Rahsia Ibu Tunggal yang Perlu Anda Ketahui

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Bila bercakap tentang ibu tunggal, sure perkara pertama yang terlintas rasa kasihan dan simpati. Apatah lagi kalau ibu tunggal tu ada anak kecil. Tapi adakah itu yang diharapkan oleh ibu tunggal?

Apa yang anda perlu tahu tentang seorang ibu tunggal?

Sebagai seorang ibu tunggal, penulis tak menafikan adakalanya timbul kesukaran apabila segala bebanan yang selama ini ditanggung bersama, tiba-tiba digalas sendirian. Tetapi itu tak bermakna kami sebagai ibu tunggal mahu dipandang dengan rasa simpati semata-mata. Berikut adalah beberapa rahsia mengenai ibu tunggal yang perlu anda ketahui.

1. Simpati berlebihan

Yes. bersimpati itu baik. Tetapi kalau berlebihan, merimaskan.  Kami juga tidak perlukan sebarang komen seperti “Macam manalah awak boleh survive jadi single mother. Saya tidak boleh bayangkan hidup tanpa suami saya.” Setiap kehidupan ada cabaran yang tersendiri, namun itu tidak bermakna bergelar ibu tunggal bermakna dunia kami gelap gelita. 

Segalanya kini di bahu kami; anak sakit,kena berjaga malam dan esok pagi kena pergi kerja. Tetapi itu tak bermakna kami mahukan simpati. Cukup sekadar memahami apa yang kami lalui itu adalah yang sebaiknya.

2. Bahagia 

Tidak ada seorang wanita yang berkahwin berharap akan menjadi janda dan bercerai. Tetapi kalau anda ‘dah’ cuba pelbagai cara dan perkahwinan yang individu sekeliling anda nampak hanyalah sekadar sandiwara, perlulah ia diteruskan? Kebahagiaan itu terletak dalam diri sendiri dan bukan dengan siapa anda bersama.

Memang tak dinafikan pada awal perceraian, rasa i’m at my lowest point in life – jadi janda dan tidak bekerja. Tetapi hidupkan seperti roda, tidak selamanya kita berada di bawah. Sejujurnya, penulis sendiri lebih bahagia dengan kehidupan sekarang, bersama seorang puteri yang terlalu banyak akal dan petah bercakap. 

3. Masa

Siapa yang tak mahukan masa untuk berhibur bersama kawan-kawan? ‘Me-time’ – tengok wayang, jalan-jalan dan bercuti? Namun, keadaan sedikit berbeza dengan individu bergelar ibu tunggal. Lagi-lagi kalau ibu tunggal yang hidup dengan anak sahaja. 

On weekdays, sibuk bekerja – pagi sampai petang, 5 hari seminggu. Dan masa untuk bersama anak cuma pada hujung minggu. Namun penulis tetap cuba untuk meluang masa pada waktu malam bersama anak. Kalau ‘nak’ keluar dengan kawan-kawan pun, otak mesti fikir tentang anak dan timbul rasa bersalah sebab sedar anak mesti nak bersama mama dia. 

Penat…itu lumrah. Penulis sangat bernasib baik kerana masih mempunyai emak yang sanggup korbankan kehidupan aman damainya di kampung halaman semata untuk meneman penulis dan anak di sini. Tetapi itu bukan bermakna penulis boleh mengambil kesempatan kerana anak itu adalah tanggungjawab penulis. 

4. Kawan 

Memang kalau fikirkan tentang anak, penulis akan tolak ajakan untuk keluar (ini apa yang berlaku pada penulis). Tetapi itu tidak bermakna anda harus berhenti terus dari mengajak kawan anda yang bergelar ibu tunggal. 

Kami juga manusia biasa, inginkan masa untuk berhibur, jumpa kawan-kawan dan menenangkan fikiran. Tetapi janganlah mengajak last minute, sebab kami perlukan masa untuk mengaturkan segalanya, especially perihal berkaitan anak dengan sebaiknya. Walaupun mungkin kami akan menolak, namun sejujurnya, rasa terharu apabila diajak keluar – terasa diri disayangi. 

5. Bercerita

Kalau anda ingin tahu mengapa, kenapa dan bagaimana perceraian itu berlaku, bertanya. Tidak perlu membuat sebarang cerita atau bergosip tentang apa yang berlaku. Sebab kadang-kadang apa yang dirasakan betul pada pandangan anda, mungkin adalah tidak sahih sama sekali. Jadi jalan yang terbaik, tanya terus kepada tuan empunya badan. 

Bagi penulis sendiri, sebolehnya penulis tidak mahu mengingati sejarah yang sudah berlaku. Namun daripada wujud cerita yang tidak benar dan mengarut, lebih baik penulis ceritakan perkara yang sebenar. 

6. Pertolongan

Masa mula-mula bergelar single mother, dalam fikiran penulis cuma mahu lakukan segalanya sendirian dan tidak mahu menyusahkan sesiapa. Malahan apabila penulis dapat tawaran kerja di Hello Doktor dan emak menawarkan diri untuk tinggal bersama penulis, penulis menolak. Sebab penulis rasa penulis tiada masalah untuk penulis berdikari. 

Tetapi kini penulis sedar, tiada salahnya meminta bantuan dan dibantu. Tiada istilah tidak mahu menjadi bebanan kepada sesiapa. Well, bila kita sayangkan seseorang pastinya kita akan cuba untuk membantu sedaya yang boleh, bukan? Dan itulah juga apa yang orang lain rasakan pada kita. Jadi buat semua ibu tunggal, usah malu untuk meminta dan menerima bantuan. 

7. Jodoh

Sebenarnya tidak salah untuk menjadi matchmaker. Tetapi sebaiknya, dapatkan kepastian daripada ibu tunggal sama ada mereka sudah bersedia untuk mencari pasangan lain atau tidak. Ini kerana terdapat sesetengah ibu tunggal yang selesa dengan keadaan yang dilalui.

Tidak dinafikan penulis inginkan seseorang (sudah tentu bukan suami orang) sebagai teman; tempat untuk berkongsi bercerita dan bergembira. Tetapi ia bukanlah bermakna ingin terus mencari pasangan hidup. Segalanya perlukan masa. 

Apa pun, sebaiknya jika anda ingin mencari jodoh buat ibu tunggal, jangan memandai-mandi tanpa bertanyakan persetujuan mereka terlebih dahulu, yer?

8. Anak 

Tiada ibu yang tidak sayangkan anaknya yang dikandungkan selama 9 bulan. Walau apa pun yang berlaku, anak sentiasa menjadi keutamaan. Tidak dinafikan apabila melihat wajah anak, akan terbit rasa bersalah dengan apa yang berlaku – perceraian – tetapi semuanya sudah ditakdirkan untuk berlaku dan hidup harus diteruskan, bukan?

Dengan segala yang berlaku, anak semestinya menjadi sumber kekuatan yang tiada tandingan dan penulis sendiri, kembali kuat hanya kerana anak. And she’ll always be my priority and strength no matter what. In syaa Allah. 

Konklusi

Setiap ibu tunggal akan sentiasa berusaha untuk melakukan yang terbaik buat anak-anak dan kehidupannya sendiri. Ada masanya kami akan jatuh, namun itu tidak bermakna selama-lamanya kami akan berada di bawah. Hulurkanlah tangan jika anda benar-benar ikhlas untuk membantu, namun jika tidak, usahlah berlakon seperti anda prihatin dengan apa yang kami lalui. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut