backup og meta

Risiko Kaedah Kontraseptif Terhadap Kanser Payudara

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Farah Aziz · Disemak pada 30/11/2021

    Risiko Kaedah Kontraseptif Terhadap Kanser Payudara

    Pil perancang kehamilan adalah sejenis ubat dengan hormon yang akan diambil oleh kebanyakan wanita bagi mencegah kehamilan. Walaupun ia kaedah bermanfaat bagi individu yang ingin merancang keluarga, namun ia masih mempunyai kesan sampingan lain seperti risiko mendapat kanser payudara.

    Kira-kira 140 juta wanita seluruh dunia menggunakan kaedah kontraseptif iaitu pil kawalan kelahiran dan IUD. Selain efektif dalam mencegah kehamilan, ia juga membantu keadaan lain seperti jerawat, sindrom premenstrual (PMS) dan perubahan mood.

    Manakala, menurut penyelidikan yang diterbitkan dalam The New England Journal of Medicine, wanita yang mengambil pil hormon kawalan kelahiran atau menggunakan IUD selama bertahun-tahun mengalami risiko kanser payudara lebih tinggi berbanding mereka yang tidak menggunakan kaedah itu.

    Peningkatan risiko kanser payudara adalah berbeza bagi setiap wanita dan bergantung kepada banyak faktor, iaitu:

    • Umur
    • Keadaan kesihatan umum
    • Risiko peribadi kanser payudara
    • Faktor risiko kanser payudara yang lain, seperti merokok, minum alkohol dan mengekalkan berat badan yang sihat

    Hubung kait kaedah kontraseptif dengan risiko kanser payudara

    Kajian The New England Journal of Medicine juga menunjukkan bahawa bentuk hormon kawalan kelahiran yang lebih lama mengandungi dos hormon yang tinggi dan dikaitkan dengan risiko kanser payudara yang lebih tinggi. Kaedah kontraseptif yang lebih baru yang mengandungi dos hormon yang rendah dianggap lebih selamat walaupun semuanya mengandungi amaran dalam arahan penggunaan bahawa ia boleh meningkatkan risiko kanser.

    Disebabkan itu, jika anda didiagnosis menghidap kanser payudara, sebaiknya jangan menggunakan mana-mana alat kontraseptif. Terdapat bukti bahawa kaedah kontraseptif ini dapat meningkatkan risiko kanser muncul semula.

    Kajian ini dilakukan terhadap hampir 1.8 juta wanita selama kira-kira 11 tahun. Para penyelidik melihat rekod perubatan semua wanita yang tinggal di Denmark yang berumur antara umur 15 dan 49 tahun. Kajian turut mengecualikan wanita yang:

  • Didiagnosis mempunyai kanser
  • Didiagnosis dengan darah beku
  • Dirawat bagi ketidaksuburan
  • Secara keseluruhannya, peningkatan risiko adalah kira-kira satu kes kanser payudara baru sebanyak 7,690 wanita yang menggunakan kontraseptif hormon selama setahun.

    Penyelidik juga mendapati wanita yang menggunakan kaedah kontraseptif melebihi 10 tahun mempunyai risiko yang lebih tinggi berbanding wanita yang menggunakannya kurang daripada 1 tahun.

    Risiko kanser payudara ini juga berbeza bagi setiap wanita daripada pelbagai umur. Bagi wanita berumur kurang daripada 35 tahun, hanya ada satu kes kanser payudara tambahan untuk setiap 50 000 wanita yag menggunakan kaedah kontraseptif selama setahun. Tetapi bagi wanita pra menopouse yang menggunakan kaedah ini, ia meningkatkan risiko kanser payudara walaupun sedikit.

    Adakah kontraseptif selamat?

    Risiko kanser payudara perlu diseimbangkan dengan manfaat penggunaan pil kontraseptif. Selain daripada fakta bahawa kontraseptif oral berkesan dan boleh memberi manfaat kepada wanita yang mengalami dismenorea (senggugut) atau menoragia (pendarahan berlebihan semasa haid, sama ada dalam jumlah hari atau amaun darah atau kedua-duanya). Penggunaan kontraseptif oral juga dikaitkan dengan pengurangan kanser ovari, endometrium dan kolorektal pada masa hadapan. Namun terdapat juga kajian menunjukkan penggunaan kontraseptif oral selama 5 tahun atau lebih meningkatkan risiko kanser payudara.

    Oleh itu, langkah terbaik adalah berbincang dengan doktor anda sebelum membuat keputusan untuk melakukan kawalan kelahiran supaya ia tidak menjejaskan keadaan kesihatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Farah Aziz · Disemak pada 30/11/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan