipanggang, dan buah-buahan.

Bermula dari rumah, tabiat sihat ini akan berjangkit ke masyarakat luar.

2. Kongsikan gaya hidup sihat anda dengan orang lain

Tidak perlu berkongsi semua aktiviti anda, cukup dengan beberapa gaya hidup sihat. Tanpa sedar, orang lain mungkin akan tertarik untuk bersama-sama mengamalkan tabiat tersebut dan bilangannya akan terus bertambah.

Mudah sahaja. Ambil gambar menu makanan sihat atau aktiviti fizikal anda hari ini, kemudian kongsikan di facebook. Tak perlu lakukannya setiap hari, sekali seminggu sudah cukup. Kalau hari-hari, orang lain pun meluat. Tapi ingat, fokus kepada tabiat tersebut, bukannya diri anda semata-mata!

3. Bawa buah tangan yang sihat ketika bertandang ke rumah orang atau sebagai hadiah

Tidak salah untuk membeli coklat sebagai buah tangan atau hadiah, tetapi bukankah lebih baik jika diganti dengan sesuatu yang lebih sihat seperti buah-buahan atau buku?

Selain itu, banyak lagi alternatif lain yang boleh dijadikan buah tangan seperti kekacang sihat (badam, pistachio), alat pengukur tekanan darah elektronik, kasut joging, dan botol air.

Sebahagiannya mungkin jarang dijadikan hadiah tapi tidak salah untuk memulakan dan menularkan tabiat sihat tersebut.

Setiap individu mampu berperanan dalam meningkatkan tahap kesihatan masyarakat. Komuniti yang sihat bukan semata-mata ditentukan oleh sistem dan khidmat kesihatan yang berkualiti, tetapi juga budaya dan gaya hidup masyarakat tersebut.

Sebarkan ‘virus kesihatan’ dalam masyarakat bermula hari ini!

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: Disember 20, 2018 | Kali terakhir kemaskini: Disember 5, 2019

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut