Ini Sebab Mengapa Perlu BERHENTI Tanya Kepada Pasangan “Bila Nak Dapat Anak?”

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Tanyalah kepada mana-mana pasangan berkahwin, apakah soalan yang kerap ditanya kepada mereka. Pastinya jawapan yang akan anda terima adalah soalan mengenai kehadiran cahaya mata.

Kehadiran cahaya mata

Tanpa mengira musim, sama ada perayaan, cuti sekolah atau mungkin sekadar terserempak di pusat membeli-belah, pertanyaan “Bila nak dapat anak?” pastinya soalan yang kerap diterima pasangan berkahwin, tidak kira sama ada sudah lama berkahwin atau baru berkahwin.

Tetapi sedarkah anda bahawa ia mungkin 1 soalan sensitif kepada penerimanya? Alaaa…takkan tanya soalan tentang cahaya mata pun tidak boleh, sekadar nak beramah mesra, bertanya khabar.

Ia mungkin tidak mendatangkan masalah bagi pihak anda. Malahan memang persoalan itu seperti 1 amalan budaya dalam masyarakat kita. Tetapi percayalah, soalan itu mempunyai pecahan tersendiri. 

Jika tidak mempunyai anak, pasti akan ditanya “Bila nak dapat anak?”, tetapi apabila sudah mempunyai zuriat, soalan lain pula yang timbul, seperti “Tiada perancangan nak tambah anak ke?” serta pelbagai soalan lain.

Boleh bayangkan jika pasangan berkahwin yang menerima soalan itu sebenarnya berdepan dengan beberapa kesulitan atau masalah peribadi lain yang tidak anda ketahui? Sebab itu ada yang mengatakan soalan berkaitan kehadiran cahaya mata sangat sensitif.

Isu sensitif kepada pasangan berkahwin

Kenapa dikatakan sebagai 1 soalan sensitif? Kebanyakan pasangan yang berkahwin, pastinya ingin memiliki zuriat sendiri dalam fasa perkahwinan. Namun untuk hamil ia bukanlah perkara mudah seperti membuat pesanan dalam talian. Order hari ini, esok sampai.

Ada pasangan berkahwin yang perlu menunggu bertahun-tahun untuk hamil. Malahan ada juga pasangan yang akhirnya memilih untuk melakukan rawatan kesuburan IVF, setelah beberapa atau berbelas tahun menunggu kehadiran si comel.

Hanya mereka yang pernah melalui kesukaran itu dapat memahami mengapa soalan berkaitan zuriat adalah sangat dan terlalu sensitif untuk ditanyakan kepada mana-mana pasangan.

pasangan-berkahwin-kerap-ditanya-mengenai-cahaya-mata

3 sebab anda patut elakkan soalan mengenai cahaya mata

Jika anda masih tidak berpuas hati dengan penjelasan di atas tentang mengapa patut berhenti bertanyakan tentang cahaya mata kepada pasangan berkahwin, berikut Hello Doktor senaraikan 3 sebab lain. Antaranya:

  1. Kebahagiaan adalah 1 perkara subjektif

Seperti kecantikan, kebahagiaan juga adalah 1 yang subjektif. Ada pasangan berkahwin yang mahukan anak kerana ada yang berasakan kehadiran anak adalah 1 kegembiraan terbaik dalam hidup dan ada yang sebaliknya. 

Untuk menganggap bahawa semua pasangan berkahwin perlu mempunyai anak, terutamanya apabila mereka tidak pernah mengatakan tentang keinginan untuk memilikinya, boleh dikatakan sebagai 1 perkara yang kurang wajar. Itu adalah hak individu dan pilihan setiap pasangan. 

Antara selebriti yang membuat pilihan untuk tidak memiliki anak antaranya seperti Oprah Winfrey, Cameron Diaz, Renée Zellweger dan juga Rachael Ray. Setiap daripada mereka mempunyai alasan tersendiri mengapa mereka tidak mahu memiliki anak.

2.Menyebabkan hati terluka 

Kita tidak tahu apa yang dilalui oleh seseorang individu itu. Sesetengah pasangan mungkin mahukan anak tetapi berhadapan dengan beberapa masalah berkaitan kesuburan. Antaranya seperti:

  • Pengasas Facebook, Mark Zuckerberg dan isterinya, Priscilla Chan melalui 3 kali keguguran sebelum menerima kehadiran zuriat yang pertama
  • Bekas Presiden Amerika Syarikat, Barack dan Michelle Obama mengalami keguguran sebelum mendapat kedua-dua anak perempuan mereka melalui rawatan kesuburan IVF
  • Bintang drama Friends, Courteney Cox melalui 7 kali keguguran sebelum kehadiran anak perempuannya. Dia mempunyai masalah mutasi gen MTHFR – menimbulkan risiko penggumpalan darah yang menyebabkan keguguran

Lebih kurang 10% wanita berdepan kesukaran untuk hamil atau kekal hamil. Sementara 13.5% daripada kehamilan berakhir dengan keguguran. Angka ini akan semakin meningkat seiring dengan peningkatan usia seseorang wanita.

Bagi sesetengah individu, perjalanan untuk mengandung perlu ditempuhi dengan kesakitan, kesukaran dan kehilangan. Ini kerana mereka perlu melalui fasa keguguran, melakukan pusingan rawatan kesuburan berkali-kali dan menunggu dengan penuh harapan setiap kali menguji kit kehamilan setiap bulan.

  1. Belum bersedia

Ada sesetengah pasangan berkahwin mungkin mengelak untuk memperolehi zuriat berikutan beberapa halangan dan masalah dalam kehidupan.

Memang kita akan mengatakan anak itu pembawa rezeki, namun sebagai ibu bapa pastinya kita mahu memberikan yang terbaik untuk anak-anak, bukan?

Ada juga pasangan yang masih belum bersedia untuk memiliki anak. Mereka mungkin memerlukan masa untuk memikirkannya dengan sedalam-dalamnya. Ini kerana mendapat anak bukanlah 1 perkara yang boleh dibuat main-main. 

Masalah berkaitan kewangan, kesihatan diri yang kronik serta ketidaksediaan untuk mempunyai anak boleh menjadi faktor mengapa pasangan berkahwin tidak mahu memiliki zuriat.

pasangan-berkahwin-kerap-ditanya-mengenai-cahaya-mata

Bergantung kepada keadaan

Jika anda memang rapat dengan pasangan tersebut, mungkin ia tidak menjadi masalah untuk anda bertanyakan kepada mereka tentang zuriat. Namun sebaiknya, elakkan daripada bertanyakan soalan sedemikian. Ini kerana jika mereka ingin berkongsi kepada anda mengenai cahaya mata, sudah tentu anda akan dimaklumkan tanpa perlu bertanya.

Manakala kepada pasangan yang kerap menerima soalan “Bila nak dapat anak?”, mungkin anda boleh memberikan jawapan seperti “Doakan kami agar dipermudahkan urusan memiliki zuriat”, daripada menganggap soalan demikian seakan ingin menyibuk dengan kehidupan anda. 

Walau apapun, bagi pasangan berkahwin yang sedang berusaha mendapatkan zuriat, kami di Hello Doktor mendoakan yang terbaik untuk anda. Jangan pernah berputus asa, okay?

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

Tarikh Reviu: Mac 7, 2020 | Kali terakhir kemaskini: Mac 9, 2020

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut