backup og meta

Hidung Mancung: Aplikasi Prosedur Rhinoplasty Bagi Tujuan Kecantikan Hidung

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 01/07/2020

    Hidung Mancung: Aplikasi Prosedur Rhinoplasty Bagi Tujuan Kecantikan Hidung

    Anda pasti gemarkan hidung yang mancung? Atau tertarik kepada seseorang individu yang memiliki hidung yang mancung. Tidak dinafikan jika kebanyakan pelakon atau artis terkenal yang diminati ramai memiliki ciri hidung mancung yang cantik dan hampir sempurna. Selebriti seperti Nasha Aziz, Ummi Aida dan Yana Samsudin dikenali sebagai antara individu yang memiliki hidung mancung. 

    Hidung mancung adalah antara satu nilai kecantikan yang ingin dimiliki oleh ramai individu tanpa mengira sama ada lelaki atau perempuan. Prosedur mencantikkan hidung atau juga dikenali sebagai “nose job” adalah antara salah satu prosedur kosmetik yang paling popular. Ramai individu ingin melakukan prosedur “nose job” ini dengan pelbagai sebab sama ada untuk tujuan kecantikan atau meningkatkan fungsi hidung. 

    Apakah rhinoplasty?

    Rhinoplasty biasanya dirujuk sebagai “nose job,” adalah sejenis pembedahan untuk mengubah bentuk hidung anda dengan mengubah tulang atau tulang rawan. Rhinoplasty adalah salah satu pembedahan plastik yang paling kerap dilaksanakan. Faktor yang menyebabkan seseorang individu tersebut untuk melakukan rhinoplasty berkemungkinan bertujuan untuk mengubah rupa bentuk hidung, meningkatkan fungsi pernafasan atau kedua-duanya. 

    Bahagian atas struktur hidung adalah tulang, dan bahagian bawahnya pula adalah tulang rawan. Rhinoplasty boleh menukar tulang, tulang rawan, kulit atau ketiga-tiganya. Anda digalakkan untuk melakukan perbincangan dengan pakar bedah anda sama ada prosedur rhinoplasty ini sesuai untuk anda dan apa kesan yang boleh diharapkan daripada prosedur tersebut. Apabila anda merancang untuk melakukan prosedur rhinoplasty, pakar bedah anda akan mempertimbangkan ciri-ciri wajah anda yang lain, kulit pada hidung anda dan apa yang anda ingin ubah. Sekiranya anda merupakan calon untuk pembedahan tersebut, pakar bedah anda akan membangunkan pelan yang bersesuaian untuk anda.

    Inginkan hidung mancung? Adakah saya perlu menjalani rhinoplasty?

    hidung mancung

    Rhinoplasty boleh menukar saiz, bentuk atau bahagian hidung anda. Ia boleh dilakukan untuk memperbaiki kecacatan yang berlaku akibat daripada kecederaan, memperbaiki kecacatan kelahiran atau memperbaiki kesukaran bernafas. Perubahan yang mungkin dilakukan oleh pakar bedah anda ke atas hidung anda melalui prosedur rhinoplasty ini termasuklah:

    • Perubahan saiz
    • Perubahan sudut
    • Meluruskan “bridge” hidung
    • Membentuk kembali hujung hidung
    • Menyempitkan lubang hidung

    Jika rhinoplasty anda dilakukan untuk mencantikkan penampilan anda dan bukannya untuk tujuan kesihatan, anda perlu menunggu sehingga tulang hidung anda berkembang sepenuhnya. Untuk remaja perempuan, ia adalah sekitar umur 15 tahun. Manakala untuk remaja lelaki, mereka perlu menunggu sehinggalah umur mereka sedikit matang. Walau bagaimanapun, jika anda menjalani pembedahan kerana disebabkan oleh gangguan pernafasan, prosedur rhinoplasty boleh dilakukan pada usia yang lebih muda.

    Persediaan untuk menjalani prosedur rhinoplasty

    Anda perlulah terlebih dahulu bertemu dengan pakar bedah anda untuk membincangkan sama ada anda calon yang baik untuk menjalani prosedur rhinoplasty. Anda akan menyatakan kepada doktor mengapa anda mahu melakukan pembedahan tersebut dan apa yang anda harapkan untuk dimiliki selepas melakukan prosedur rhinoplasty tersebut.

    Pakar bedah anda akan melakukan pemeriksaan terhadap sejarah perubatan anda dan bertanya kepada anda mengenai ubat-ubatan dan keadaan perubatan semasa. Sekiranya anda mempunyai haemophilia, gangguan yang menyebabkan pendarahan yang berlebihan, pakar bedah anda mungkin tidak akan mencadangkan sebarang pembedahan elektif.

    Seterusnya, pakar bedah akan melakukan pemeriksaan fizikal, melihat dengan teliti pada kulit di bahagian dalam dan di luar hidung anda untuk menentukan jenis perubahan yang boleh dibuat. Pakar bedah juga mungkin akan mengarahkan untuk melakukan ujian darah atau ujian makmal yang lain.

    Pakar bedah anda juga akan mempertimbangkan sama ada pembedahan tambahan perlu dilakukan pada masa yang sama. Sebagai contoh, sesetengah individu juga akan melakukan pembesaran dagu, satu prosedur untuk menjadikan dagu anda lebih baik, pada masa yang sama ketika prosedur rhinoplasty dilaksanakan.

    Konsultasi bersama doktor atau pakar bedah juga termasuklah dengan melaksanakan pengimejan hidung anda daripada pelbagai sudut. Pengimejan ini akan digunakan untuk menilai hasil jangka panjang pembedahan tersebut dan boleh dirujuk semasa pembedahan. Pastikan anda juga memahami kos pembedahan yang akan anda tanggung. Jika rhinoplasty yang anda lakukan adalah untuk sebab-sebab kosmetik, ia lebih berkemungkinan untuk tidak dilindungi oleh insurans.

    Anda perlu mengelakkan ubat penahan sakit (painkiller) yang mengandungi ibuprofen atau aspirin selama dua minggu sebelum dan dua minggu selepas pembedahan anda. Ubat-ubatan ini melambatkan proses pembekuan darah dan boleh membuatkan anda mengalami pendarahan yang berlebihan. Nyatakan kepada pakar bedah yang terlibat mengenai ubat-ubatan dan suplemen yang anda ambil agar mereka boleh memberikan nasihat mengenai sama ada anda perlu terus mengambil ubat-ubatan tersebut ataupun tidak. 

    Individu yang merokok mempunyai lebih banyak kesukaran penyembuhan jika melakukan prosedur rhinoplasty ini memandangkan rokok akan memperlahankan proses pemulihan. Nikotin yang berpunca daripada rokok akan menyekat saluran darah anda, menyebabkan kekurangan oksigen dan darah untuk tujuan penyembuhan tisu. Berhenti merokok sebelum dan selepas pembedahan boleh membantu mempercepatkan proses penyembuhan.

    Prosedur rhinoplasty

    Doktor akan menggunakan anestesia local atau general. Sekiranya ia merupakan prosedur yang mudah, anda akan menerima anestesia local pada hidung anda, yang juga akan mengebaskan wajah anda. Anda juga mungkin akan mendapatkan ubat melalui talian IV (intravenous) yang membuatkan anda menjadi kemabukan. Dengan penggunaan anestesia general, anda akan menyedut ubat atau mendapatkannya melalui IV yang akan membuatkan anda tidak sedarkan diri. Kanak-kanak biasanya akan diberikan anestesia general.

    Sebaik sahaja anda mengalami kebas atau tidak sedarkan diri, pakar bedah akan melakukan belahan di antara atau di dalam lubang hidung anda. Mereka akan memisahkan kulit anda daripada rawan atau tulang anda dan kemudian memulakan pembentukan semula. Jika hidung baru anda memerlukan sejumlah kecil rawan tambahan, doktor mungkin akan mengeluarkan beberapa rawan daripada bahagian telinga anda atau di dalam hidung anda. Jika lebih banyak rawan yang diperlukan, anda mungkin akan mendapat implan atau bone graft. Bone graft adalah tulang tambahan yang ditambah pada tulang hidung anda. Prosedur ini biasanya mengambil masa antara satu hingga dua jam. Jika pembedahan adalah kompleks, ia boleh mengambil masa yang lebih lama.

    Pemulihan daripada rhinoplasty

    Selepas pembedahan, doktor mungkin akan meletakkan tuap (splint) plastik atau logam pada hidung anda. Tuap tersebut akan membantu hidung anda mengekalkan bentuknya yang baharu semasa ia dalam proses penyembuhan. Doktor juga mungkin akan meletakkan beg hidung atau tuap di dalam lubang hidung anda untuk menstabilkan septum anda, yang merupakan bahagian hidung yang berada di antara dua lubang hidung anda. Anda akan dipantau di bilik pemulihan sekurang-kurangnya beberapa jam selepas pembedahan. Jika kesemuanya berjalan dengan lancar, anda akan keluar pada hari tersebut. Sekiranya ia merupakan prosedur yang rumit, anda mungkin terpaksa tinggal di hospital selama satu atau dua hari.

    Untuk mengurangkan pendarahan dan pembengkakan, anda disarankan untuk berehat dengan kedudukan kepala anda lebih tinggi daripada dada anda. Jika hidung anda mengalami pembengkakan atau dibungkus dengan kapas, anda mungkin akan berasa sesak. Individu yang terlibat biasanya dikehendaki untuk membiarkan tuap atau balutan sehingga satu minggu selepas pembedahan. Anda mungkin mempunyai jenis jahitan yang diserap (absorbable stitches), yang bermaksud ia akan larut dan tidak memerlukan penanggalan. Sekiranya jenis jahitan yang dikenakan bukan jenis yang diserap, anda perlu berjumpa dengan doktor seminggu selepas pembedahan untuk menanggalkan jahitan tersebut.

    Untuk beberapa hari selepas pembedahan anda, anda mungkin mengalami drainage dan pendarahan. Pad titisan, yang merupakan sekeping kain kasa yang diletakkan di bawah hidung anda, boleh menyerap darah dan lendir yang keluar. Doktor akan memberitahu anda seberapa kerap anda perlu menukar pad titisan tersebut. Anda mungkin akan mengalami sakit kepala, wajah anda akan berasa bengkak, dan doktor mungkin memberikan ubat penahan sakit.

    Doktor anda mungkin akan memberitahu anda untuk mengelakkan daripada melakukan perkara-perkara berikut selama beberapa minggu selepas pembedahan anda:

    • Berlari dan aktiviti berat yang lain
    • Berenang
    • Meniup hidung anda
    • Mengunyah secara berlebihan
    • Ketawa, tersenyum, atau ekspresi muka lain yang memerlukan banyak pergerakan
    • Menarik pakaian di atas kepala anda
    • Meletakkan cermin mata di atas hidung anda
    • Memberus gigi dengan kuat

    Berhati-hati dengan pendedahan terhadap cahaya matahari. Terlalu banyak pendedahan terhadap cahaya matahari boleh menyebabkan perubahan warna kulit di sekitar hidung secara kekal. Gunakan pelindung matahari SPF30 apabila anda berada di luar, terutamanya di bahagian hidung anda. Pendedahan cahaya matahari secara melampau boleh menyebabkan perubahan warna yang tidak tetap dalam kulit hidung anda. Anda boleh kembali bekerja dalam tempoh seminggu selepas pembedahan.

    Prosedur rhinoplasty boleh menjejaskan kawasan di sekeliling mata anda, dan anda mungkin akan mengalami kebas, pembengkakan atau perubahan warna di sekeliling kelopak mata anda selama beberapa minggu. Dalam kes-kes yang jarang berlaku, masalah ini boleh bertahan selama enam bulan dan pembengkakan yang kecil boleh berlaku dalam tempoh yang lebih panjang. Anda boleh menggunakan cold compress atau pek ais untuk mengurangkan perubahan warna dan pembengkakan. Penjagaan susulan adalah penting selepas prosedur rhinoplasty. Pastikan agar anda mengikuti temu janji anda bersama doktor dan ikuti arahan yang telah diberikan oleh doktor.

    Risiko prosedur rhinoplasty

    hidung mancung

    Sepertimana pembedahan-pembedahan utama yang lain, rhinoplasty turut memberikan risiko seperti berikut:

    • Pendarahan
    • Jangkitan
    • Reaksi buruk terhadap anestesia

    Risiko-risiko lain yang mungkin lebih spesifik terhadap prosedur rhinoplasty termasuklah perkara-perkara seperti berikut:

    • Kesukaran untuk bernafas melalui hidung
    • Kekebasan kekal yang berlaku di dalam dan di sekitar hidung anda
    • Kemungkinan bentuk hidung yang tidak rata
    • Kesakitan, perubahan warna atau pembengkakan yang mungkin berterusan
    • Parut
    • Lubang dalam septum (perforasi septal)
    • Keperluan pembedahan tambahan

    Lakukan perbincangan dengan doktor anda mengenai bagaimana risiko ini berkemungkinan berlaku kepada anda.

    Adakah rhinoplasty berbeza dengan septoplasty?

    Rhinoplasty adalah pembedahan untuk mengubah bentuk hidung. Oleh sebab pernafasan dan bentuk hidung saling berkaitan, rhinoplasty kadangkala boleh dilakukan bukan sahaja untuk mengubah rupa bentuk hidung, tetapi juga untuk meningkatkan pernafasan melalui hidung.

    Septoplasty pula adalah pembedahan untuk meningkatkan pernafasan dengan meluruskan dinding di dalam hidung yang membahagi saluran hidung ke sebelah kanan dan kiri (septum hidung). Apabila septum hidung bengkok, ia boleh menjadikan seseorang individu lebih sukar untuk bernafas melalui hidung. Septoplasty sering digabungkan dengan prosedur rhinoplasty.

    Adakah rhinoplasty adalah satu operasi yang mudah?

    Tidak, rhinoplasty adalah satu operasi yang mencabar. Ini disebabkan oleh beberapa faktor. Pertama, hidung memiliki bentuk 3D yang rumit yang berada di tengah-tengah muka. Perubahan yang dibuat semasa prosedur rhinoplasty selalunya sangat kecil. Tetapi perubahan ini boleh mewujudkan perbezaan yang besar dalam cara hidung tersebut kelihatan dan berfungsi. Memandangkan perubahan tersebut adalah kecil, margin kesilapan yang mungkin akan berlaku daripada prosedur ini juga adalah kecil.

    Adakah saya perlu tinggal di hospital?

    Hampir setiap individu yang telah menjalani rhinoplasty akan keluar dari hospital pada hari yang sama selepas pembedahan. Dalam kes-kes yang jarang berlaku, anda mungkin akan tinggal di hospital selama satu malam jika anda mengalami loya atau mengalami masalah kesihatan lain yang perlu dipantau.

    Berapa lamakah tempoh pemulihan yang diperlukan?

    Rancang untuk mengambil cuti selama seminggu daripada tugas pekerjaan atau kewajipan lain. Anda akan berasa lebih baik setiap hari pada minggu pertama. 

    Selepas pembedahan, terdapat beberapa pembengkakan. Pembengkakan tersebut boleh mengambil masa beberapa bulan untuk sembuh, walaupun kebanyakan individu tidak akan menyedarinya selepas beberapa bulan. Kebanyakan individu pada kebiasaannya akan kembali melakukan banyak aktiviti selepas tempoh seminggu dan menyambung semula semua aktiviti selepas dua hingga empat minggu.

    Adakah terdapat prosedur rhinoplasty tanpa melakukan pembedahan jika saya ingin hidung mancung?

    Impian untuk memiliki hidung mancung tetap menjadi keinginan hampir setiap orang, tetapi biasanya individu akan memikirkan mengenai kaedah yang lebih mudah dan kurang berisiko tanpa melalui pembedahan. Jangan risau kerana terdapat prosedur rhinoplasty yang boleh dilaksanakan tanpa melalui operasi pembedahan. Rhinoplasty tanpa pembedahan, juga dikenali dengan beberapa nama seperti “nose job” tanpa pembedahan, rhinoplasty suntikan, atau “nose job” 15 minit. Kaedah ini boleh menjadi alternatif yang kurang berisiko, berkos rendah serta kurang menyakitkan bagi mereka yang memikirkan aternatif bagi rhinoplasty secara pembedahan. Bagi mereka yang tidak mampu membayar perbelanjaan pembedahan yang tinggi atau bagi mereka yang takut dengan operasi pembedahan, pilihan prosedur ini boleh memberikan kelegaan kepada anda yang ingin meneruskan niat untuk kekal cantik dan memiliki hidung mancung.

    Walaupun rhinoplasty jenis ini tidak dapat mengurangkan saiz hidung yang besar, penciptaan simetri atau pelicinan daripada kontur yang tidak sama melalui kaedah ini boleh menjadikan hidung kelihatan lebih kecil di bahagian muka. Selain itu, rhinoplasty jenis ini boleh memberikan alternatif bukan invasif untuk pembedahan semakan (revision surgery) bagi pesakit yang tidak berpuas hati dengan hasil rhinoplasty pembedahan. Rhinoplasty jenis ini boleh digunakan untuk:

    • Kurangkan kemunculan “benjolan’ dengan mengisi tisu sekeliling
    • Mengurangkan atau menghilangkan lekukan, penyekan, atau alur yang hodoh
    • Meningkatkan simetri

    Bagaimana rhinoplasty tanpa pembedahan ini dilaksanakan?

    hidung mancung

    Sejumlah kecil suntikan filler kulit (seperti Radiesse, Artefill, Juvederm, atau Silicone) disuntik ke kawasan yang perlu diisi untuk mencapai penampilan yang lebih halus dan lebih simetri. Filler disuntik dalam jumlah minuscule dengan menggunakan apa yang dipanggil sebagai teknik microdroplet. Prosedur ini sebenarnya bukanlah satu prosedur yang memberikan kesan dalam tempoh yang pantas, kerana hasilnya hanya akan dicapai selepas beberapa siri rawatan, dengan sekurang-kurangnya 4 – 6 minggu di antara sesi. Pendekatan yang beransur-ansur ini perlu dilakukan disebabkan oleh cara filler ini berfungsi.

    Selepas beberapa tempoh masa yang ditetapkan, doktor dan pesakit akan menilai jika lebih banyak suntikan diperlukan, di mana ia perlu disuntik, serta seberapa banyak jumlah yang diperlukan. Ini membolehkan doktor dan pesakit untuk membuat keputusan dengan sewajarnya.

    Memiliki hidung yang mancung adalah impian setiap individu yang ingin kelihatan menarik. Walau bagaimanapun, setiap langkah yang ingin diambil perlulah dilakukan secara berhati-hati dengan menggunakan perkhidmatan profesional yang berdaftar dan bertauliah. Elakkan daripada menggunakan produk yang tidak berdaftar atau pengendali perkhidmatan yang tidak berkelayakan kerana ia bukan sahaja tidak menjadikan hidung mancung malah merisikokan wajah anda dan nyawa anda sendiri. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 01/07/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan