backup og meta

Bagaimana Doktor Melakukan Diagnosis?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Amy Kor · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 13/07/2020

    Bagaimana Doktor Melakukan Diagnosis?

    Antara perkara utama dalam pekerjaan seorang doktor ialah membuat di diagnosis penyakit. Tanpa mengesahkan sesuatu penyakit, rawatan yang tepat tidak akan dapat diberikan.

    Doktor bukan seorang ahli sihir yang meramal masa depan atau mengatakan anda menghidap sesuatu penyakit dengan ilham dari langit. Mereka mempunyai formula dan disiplin tertentu yang membolehkan mereka menentukan sesuatu penyakit. Mari lihat bagaimana.

    1. Sejarah perubatan (history taking)

    Ini ialah perkara pertama yang dilakukan oleh seorang doktor apabila menerima pesakit dan ia merupakan langkah paling penting. Malah ia boleh memberikan sehingga 80% maklumat yang diperlukan untuk membuat diagnosis.

    Selain aduan atau keluhan utama anda, doktor akan turut bertanya soalan-soalan berkaitan seperti status perkahwinan, simptom lain, tabiat merokok, kitaran haid, dan penyakit yang sama dalam keluarga. Semua ini bertujuan membantu doktor mendapatkan kepastian.

    Jika keadaan yang dialami ialah ringan, langkah ini sahaja mungkin sudah cukup untuk mendapat keputusan akhir tanpa perlu melakukan pemeriksaan lain.

    2. Pemeriksaan fizikal (physical examination)

    Selepas berbual dengan pesakit, doktor mungkin akan melakukan pemeriksaan fizikal berdasarkan simptom yang disebut oleh pesakit. Selain memeriksa bahagian terbabit, bahagian lain yang berkaitan juga mungkin turut dilihat.

    Contohnya, jika pesakit mengadu masalah penglihatan, pemeriksaan mata akan dilakukan. Kalau pesakit yang sama juga diketahui menghidap kencing manis, pemeriksaan kaki juga akan dilakukan kerana komplikasi kaki dan mata kerap berlaku dalam kalangan penghidap diabetes.

    Sesetengah pemeriksaan fizikal bersifat lebih peribadi seperti pemeriksaan faraj, payudara, dan dubur. Pengiring atau chaperon diperlukan untuk memastikan pesakit lebih selesa dan mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

    3. Ujian makmal dan radiologi

    Jika dua langkah di atas masih tidak mampu mencapai diagnosis akhir, beberapa ujian makmal atau/dan radiologi mungkin dilakukan. Kadangkala, ia dijalankan bukan dengan tujuan diagnosis tetapi untuk mengetahui tahap bacaan tertentu pesakit sebelum memulakan rawatan.

    Bagi ibu mengandung, ujian radiologi tidak boleh dilakukan kerana risiko radiasi kepada janin. Oleh itu, sila maklumkan pada doktor jika anda hamil.

    Ini ialah 3 langkah asas bagi seorang doktor untuk membuat diagnosis mana-mana penyakit. Semua 3 langkah ini tidak semestinya dilakukan dalam semua kes. Dalam keadaan tertentu, diagnosis mungkin tidak dapat dibuat terutamanya melibatkan penyakit jarang. Doktor mungkin akan terus memberikan rawatan menurut pertimbangannya untuk melihat jika ia akan membuahkan hasil.

    Kesalahan membuat diagnosis boleh berlaku kerana doktor juga manusia yang tidak sempurna.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Amy Kor

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 13/07/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan