backup og meta

Resah Bila Memiliki Kulit Bermasalah, Ambil Tahu Puncanya Dan Penjagaan Yang TEPAT

Disemak secara perubatan oleh Dr. Amy Kor · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 14/06/2021

    Resah Bila Memiliki Kulit Bermasalah, Ambil Tahu Puncanya Dan Penjagaan Yang TEPAT

    Kulit bermasalah atau kulit berjerawat adalah keadaan yang berlaku apabila folikel rambut pada kulit bergabung dengan minyak dan sel-sel kulit mati.

    Keadaan ini boleh menyebabkan bintik putih (whitehead), bintik hitam (blackhead) atau kulit berjerawat yang biasanya muncul  pada bahagian muka, dahi, dada, belakang badan dan bahu.

    Kulit bermasalah seperti jerawat paling biasa berlaku dalam kalangan remaja dan boleh muncul kepada sesiapa tanpa mengira peringkat usia.

    Terdapat pelbagai jenis rawatan boleh digunakan untuk merawat kulit bermasalah, namun bergantung kepada tahap masalah kulit yang dihadapi individu tersebut. 

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Kulit sila dapatkannya di sini.

    Simptom kulit bermasalah 

    kulit bermasalah

    Simptom kulit bermasalah selalunya berbeza, bergantung kepada tahap masalah kulit yang dihadapi:

    • Bintik putih – liang pori tertutup
    • Bintik hitam – liang pori terbuka
    • Papule – benjolan kecil, merah
    • Pustule –  jerawat kecil yang mempunyai nanah pada hujungnya
    • Nodul – benjolan pejal, menyakitkan di bawah permukaan kulit
    • Cyst – benjolan besar, bengkak, penuh nanah di bawah permukaan kulit dan menyakitkan

    Punca kulit berjerawat 

    Secara umumnya, kulit bermasalah boleh berlaku apabila liang-liang pori pada kulit tersumbat dengan kotoran, minyak, kulit mati dan bakteria. Setiap liang pada kulit merupakan folikel terbuka yang terdiri daripada rambut dan kelenjar sebaceous (minyak).

    Kelenjar minyak akan mengeluarkan sebum (minyak), yang melalui rambut untuk keluar dari liang pori dan berada pada kulit.

    Sebum ini yang mengekalkan kelembapan dan kelembutan kulit. Namun, kulit bermasalah boleh berlaku apabila muncul 1 atau lebih masalah dalam proses ini.

    Ia boleh berlaku apabila:

    • Minyak yang dihasilkan folikel terlalu banyak
    • Sel-sel kulit mati terkumpul pada liang pori
    • Bakteria merebak pada liang pori

    Cara penjagaan kulit bermasalah

    kulit bermasalah

    Mempunyai kulit bermasalah memerlukan penjagaan yang lebih rapi. Ini adalah untuk mengelakkan keadaan kulit anda menjadi bertambah teruk.

    • Ais

    Jika anda mengalami jerawat bengkak, gunakan ais untuk meredakannya. Letakkan ais pada jerawat untuk tempoh lebih kurang seminit, secara perlahan-lahan.

    Ini mungkin tidak berkesan kepada semua individu, tetapi tiada salahnya untuk mencuba. Namun, elak meletakkan ais untuk tempoh yang lama kerana ia boleh menyebabkan kerengsaan pada kulit.

    • Krim berasaskan sulfur

    Gunakan ubat yang mengandungi benzoyl perosida atau sulfur dan resorcinol yang boleh mengurangkan masalah kulit anda. In mungkin memakan sedikit masa sebelum anda dapat melihat hasilnya.

    Rawatan kulit bermasalah mungkin mengakibatkan kulit menjadi kering atau kerengsaan. Dapatkan pemeriksaan pakar dermatologi sebelum mencampurkan penggunaan produk.

    • Minyak Tea Tree

    Sesetengah individu menggunakannya untuk merawat kerengsaan kulit. Walaupun tidak banyak kajian membuktikan kesahihannya, namun, minyak tea tree dikatakan selamat untuk digunakan kepada kulit.

    Tetapi, adalah lebih baik untuk mencubanya terlebih dahulu pada bahagian kecil bagi memastikan anda tidak mempunyai reaksi alahan.

    Elakkan:

    • Memicit

    Jika timbul keinginan untuk memicit jerawat atau bintik putih, sebaiknya elakkan dahulu. Memicit jerawat hanya akan menyebabkan ia mengambil masa yang lama untuk sembuh dan anda terdedah kepada jangkitan serta parut.

    • Ubat gigi

    Walaupun kandungan dalam ubat gigi dapat mengeringkan jerawat, tetapi ia boleh mencetuskan masalah kulit yang lain. Malah, kandungan fluorida dan bahan pemutih gigi boleh menyebabkan reaksi alahan apabila digunakan pada kulit.

    • Aspirin

    Aspirin berkait rapat dengan asid salisilik, bahan khusus untuk ubatan merawat kulit bermasalah. Tetapi, itu merupakan produk khusus yang dibuat untuk kegunaan pada kulit.

    Sedangkan penggunaan aspirin mungkin akan menyebabkan kerengsaan pada kulit.

    • Rawatan muka

    Walaupun rawatan muka dapat memperbaiki keadaan kulit yang bermasalah, namun ia memerlukan masa untuk menampakkan hasilnya.

    Untuk tempoh jangka masa pendek, anda mungkin mengalami kerengsaan dan ia tidak sesuai sekiranya anda menginginkan hasil dalam masa yang singkat.

    Sekiranya perlu hadir ke majlis atau acara penting, sebaiknya anda lakukan rawatan muka beberapa minggu lebih awal dari tarikh majlis tersebut. 

    Jika merasakan kulit bermasalah, anda haruslah mendapatkan rawatan dan nasihat doktor. seberapa awal yang mungkin, kerana ia dapat mengurangkan risiko untuk berdepan dengan masalah kulit yang lebih teruk.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Amy Kor

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 14/06/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan