5 Tanda Anda Mungkin Mempunyai Anemia

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

Anemia adalah penyakit di mana sel darah merah berkurang. Fungsi sel ini adalah untuk membawa oksigen daripada paru-paru ke sel-sel di dalam badan, serta membawa karbon monoksida dari sel-sel badan ke paru-paru untuk dibuang melalui pernafasan.

Apabila bilangan sel darah merah berkurang, jumlah oksigen yang dihantar ke sel-sel badan turut berkurang. Oksigen yang digunakan untuk menghasilkan tenaga akan menurun menyebabkan badan tidak cukup tenaga.

Anemia tidak mudah untuk didiagnosis melalui pemeriksaan fizikal. Hanya satu sahaja cara mengesahkan anemia iaitu melalui ujian darah.

Ada beberapa tanda yang mungkin menunjukkan bahawa anda mengalami anemia. Apakah tanda-tanda tersebut? Sila baca sehingga akhir artikel.

1. Badan cepat letih

Seperti yang disebut di atas, kekurangan oksigen menyebabkan jumlah tenaga yang dihasilkan menurun. Hasilnya, badan akan cepat letih dan lesu.

Jika anda terlalu cepat keletihan hanya selepas menaiki bangunan satu atau dua tingkat, anda mungkin mempunyai anemia. Sila dapatkan pemeriksaan doktor.

2. Sesak nafas

Selain cepat letih, pesakit anemia juga mungkin mengalami sesak nafas. Terdapat banyak sebab lain kepada simptom ini. Anemia hanyalah salah satu daripadanya. Untuk mendapatkan pengesahan, anda perlu menjalani pemeriksaan oleh profesional.

3. Sakit kepala

Jika anda kerap mengalami sakit kepala, anemia mungkin penyebabnya. Kebiasaannya, sakit kepala disebabkan anemia tidak tertumpu kepada mana-mana bahagian kepala. Berbeza dengan migrain yang tertumpu pada satu bahagian kepala dan kadangkala didahului dengan perubahan pada penglihatan.

4. Kulit pucat

Darah yang kurang oksigen akan pucat. Ia boleh terlihat pada kulit, bahagian dalam bibir atau bahagian dalam kelopak mata bawah.

5. Daya fokus terganggu

Disebabkan kurang oksigen mengalir ke otak, anda gagal memberikan fokus sepenuhnya terhadap apa yang dilakukan.

Anemia sendiri secara umumnya bukanlah keadaan yang serius. Namun, ia mungkin petanda kepada penyakit lain yang lebih serius seperti penyakit autoimun sistimek lupus eritomatosus (SLE) atau beberapa jenis kanser.

Oleh itu, sangat penting untuk anda mendapatkan pemeriksaan doktor jika mengalami mana-mana simptom di atas.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: Mei 24, 2018 | Kali terakhir kemaskini: November 28, 2019

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut