Rahsia Langsing Che Puan Syamim: 9 Tahun Tak Sentuh Nasi – Ini Tip Efektif Turun Berat?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan

Buat peminat dunia hiburan tanah air, nama Che Puan Syamim Farid kini mesti banyak diperkatakan umum bukan? Manakan tidak, pelakon dan pengacara jelita ini telah mengamalkan cara turun berat badan yang tersendiri iaitu dengan tidak makan nasi selama 9 tahun lamanya!

Sudah tentulah kita yang berbangsa Melayu ini sukar untuk mengikuti jejak langkah beliau kerana nasi adalah salah satu daripada makanan ruji yang paling utama.

Namun, adakah wajar untuk kita mencontohi kaedah ini? Atau, wujudkah cara lain yang boleh diamalkan? Jom sama-sama kita ikuti artikel ini!

Pengakuan mengejutkan Che Puan Syamim Farid tentang penjagaan berat badan beliau!

Che Puan Syamim Farid
sumber: mediahiburan.my

Menerusi soal jawab di laman sosial Instagram rasmi milik beliau, ramai peminat yang bertanyakan rahsia bentuk badan beliau yang sentiasa langsing dan kurus.

Jawapannya adalah sangat mengejutkan- Sudah 9 tahun figura ini tidak makan nasi!

Bukan itu sahaja, isteri kepada Tengku Ezrique Ezzuddean ini turut mendedahkan beliau juga berpantang dari makan ayam, daging, makanan berminyak serta makanan bergula. Jika banyak makanan yang menjadi pantang larang, apa sahaja yang beliau makan ya?

Usah khuatir, Che Puan Syamim Farid masih mempunyai makanan kegemaran yang diambil seharian.

Menurutnya, makanan laut, sayur-sayuran dan buah-buahan akan menjadi pilihan utama. Ikan salmon dan sayur salad akan menjadi keutamaan ekoran kandungan nutrisinya yang tinggi.

“Jika hendak makan hidangan berat sekalipun, saya akan ambil pasta, selalunya Aglio Olio yang dimasak dengan minyak zaitun.

“Makanan berasaskan tepung seperti mi dan mihun masih boleh diambil, tapi saya akan mengunjungi gimnasium pada keesokan harinya,”, jelas beliau lagi.

Adakah ia cara turun berat badan yang bagus?

Che Puan Syamim Farid
sumber: mediahiburan.my

Selain tidak makan nasi, wanita ini juga tidak akan minum air semasa atau selepas makan. Bekas pengacara Hlive ini hanya akan mengambil air 1-2 jam  selepas makan.

Beliau juga tidak akan baring atau tidur selepas makan sebaliknya akan duduk, berjalan atau berdiri dalam usaha mengelakkan perut buncit.

Ditambah dengan diet pescatarian yang diamalkan, ia barangkali merupakan salah satu dari cara turun berat badan yang bagus untuk kita semua amalkan. Pun begitu, ketahuilah bahawa diet jenis ini hanya sesuai dilakukan untuk individu tertentu sahaja.

Diet cara ini juga sebenarnya agak berbahaya untuk golongan kanak-kanak serta ibu yang sedang mengandung atau menyusukan bayi ekoran kandungan merkuri dan beberapa lagi jenis toksin.

Dalam pada itu, diet pescatarian adalah jenis diet yang memerlukan kita untuk mengambil banyak makanan yang mengandungi karbohidrat. Kesannya, ia mungkin menyebabkan karbohidrat dalam tubuh badan berlebihan.

Apakah cara turun berat badan yang lebih ideal?

cara turun berat badan
sumber: mediahiburan.my

Setiap orang adalah berbeza. Mungkin Che Puan Syamim Farid telah berjaya dengan cara ini. Namun, ia mungkin tidak berkesan kepada orang lain.

Jadi, ini cara turun berat badan yang lebih ideal untuk kalian amalkan:

#1. Kurangkan pengambilan karbohidrat

Perkara paling penting untuk turunkan berat badan adalah dengan mengurangkan pengambilan gula dan kanji, atau karbohidrat. Dengan berbuat demikian, ia mampu membuat anda tidak selalu berasa lapar.

Bukan itu sahaja, pengurangan karbohidrat juga akan dapat merendahkan kadar insulin dalam tubuh badan. Kesannya, buah pinggang dapat membuang lebihan air dan sodium sekali gus mengurangkan risiko gemuk air.

Jadi, sila amalkan cara turun berat badan ini untuk memastikan anda kekal langsing dan kurus ya?

#2. Lebihkan protein, lemak dan sayur-sayuran

Ya, ia memang kedengaran agak pelik. Mengapa dengan perbanyakkan protein dan lemak diperlukan sebagai cara turun berat badan? Bukankah ia adalah makanan yang boleh menggemukkan?

Tidak sama sekali. Ini kerana setiap hidangan perlu mempunyai sumber protein, lemak dan sayur-sayuran bagi memastikan anda mendapatkan nutrisi yang diperlukan tubuh badan.

Sebagai peraturan asas, anda boleh cuba amalkan pengambilan makanan jenis ini 2 ke 3 kali sehari. Jika masih lapar, tambahkan hidangan yang keempat.

Dengan cara ini, anda mampu mengurangkan pengambilan karbohidrat sekitar 20 hingga 50 gram sehari!

cara turun berat badan

#3. Lakukan aktiviti fizikal 3 kali seminggu

Hakikatnya, anda tidak perlu melakukan aktiviti fizikal seperti angkat berat terlalu banyak. Sebenarnya, 3 kali seminggu sudah memadai!

Ini kerana aktiviti seperti ini mampu membakar kalori serta memastikan metabolisme anda berada pada tahap yang stabil. Bukan itu sahaja, ia juga mampu membina dan menguatkan otot pada tubuh badan anda.

Jika anda seorang yang tidak gemar angkat berat, boleh lakukan aktiviti fizikal lain seperti berjalan, berjoging, berlari, berbasikal atau berenang sebagai alternatif.

Jadi, apa lagi anda tunggu? Jom sama-sama kita amalkan cara turun berat badan ini untuk mendapatkan tubuh badan yang lebih langsing, kurus, sihat dan sejahtera!

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Baca juga:

Tarikh Reviu: Mac 11, 2020 | Kali terakhir kemaskini: Mac 22, 2020

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut