Suruhanjaya Eropah telah menentukan bahawa terdapat bukti yang mencukupi bahawa DBP dan DEHP membawa kepada gangguan endokrin dalam organisma hidup. Selain itu, Pertukaran Gangguan Endokrin (TEDX) telah memasukkan DEP, DEHP, dan DBP sebagai pengganggu endokrin. Dua dekad penyelidikan telah mencadangkan bahawa phthalate mengganggu hormon, yang boleh menyebabkan kecederaan semasa tempoh kritikal tumbesaran. Pendedahan wanita hamil kepada phthalate DBP dan DEHP telah dikaitkan dengan jarak yang lebih pendek antara anus dan alat kelamin pada bayi lelaki mereka, yang menunjukkan feminisasi telah berlaku semasa perkembangan alat kelamin pranatal. Jarak anogenital yang lebih pendek adalah ciri seks wanita dalam kedua-dua manusia dan haiwan. Penyelidikan lain terhadap manusia telah menunjukkan bahawa paras hormon telah diubah dalam kalangan kanak-kanak lelaki yang terdedah kepada DEP dan DEHP dalam susu ibu.
Walau bagaimanapun, bahan ini tidak didedahkan pada setiap produk kerana ia ditambah kepada wangian (formula rahsia wangian setiap syarikat pengeluar tidak didedahkan pada senarai kandungan produk). Ia boleh didapati dalam kandungan deodoran, minyak wangi / cologne, semburan rambut dan pelembap. Anda boleh kenal pasti bahan ini dengan melihat kepada perkataan seperti phthalate, DEP, DBP, DEHP dan wangian.
Triclosan
Triclosan adalah kimia antimikrob yang digunakan secara meluas yang merupakan pengganggu endokrin yang dikenali, terutamanya tiroid dan hormon pembiakan, selain perengsa kulit. Ia pada mulanya dibangunkan sebagai skrub pembedahan untuk profesional perubatan, tetapi kemudiannya ia telah ditambah kepada pelbagai produk pengguna untuk membunuh bakteria dan kulat selain mencegah bau yang tidak diingini. Pada tahun 2005, FDA mendapati bahawa tidak terdapat bukti yang mencukupi yang mendakwa bahawa membasuh dengan sabun antibakteria yang mengandungi triclosan memberikan manfaat yang lebih berbanding daripada membasuh dengan menggunakan sabun dan air biasa. Terdapat bukti bahawa triclosan adalah pengganggu endokrin dan memberi kesan kepada fungsi tiroid dan homeostasis tiroid. Satu kajian yang dijalankan pada tahun 2009 mendapati bahawa triclosan menurunkan kepekatan hormon tiroid, dan satu kajian lain menunjukkan bahawa triclosan meningkatkan ekspresi androgen dan gen yang sensitif kepada estrogen.
Beberapa kajian melaporkan triclocarban sebagai sejenis sebatian pengganggu endokrin yang unik yang meningkatkan aktiviti endokrin apabila digabungkan dengan hormon yang bertindak secara semula jadi dalam tubuh manusia. Penyelidikan telah menunjukkan bahawa triclocarban meningkatkan kekuatan estradiol dan testosteron, walaupun ia tidak mempunyai kesan langsung ke atas aktiviti endokrin sendiri. Sel kanser payudara yang sensitif terhadap hormon yang dirawat dengan triclocarban menunjukkan peningkatan proliferasi sel (pertumbuhan dan penggandaan sel) selain peningkatan tindak balas hormon. Kajian yang dilakukan pada sel-sel mamalia mencadangkan bahawa triclocarban jga boleh mengganggu aktiviti tiroid dan ia juga menunjukkan aktiviti estrogen yang lemah dalam ikan. Triclosan boleh didapati dalam ubat gigi, sabun antibakteria dan deodoran dan anda boleh kenal pasti bahan ini dengan perkataan triclosan (TSC) dan triclocarban (TCC).
Formaldehyde
Formaldehyde dan pengawet yang melepaskan formaldehyde/formaldehyde-releasing preservatives (FRP) digunakan dalam banyak produk kosmetik untuk membantu mencegah pertumbuhan bakteria. Ia ditulis diatas produk kecantikan dengan nama seperti formaldehyde, quaternium-15, DMDM hydantoin, imidazolidinyl urea, diazolidinyl urea, polyoxymethylene urea, sodium hydroxymethylglycinate, 2-bromo-2-nitropropane-1,3-diol (bromopol) dan glyoxal. Bahan kimia ini dianggap sebagai karsinogen manusia oleh Agensi Antarabangsa Penyelidikan Karsinogen (IARC) dan telah dikaitkan dengan kanser berkaitan pekerjaan: nasal dan nasofaring. Ia diketahui menyebabkan reaksi kulit alergi dan ia juga boleh memudaratkan sistem imun. Ia boleh didapati dalam kandungan pengilat kuku, sabun pencuci badan, perapi, syampu, pembersih, pembayang mata dan rawatan pengilatan kuku.
Kajian pada tahun 2009 mengenai pendedahan pekerjaan dan formaldehyde menunjukkan hubungan antara formaldehyde dan leukemia. Kajian pada tahun 2014 pula mendapati bahawa formaldehyde memulakan dan menggalakkan pembentukan tumor. Apabila formaldehyde hadir dalam produk penjagaan diri, individu boleh didedahkan dengan menghidu formaldehyde yang dilepaskan secara gas daripada produk tersebut, atau dengan menelannya atau menyerapnya melalui kulit. Kebanyakan kajian mengenai potensi kanser oleh formaldehyde menumpukan kepada risiko daripada menghidunya. Risiko kanser daripada menelan formaldehyde atau menyerapnya melalui kulit pula tidak begitu dikaji. Kajian terhadap haiwan menunjukkan bahawa, formaldehyde boleh diserap kedalam kulit apabila produk penjagaan peribadi yang mengandungi formaldehyde termasuklah FRP digunakan. Formaldehyde yang dilepaskan daripada FRP telah dikaitkan dengan kanser, tetapi terdapat sedikit bukti bahawa FRP menyebabkan kanser secara langsung. Walau bagaimanapun, campuran FRP bromopol dan amine, yang membentuk nitrosamines, didapati menembusi kulit dan menyebabkan kanser.
Penggunaan produk kecantikan perlulah bersesuaian dengan jenis kulit anda untuk mengelakkan ketidaksesuaian dan masalah kesihatan seperti keradangan. Terdapat pelbagai jenis bahan kimia lain yang berbahaya terhadap kulit selain daripada lima jenis yang dinyatakan diatas. Walau bagaimanapun, lima jenis bahan kimia berbahaya seperti diatas adalah antara yang paling terkenal dan terbukti kesan sampingan penggunaannya secara berterusan.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen