backup og meta

Rintangan Antimikrob: Ancam Tahap Kesihatan Masa Hadapan

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 15/05/2023

    Rintangan Antimikrob: Ancam Tahap Kesihatan Masa Hadapan

    Penyalahgunaan antibiotik yang tidak terkawal boleh menyebabkan berlaku masalah dalam dunia penjagaan kesihatan. Situasi ini boleh berlaku berikutan wujudnya rintangan antimikrob (AMR). Keadaan ini berlaku apabila mikroorganisma seperti bakteria, kulat, virus dan parasit tidak lagi boleh dilawan atau diatasi dengan pengambilan ubatan antimikrob seperti antibiotik, antikulat, antivirus, antimalaria dan antelmintik. Akibatnya adalah, sebarang rawatan tidak lagi mendatangkan kesan pemulihan dan jangkitan akan berlarutan, sekali gus meningkatkan risiko penyebaran kepada individu lain.

    Menurut Pakar Runding Penyakit Berjangkit, Profesor Madya Dr Sasheela Sri La Sri Ponnampalavanar, “Kesan jangkitan akibat bakteria mempunyai daya tahan terhadap pelbagai ubatan yang boleh membawa bencana besar. Tanpa ubatan antimikrob yang berkesan, banyak rawatan perubatan piawai gagal atau menjadi prosedur berisiko tinggi. Ia menghalang kemajuan perubatan moden, menjejaskan kejayaan pemindahan organ, kemoterapi kanser dan pembedahan-pembedahan besar.

    Tanpa langkah pencegahan segera, masa depan kesihatan awam dunia akan terancam dan dianggarkan lebih 10 juta kematian akan berlaku disebabkan AMR menjelang tahun 2050. Satu jumlah yang lebih tinggi berbanding gabungan kadar kematian semasa disebabkan kanser, diabetes dan kemalangan lalu lintas. Asia dipercayai akan berdepan kesan paling besar dengan 4,730,000 kematian menjelang 2050.

    Antibiotik adalah merupakan kategori ubatan antimikrob. Rintangan antimikrob akan berlaku apabila kuman seperti bakteria dan kulat membina keupayaan untuk menentang ubat yang direka untuk melawan dan membunuhnya. Kegagalan antibiotik ini untuk bertindak balas akan menyebabkan penyakit akan berpanjangan, kos rawatan menjadi lebih tinggi dan risiko kematian juga semakin meningkat.

    Wujudnya rintangan antimikrob

    Menurut Dr Sasheela, masalah rintangan antimikrob ini wujud apabila pesakit menganggap antibiotik boleh menangani sebarang bentuk jangkitan. Sedangkan hakikatnya antibiotik tidak mendatangkan sebarang kesan terhadap jangkitan virus seperti influenza, selesema biasa dan demam denggi. Akibatnya, ia bukan sahaja tidak berkesan melawan virus, malah ia melawan bakteria berguna di dalam badan yang sensitif kepada antibiotik dan akhirnya menggalakkan pembiakan bakteria yang berdaya tahan terhadap antibiotik.

    Langkah pencegahan rintangan antimikrob

    Untuk mengatasi daripada wujudnya masalah rintangan antimikrob ini, cara yang boleh dilakukan adalah, jika anda mengalami sebarang jangkitan bakteria, pastikan anda melengkapkan pengambilan antibiotik yang diberikan doktor untuk mencegah kemunculan bakteria berdaya tahan dan rawatan jangkitan sebahagian.  

    Manakala penggunaan antibiotik harus dikawal secara sepenuhnya. Pakar perubatan, ahli farmasi dan seseorang individu itu sendiri mesti mengelakkan penggunaan ubatan berharga ini secara tidak bertanggungjawab. Pengambilan dan pembelian antibiotik mesti diberikan hanya untuk jangkitan bakteria pada dos yang sewajarnya dan untuk tempoh yang betul.

    Seseorang individu yang sakit, seharusnya kekal mendapatkan rawatan dengan hanya seorang doktor sehingga masalah jangkitan diselesaikan dan tidak bertukar-tukar doktor.

    Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

  • Apa itu Rintangan Antibiotik?
  • Rintangan terhadap Antibiotik Semakin Meningkat
  • Perlukah Antibiotik Dihabiskan?
  • Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 15/05/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan