backup og meta

Somniloquy: Ada Apa Dengan Mengigau?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 05/07/2023

    Somniloquy: Ada Apa Dengan Mengigau?

    Adakah rakan atau pasangan anda memberitahu bahawa anda bercakap-cakap sewaktu tidur? Bercakap sewaktu tidur atau mengigau adalah perkara biasa yang berlaku sewaktu tidur di mana individu tersebut tidak bergerak tetapi bercakap dan kebiasaannya tidak mengingati peristiwa tersebut pada keesokan harinya. Dikenali sebagai Somniloquy, ia bukanlah sejenis penyakit namun boleh jadi merupakan salah satu simptom penyakit tertentu.

    Somniloquy juga dikategorikan sebagai parasomnia iaitu perbuatan tidak normal yang berlaku sewaktu tidur. Bentuk-bentuk parasomnia lain ialah berjalan sewaktu tidur, makan sewaktu tidur dan sebagainya.

    Normalkah mengigau sewaktu tidur?

    Mengigau sewaktu tidur sebenarnya adalah sangat kerap dijumpai. Hampir separuh daripada kanak-kanak di antara usia 3 hingga 10 tahun bercakap sewaktu tidur sementara sebilangan kecil orang dewasa, dalam sekitar 5% mungkin bercakap sewaktu tidur.

    Bercakap sewaktu tidur boleh berlaku kadangkala atau hampir setiap malam. Kebiasaannya kurang daripada 30 saat dalam satu episod namun ia boleh berulang berkali-kali sepanjang malam.

    Pelbagai perkara yang mungkin diucapkan sewaktu mengigau. daripada ayat yang tidak mempunyai maksud hinggalah kepada yang berbaur lucah. Adakalanya tidak jelas dan ada juga yang jelas dan lancar. Somniloquy tidak semestinya bercakap, membuat bunyi, berbisik atau menjerit juga boleh berlaku. Selain bercakap secara spontan dengan diri sendiri, rangsangan daripada luar seperti percakapan orang lain boleh membuatkan mereka seperti membalas percakapan.

    Apa punca mengigau sewaktu tidur?

    Bercakap sewaktu tidur boleh berlaku disebabkan tekanan, kemurungan, kekurangan tidur, mengantuk di siang hari, alkohol, dan demam. Dalam banyak keadaan, masalah ini diwarisi dalam keluarga, walaupun faktor luaran boleh  merangsang tingkah laku tersebut. Keadaan ini juga boleh berlaku sebagai simptom dalam gangguan tidur yang lain seperti:

  • mimpi buruk
  • confusional arousal
  • apnea tidur
  • gangguan kelakuan tidur REM
  • Dalam kes yang jarang berlaku, orang dewasa yang sering mengigau dikaitkan dengan gangguan psikiatri atau sawan di waktu malam. Masalah mengigau yang dikaitkan dengan penyakit mental atau masalah perubatan lebih kerap didapati pada orang yang berusia lebih daripada 25 tahun.

    Apa yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah mengigau sewaktu tidur?

    Secara umumnya, tiada rawatan yang diperlukan. Walau bagaimanapun, jika masalah bercakap sewaktu tidur terlalu teruk atau berlarutan dalam jangka masa panjang, bincang dengan doktor atau pakar kesihatan anda tentang masalah ini. Mungkin terdapat penjelasan perubatan disebalik masalah anda ini seperti gangguan tidur yang tidak didiagnosis, kebimbangan atau tekanan perasaan yang teruk.

    Langkah-langkah tertentu boleh diambil untuk mengurangkan kemungkinan bercakap sewaktu tidur. Ini termasuklah mengikuti jadual tidur yang sama, mendapatkan tidur yang mencukupi, dan memastikan persekitaran tidur yang selesa kerana boleh membantu mengurangkan kekerapan dan keterukan mengigau. Selain itu, menahan diri daripada alkohol, makanan berat, dan tekanan yang berlebihan juga boleh mengurangkan masalah ini.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 05/07/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan