Ketika fasa anagen, terdapat juga pembentukan melanin (melanogesesis) yang aktif sedang berlaku dalam folikel rambut. Proses ini membabitkan hidroksilasi tyrosine dan juga oksidasi dihydroxyphenylalanine kepada melanin. Kedua-dua proses ini menyebabkan stres oksidatif yang besar dan kegagalan mekanisma antioksidan dalam melawan stres oksidatif ini mendorong kepada kerosakan dan kematian sel melanocyte. Kajian telahpun menunjukkan bahawa terjadinya pengumpulan oksidan seperti hidrogen peroksida dalam folikel rambut dan ketiadaan ekspresi antioksidan seperti catalase dan juga methionine sulfoxide reductase dalam folikel uban tersebut. Kajian ini mendorong kepada hipotesis peranan kompaun kimia yang bersifat pro-oksidan mendorong kepada keterjadian uban. Stres oksidatif ini juga boleh disebabkan oleh sinaran UV, faktor emosi dan juga keradangan.
Teori pH melanocyte
Satu hipotesis yang turut dicadangkan adalah peranan nilai pH melanocyte dan juga paras cysteine. Menurut hipotesis ini, nilai pH dan juga paras cysteine dikatakan mempengaruhi warna rambut seseorang. Apabila nilai pH menjadi kurang (menjadi lebih bersifat asid) terdapat pengurangan beransur – ansur dalam aktiviti enzim tyrosinase yang akhirnya membawa kepada peningkatan paras kompaun pheomelanin, menjadikan warna rambut lebih ke arah warna merah atau perang muda (blonde).
Faktor genetik
Mutasi pada gen MC1R menyebabkan warna seseorang itu boleh menjadi warna coklat kemerah-merahan atau merah sepenuhnya. Mutasi genetik ini kerap dilihat pada individu-individu berketurunan Eropah Timur di mana pendedahan kepada cahaya matahari sangatlah sedikit. Terdapat juga kajian pada tahun 2012 yang menunjukkan berlakunya mutasi resesif pada protein TYRP1 dalam kalangan mereka yang berambut perang muda (blonde). Selain mutasi genetik, terdapat kewujudan beberapa gen yang berupaya untuk mengahasilkan kesan pemutihan warna rambut juga. Antara gen yang dimaksudkan adalah gen Bcl2 dan juga gen Bcl-w. Kedua-dua peranan gen ini dikenal pasti pada tahun 2016. Terdapat juga satu gen yang turut dikaitkan dengan proses pemutihan warna rambut ini iaitu gen IRF4.
Kekurangan vitamin B12 berupaya untuk menyebabkan penukaran warna rambut menjadi putih. Dikatakan sekitar 55% daripada pesakit yang menghidap pernicious anemia menghidap masalah perubahan warna rambut menjadi warna putih sebelum mencapai usia 50-an.
Kekurangan hormon tiroid
Kekurangan hormon tiroid T3 dan T4 juga salah satu daripada punca yang dikenal pasti berupaya untuk menyebabkan perubahan warna rambut pramatang (PGH), selain masalah keguguran rambut. Hormon tiroid T3 dan T4 bertindak secara langsung terhadap folikel rambut dalam merangsang proses penghasilan melanin (melanongenesis)
Peranan ubat
Sesetengah ubat kemoterapi dan juga ubat antimalaria dikenalpasti berupaya untuk menyebabkan PGH. Ubat-ubat ini dikatakan menghalang reseptor tyrosine kinase c-kit yang terdapat dalam sel-sel melanocyte sekaligus mengganggu proses melanogenesis.
Merokok
Merokok adalah aktiviti yang cukup terkenal sebagai faktor risiko dan punca pelbagai jenis penyakit berbahaya. Maka tidak hairanlah merokok termasuk dalam salah perkara yang menyumbang kepada pemutihan warna rambut. Kajian mendapati merokok mempunyai kaitan yang signifikan dengan PGH. Antara penjelasan yang diberikan untuk mengaitkan kesan rokok kepada pemutihan rambut ini adalah sifar prooksidan rokok yang meningkatkan kerosakan Spesies Reaktif Oksigen (ROS) kepada sel-sel melanocyte pada bahagian folikel rambut.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen