Apa itu Dialisis?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Mungkin anda sendiri atau ada ahli keluarga mahupun kenalan yang menjalani rawatan dialisis. Tahukah anda apakah sebenarnya dialisis? Artikel ini mungkin membantu menjawab persoalan anda.

Dialisis mengambil sebahagian peranan buah pinggang

Prosedur ini dilakukan tidak lain untuk menggantikan fungsi buah pinggang. Darah anda akan dialirkan ke dalam sebuah medium (bergantung kepada jenis) yang akan menapis bahan-bahan toksik, serta mengawal keseimbangan sesetengah bahan kimia seperti potassium, sodium dan bikarbonat dalam darah. Kemudian, darah yang telah dicuci itu dikembalikan semula ke dalam badan.

Walau bagaimanapun, fungsi buah pinggang adalah bukan sekadar menapis toksik. Ia juga berperanan menghasilkan sebahagian hormon serta terlibat dalam proses pembentukan vitamin D untuk kekuatan tulang. Dialisis malangnya tidak mengambil alih tugas ini.

Siapa yang harus menjalaninya?

Mereka yang mengalami penyakit buah pinggang kronik harus menjalani rawatan ini. Kadangkala, ia mungkin dimulakan sebelum mengalami apa-apa simptom apabila ujian darah menunjukkan kadar toksik yang tinggi.

Penilaian menyeluruh perlu dilakukan untuk membuat keputusan bila harus dimulakan rawatan. Perkara yang dilihat termasuk umur, keadaan buah pinggang, kesihatan secara am dan kesediaan untuk memberikan komitmen terhadap rawatan.

Meskipun dialisis mampu meningkatkan tahap kesihatan serta memanjangkan jangka hayat, ia memerlukan komitmen kos dan masa yang banyak.

Dua jenis – hemodialisis dan dialisis peritoneum

Kedua-duanya mempunyai tujuan dan prinsip yang sama. Apa yang membezakan hanyalah medium yang digunakan untuk menapis darah.

Bagi hemodialisis, medium yang digunakan adalah sebuah mesin khas. Darah dicuci di luar badan. Ini lah yang biasa dilihat di pusat-pusat dialisis.

Manakala dialisis peritoneum pula menggunakan lapisan peritoneum di dalam abdomen. Melalui kaedah ini, darah dicuci di dalam badan dan boleh dijalani di rumah.

Setiap kaedah mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Sila berbincang dengan doktor tentang pilihan yang terbaik untuk keadaan anda.

Berapa lama ia harus dijalani?

Kebiasaannya, satu sesi berlangsung selama 4 jam dan dilakukan sebanyak 3 kali seminggu.

Sampai bila seseorang itu perlu menjalaninya?

Kebiasaannya, apabila seseorang mula menjalani rawatan, beliau perlu meneruskannya seumur hidup melainkan buah pinggangnya diganti melalui pemindahan organ. Namun, ada juga kes di mana keadaan buah pinggangnya boleh kembali pulih seperti sebahagian kes kegagalan buah pinggang akut.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut