Eksklusif: Perlu pengurusan sumber khusus dan cekap tangani kanser lebih berkesan

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh hellodoktor

Ada mesej dan isyarat penting yang ingin dikongsi oleh Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM) selaku hos penganjur Kongres Kanser Dunia yang baru sahaja melabuhkan tirainya dua minggu lepas.

Yang pastinya, mesej dan isyarat cakna yang lahir daripada sesi-sesi perkongsian ilmu ketika berlangsungnya kongres tersebut bukan sahaja ditujukan kepada rakyat Malaysia, malah masyarakat global.

Kongres Kanser Dunia yang berlangsung kali ini menerima sedikit tekanan daripada PBB dan WHO kerana seminggu sebelum kongres tersebut membuka pintunya, WHO telah mengeluarkan satu data yang sangat meresahkan menerusi Mesyuarat Peringkat Tertinggi Mengenai Penyakit Tidak Berjangkit (NCDs) ketika berlangsungnya Perhimpunan Agung PBB di New York pada penghujung September 2018.

Menurut WHO, sasaran bagi mengurangkan kadar kematian pramatang akibat penyakit tidak berjangkit (NCDs) sebanyak 25 peratus menjelang tahun 2025, tidak menunjukkan sebarang petanda positif, berkemungkinan besar sasaran tersebut tidak akan dicapai.

Data yang diumumkan oleh WHO tersebut sedikit sebanyak memberi maklumat awal bagaimanakah komuniti kanser global dapat merangka strategi terbaru dalam mengawal kanser sekaligus dapat menyumbang kepada sasaran yang ingin dicapai WHO.

Jika sebelum ini Hello Doktor berkesempatan menemubual (bekas) Presiden Kesatuan Antarabangsa untuk Kawalan Kanser (UICC), Prof. Sanchia Aranda yang menegaskan kita harus melihat kanser dari pelbagai sudut dan harus punya pendekatan holistik terhadap kawalan kanser bukan semata-mata rawatan sahaja. Kita juga perlu menilai semula perspektif intervensi untuk merapatkan jurang di peringkat global dengan menjalinkan kerjasama lebih erat di antara sektor awam dan swasta.

Selain itu, Prof. Sanchia juga senada dengan Penolong Ketua Pengarah WHO bagi sektor Keluarga, Wanita, Kanak-kanak dan Golongan Muda, Dr. Princess Nothemba (Nono) Simelela yang menyarankan pemimpin dan masyarakat global mengubah pendekatan yang lebih mendesak dan ‘tidak sabar’. Jika selama ini terdapat pelbagai kekangan dalam kawalan kanser seperti pembiayaan, kekurangan infrastruktur, promosi dan kesedaran awam yang kurang berkesan, capaian kepada ubat-ubatan dan pelbagai jenis rawatan kanser serta penjagaan palliatif, kini sudah tiba masanya semua pihak menggembleng tenaga agar kita ‘tidak sabar’ dalam memastikan pesakit-pesakit kanser menerima rawatan dan penjagaan sewajarnya manakala masyarakat umum pula harus didedahkan dengan pelbagai program kesedaran dan sekaligus menjalani saringan kanser.

Itu pandangan pemegang taruh di peringkat antarabangsa, kami menemubual Dr. Murallitharan Munisamy, Pengarah Perubatan di Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM) untuk mendapatkan gambaran lebih lanjut, apakah langkah seterusnya dalam kawalan kanser.

Pengalaman dan dapatan Kongres Kanser Dunia 2018

Hello Doktor: Boleh Dr. ceritakan mengenai pengalaman NCSM menganjurkan Kongres Kanser Dunia? Apakah pembelajaran utama daripada kongres tersebut?

Dr. Murallitharan: Ini pertama kali Kongres Kanser Dunia diadakan di Malaysia dan rantau Asia. Tugas ini sangat mencabar kerana bukan senang nak menghimpunkan pakar-pakar kanser dalam satu persidangan, tambahan pula kami menganjurkan kongres ini dengan bantuan yang minimum daripada kerajaan. Kerajaan cuma membantu kita mempromosikannya menerusi agensi promosi acara dan persidangan Malaysia. Kongres ini adalah sebuah persidangan yang digerakkan oleh komuniti dan disokong oleh institusi di seluruh negara. Kami sangat berbangga kerana Kongres Kanser Dunia ini sememangnya acara yang digerakkan oleh segenap sektor; Badan Bukan Kerajaan, Korporat, Institusi dan Kerajaan di mana kami di NCSM sebagai pengurus projek. Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada UICC yang membantu kami dan memberi panduan dari awal perancangan hingga berakhirnya kongres tersebut.  

Kongres ini diadakan untuk memberi maklumat tentang kawalan kanser. Kanser bukan hanya semata-mata masalah perubatan, kerana rawatan sudah sedia ada, tapi kurangnya pesakit untuk tampil kehadapan menerima rawatan dan aspek kesedaran serta keberanian untuk menjalani saringan kanser. Itulah kelebihan kongres ini selain membincangkan aspek klinikal, kita menggunakan pendekatan holistik terhadap pengisiannya. Contohnya, kongres kali ini kami menyediakan ‘Patients Pavilion’, di mana ia menjadi saluran untuk membincangkan mengenai segala aspek penjagaan pesakit

Menariknya juga, kongres kali ini digerakkan oleh para sukarelawan yang terdiri daripada pesakit kanser, pakar-pakar kanser serta golongan profesional pengurusan di sektor swasta dan awam. Kongres kali ini memberi cerminan ia sebuah acara milik rakyat Malaysia.

Hello Doktor: Kita dapat lihat bagaimana kongres tersebut dapat memberi idea kepada NCSM bagi merangka strategi seterusnya.

Bagaimana pula masyarakat global secara amnya mendapat manfaat daripada kongres tersebut?

Dr: Murallitharan: Kongres yang lepas diadakan di Paris, dengan kadar tukaran wang asing serta kos perbelanjaan yang tinggi, agar sukar bagi kita dan Kementerian Kesihatan untuk menghantar delegasi yang besar. Paling ramai pun mungkin 2 orang sahaja yang dapat pergi. Tapi kali ini dianjurkan di Kuala Lumpur dan Kementerian Kesihatan menghantar 30 delegasi yang terdiri daripada pakar dalam bidang masing-masing, memberikan lebih peluang untuk agenda/idea global dalam kawalan kanser digunapakai di peringkat dasar awam dan akar umbi. Bayangkan pula 10 negara ASEAN yang lain turut sama menghantar delegasi dengan saiz yang sama, menjadikan rantau ini lebih bersiap sedia menangani kanser. Begitu juga dengan negara-negara Asia Selatan seperti India, Bangladesh, Sri Lanka dan sebagainya juga dapat menghantar lebih ramai delegasi disebabkan kos yang lebih murah kerana kongres ini diadakan di Malaysia.

Selain itu, kami juga membuat kutipan dana bagi menaja mereka yang akan menerima paling banyak manfaat daripada kongres ini. Contohnya seperti organisasi kecil dan kumpulan sokongan kanser daripada Kuantan, Johor Bahru dan Terengganu antara yang mendapat tajaan untuk menghadiri kongres tersebut.

Seperti yang saya kata tadi, kongres ini bukan sebarang persidangan mengenai penyakit dan rawatan perubatan, sehingga ada pakar rawatan kanser tempatan berkata kepada saya masih banyak lagi kaedah dan aspek yang perlu diperbetulkan sebelum dan selepas rawatan yang mereka pelajari menerusi kongres tersebut. Kongres ini lari daripada stereotaip persidangan perubatan dengan menawarkan pengisian yang pelbagai dan relevan dalam kawalan kanser. Harap akan berlaku satu perubahan minda dan impak berkesan mengenai kanser kepada pengamal perubatan, pesakit, keluarga, kumpulan sokongan serta badan berwajib mengenai kesihatan.

Pengurusan Sumber yang Khusus dan Cekap bagi tangani NCDs

Hello Doktor: Sepertimana yang dilaporkan oleh WHO ketika Mesyuarat Agung PBB yang lepas, terdapat perkembangan yang tidak positif mengenai pengurangan 25 peratus kematian pramatang akibat NCDs menjelang tahun 2025.

Apa yang boleh kita lakukan di peringkat kebangsaan dalam memastikan kita menyumbang signifikan kepada mandat WHO tersebut?

Dr. Murallitharan: Terdapat dua bahagian dalam kawalan kanser. Pertama adalah rawatan; yang sudah mendapat perhatian secukupnya dari semua pihak. Kedua, adalah pencegahan. Malangnya, tiada dana yang cukup disalurkan untuk aspek pencegahan kanser. Jujurnya, pada hemat saya, dana untuk pencegahan kanser harus datang daripada kerajaan. Kami di NCSM, setahun ada lebih kurang 300 program pencegahan seperti kempen kesedaran dan saringan kanser yang tertumpu di Lembah Klang. Jika hendak dibandingkan di peringkat global, angka itu terlalu kecil.

Kami bukan bercakap mengenai dana dalam bentuk wang ringgit semata-mata, ini termasuk juga sumber-sumber lain seperti tenaga kerja. Contohnya, jururawat kerajaan yang ingin turun padang untuk kempen kesedaran kanser mohon untuk pelepasan kerja di hujung minggu tidak mendapat kebenaran daripada penyelia.

Begitu juga 3 minggu lepas, terdapat seorang doktor muda di Melaka yang menghantar pesakit beliau ke pejabat kami untuk melakukan imbasan untuk mengesan kehadiran tumor, harga di pasaran untuk perkhidmatan imbasan tersebut lebih kurang RM 2 ribu, tapi kami hanya mengenakan bayaran RM300 sahaja.

Doktor tersebut memberitahu saya yang pesakitnya itu tidak mempunyai wang bagi membayar perkhidmatan tersebut. Saya beritahu Doktor tersebut jangan bimbang kerana kami ada peruntukan untuk membiayai perkhidmatan itu untuk pesakit tersebut. Pesakit tersebut benar-benar tidak berkemampuan, sehinggakan duit tambang dan makan-minumnya di Kuala Lumpur ditanggung oleh Doktor muda itu.

Bayangkan Doktor muda tersebut sebagai kakitangan kerajaan di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) sanggup membantu pesakit di luar bidang kuasanya hanya kerana ingin memastikan pesakit mendapat rawatan sewajarnya. Tiada isu mengenai kesungguhan, integriti dan kredibiliti doktor tersebut sebagai penjawat awam, dan saya percaya KKM turut sanggup pergi jauh dalam memberikan perkhidmatan sewajarnya kepada rakyat Malaysia.

Bukannya kami mohon sampai berbilion ringgit disalurkan kepada tabung kawalan kanser, tapi lebih kepada bantuan-bantuan kecil seperti ini yang memberi lebih banyak kuasa untuk menggerakkan golongan kurang berkemampuan untuk menjalani saringan dan menerima rawatan.

Mungkin kita perlukan sebuah agensi baru di bawah KKM yang boleh menyatukan dan menjalankan kerja-kerja koordinasi pelbagai sumber dan perkhidmatan yang tidak hanya terbatas kepada kementerian kesihatan malah merentasi kementerian berkaitan seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kementerian Pendidikan dan sebagainya.

Sekali lagi ingin saya tegaskan, ini bukan isu dana semata tetapi kita tidak meletakkan dan mengurus sumber dengan baik bagi menangani penyakit tidak berjangkit (NCDs) terutamanya kanser.

Hello Doktor: Bagaimana pula kerjasama di antara sektor awam dan swasta dapat dijalin dengan lebih erat lagi supaya ia dapat memberi manfaat yang lebih kepada komuniti kanser dan masyarakat Malaysia secara amnya?

Dr. Murallitharan: Semasa Kongres Kanser Dunia baru-baru ini, UICC telah mengumumkan ‘Cabaran Kanser Bandaraya’. Saya percaya cabaran ini merupakan satu contoh yang baik bagaimana kerjasama lebih baik di antara sektor awam-swasta dapat dijalankan.

Ketika ini terdapat perbincangan bagi mencalonkan Petaling Jaya sebagai ‘bandar cabaran’ untuk inisiatif ini. Pusat Perubatan Universiti Malaya akan menjadi perintis untuk cabaran ini. Inisiatif yang membawa bersama sektor awam dan swasta ini bukanlah tidak berjalan sebaiknya sebelum ini, cuma ia berlaku tanpa sebarang hubungan yang rasmi dalam ekosistem kondusif dan petunjuk bidang keberhasilan utama (KPIs).

Sebagai contoh sebelum ini, sudah menjadi kebiasaan bagi pakar-pakar perubatan untuk mendapat rujukan daripada rangkaian mereka di hospital dan pusat perubatan lain. Cuma ia berlaku dalam keadaan yang tidak formal, maka kita perlu meletakkan kerangka kerja yang tepat supaya kerjasama ini dapat berlangsung dengan lebih rancak dan memanfaatkan masyarakat amnya.

Dan kerjasama ini bukan sahaja terbatas kepada rujukan pesakit ke rangkaian hospital, malah sehingga ke inisiatif pencegahan seperti kempen pencegahan kanser di peringkat sekolah menengah. Contohnya, dalam setahun, berapa banyak ceramah mengenai pencegahan kanser dilaksanakan dan bagaimana kerjasama di antara KKM dan Kementerian Pendidikan dapat memantau keberkesanan kempen tersebut. Pemantauan tersebut memerlukan kerangka kerja dan struktur yang formal. Kita harus memecahkan cabaran-cabaran tersebut kepada beberapa kluster seperti pencegahan, perkongsian sumber dan kepakaran, rawatan dan penjagaan kesihatan agar lebih mudah untuk kita melihat keberkesanan kempen tersebut.

Inilah cabaran yang dimaksudkan oleh ‘Cabaran Kanser Bandaraya’. Setakat ini, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Universiti Malaya dan Datuk Bandar Petaling Jaya berminat untuk menyertai cabaran ini. Akan lebih banyak informasi dapat dikongsi apabila mereka memulakan cabaran ini kelak.

Mungkin menerusi kejayaan Petaling Jaya nanti, kita mungkin boleh gunapakai pembelajaran mereka kepada bandar-bandar lain di Malaysia dalam menjadikan perjuangan kami mengawal kanser lebih berkesan.

Hello Doktor: Di peringkat global, banyak data mengenai kanser dikutip, dicerap dan dikongsikan bersama pemegang taruh di seluruh dunia. Tapi di peringkat kebangsaan, kajian mengenai sektor kesihatan terutamanya kanser agak tidak terkini kerana data yang digunakan adalah berdasarkan 2-3 tahun terkebelakang.

Boleh Dr. kongsikan jika ada sebarang data baru mengenai kanser yang masih belum dilapor dan apakah cabaran utama dalam pengumpulan data bagi kanser?

Dr. Murallitharan: Setahun terdapat lebih kurang 20 ribu pesakit kanser didaftarkan dalam Daftar Kanser Kebangsaan. Angka ini realitinya adalah lebih besar kerana masih ramai pesakit yang tidak didaftarkan. Ini tidak termasuk mereka yang tidak hadir saringan dan rawatan.

Daftar Kanser Kebangsaan ini tidak diwajibkan ke atas hospital swasta. Terpulang kepada mereka jika mahu mendaftarkan pesakit mereka dalam daftar tersebut. Di hospital kerajaan pun begitu juga, pendaftaran pesakit kanser dalam daftar tersebut adalah berbentuk sukarela. Tiada sebarang tindakan akan dikenakan jika tidak dilaporkan atau didaftarkan.

Namun isunya berbeza jika berkaitan kes demam denggi. Mana-mana hospital atau klinik yang gagal melaporkan mengenai kes demam denggi di premis mereka dalam tempoh 24 jam akan dikenakan denda RM1000. Begitu seriusnya KKM ingin mengawal denggi. Sebab itulah hampir 99 peratus kes denggi yang berlaku berjaya direkod dan dilaporkan.

Peraturan yang sama juga perlu dikuatkuasakan bagi kanser dan penyakit tidak berjangkit (NCDs). Dengan ada peraturan yang sebegini, laporan data mengenai kanser adalah lebih tepat dan ini memudahkan semua pihak terutama kami di NCSM membuat perangkaan yang tepat mengenai strategi dan pelaksanaan program yang lebih berkesan.

Ganja untuk Perubatan? dan Kemenangan bagi Majoriti Rakyat Malaysia

Hello Doktor: Terdapat laporan mengenai Malaysia akan menjadi negara pertama di rantau ASEAN untuk membenarkan penggunaan ganja bagi tujuan perubatan. Apakah maknanya ini kepada komuniti kanser dan pendapat Dr. mengenai ganja perubatan?

Dr Murallitharan: Setakat ini masih tiada bukti saintifik yang mengatakan ganja dapat merawat penyakit terutamanya kanser. Kalau ada pun, ganja digunakan bagi merawat simptom atau kesan rawatan kanser seperti mabuk, muntah dan kesakitan. Tapi adakah ia sangat efektif? Kembali kepada persoalan masih belum ada bukti saintifik dapat menyokong dakwaan tersebut.

Jika ubat-ubatan yang digunakan dalam pelbagai jenis penyakit, kita mahukan kajian saintifik mendalam dilakukan sebelum sesuatu ubat dibenarkan memasuki pasaran. Kenapa pilih kasih dengan membenarkan ganja digunakan tanpa kajian yang secukupnya?

Masih terdapat bukti yang tidak konkrit mengenai keberkesanan ganja dalam rawatan kanser. Secara ringkasnya, ganja hanya digunakan untuk merawat simptom sahaja bukan sebagai satu rawatan kanser. Jangan terkeliru.

Selain itu, walaupun dalam peringkat percubaan bagi merawat mabuk, muntah dan kesakitan, terdapat tindakbalas dan kesan sampingan ketagihan yang tinggi dalam kalangan pesakit direkodkan.

Maka soalan saya kepada semua, adakah ganja sahaja pilihan yang ada dalam merawat simptom akibat rawatan kanser? Dan jika itu satu-satunya pilihan yang ada, kita harus pastikan penggunaannya dipantau supaya kesan sampingan ketagihan dapat dikawal.

Jika dilihat dari aspek mengurus kesakitan dalam penjagaan palliatif, ubat tahan sakit bukan ganja seperti opiod turut mengalami permasalahan yang sama dan kerap disalahgunakan.

Takkanlah kita nak benarkan penggunaan ganja sewenangnya hanya kerana ia mampu merawat simptom akibat kanser namun turut sama menyumbang kepada masalah ketagihan yang lebih merosakkan masyarakat dan negara? Kita kena bijak dan teliti dalam membuat keputusan mengenai ganja untuk perubatan.  

Hello Doktor: Langkah kerajaan untuk tidak membenarkan orang ramai menghisap rokok di tempat makan awam dilihat sebagai satu kejayaan kepada rakyat Malaysia. Apakah kepentingan langkah ini kepada kawalan penyakit amnya?

Dr. Murallitharan: Ini merupakan satu langkah penting. Saya juga ingin memberikan pendapat saya mengenai masyarakat umum, jika kerajaan tidak laksanakan langkah ini, kita kritik kerajaan tidak prihatin, tapi bila kerajaan hendak laksanakannya kita diam sahaja. Sekurang-kurangnya berilah sedikit pujian kepada mereka kerana menjalankan tugas dengan baik.

Mengapa langkah ini penting? Ia kerana adalah betapa pentingnya kita ‘denormalizing’ merokok. Contohnya di Jepun, rakyat mereka sangat kekok untuk merokok di khalayak ramai dan tempat awam. Mereka sanggup menyorok di mana-mana untuk merokok. Manakala di Malaysia, perokok pula yang beriya-iya memperjuangkan hak mereka untuk merokok di tempat awam.

Memang aneh, tapi itulah kenyataannya, kerana sudah sekian lamanya masyarakat kita beranggapan ‘tidak apa’ dan normal untuk merokok di tempat awam. Di sebabkan itulah, langkah ini sangat penting dalam memastikan tabiat merokok di tempat awam ini harus dihentikan dan dianggap tidak normal. Inilah impak psikologi terhadap persepsi larangan merokok di tempat awam. Lebih banyak tempat awam disenaraikan sebagai larangan merokok seperti restoran, gerai-gerai dan kedai makan, akan lebih berjaya kempen kita dalam memperjuangkan isu-isu utama kawalan kanser seperti penggunaan tembakau dan rokok.

penjagaan paliatif

Keberkesanan bantuan terhadap golongan miskin dan kepentingan penjagaan palliatif

Hello Doktor: Kami amat terkesan apabila menonton filem dokumentari ‘Hippocratic’ yang menampilkan Bapa Palliatif India, Dr M.R. Rajagopal dalam memperjuangkan penjagaan palliatif kepada pesakit kanser di India.

Dalam filem tersebut, Dr. Rajagopal menyatakan dalam kebanyakan kes kanser, bukan penyakit yang membunuh pesakit, tetapi kemiskinan yang membunuh rakyat yang tidak mampu dan tidak berkeupayaan mendapat rawatan sewajarnya. Bagaimana Dr. melihat kesaksamaan (equality) dalam capaian rawatan kanser kepada semua pesakit, terutamanya dari aspek perubahan dasar awam mengenai kesihatan?

Dr. Murallitharan: Sebenarnya kita mempunyai masalah mengenai pemahaman kita mengenai konsep kesaksamaan. Amat sukar untuk saya katakan, namun begitu, konsep ini sangat bersifat kapitalis. Kenyataanya, mereka yang kaya dan berkeupayaan akan sentiasa mendapat kelebihan dalam konsep kesaksamaan ini.

Konsep yang sebetulnya adalah hak ekuiti sama rata (equitable equity). Maksudnya, jika kita harus membelanjakan RM1 untuk golongan mampu, kita kena berbelanja RM10 untuk golongan miskin. Ini kerana, dengan perkiraan sebegitu, golongan miskin dapat dibantu mendapat rawatan sewajarnya seperti golongan kaya. Setakat ini, kita tidak melihat konsep ini dalam dasar awam kita terutamanya dalam penjagaan kesihatan. Mengapakah ini berlaku? Kerana kita terlalu selesa dengan ‘status quo’. Masyarakat kita harus dinilai berdasarkan bagaimana berkesannya kita membantu golongan miskin.

Seingat saya 3 tahun lepas, kami mengeluarkan satu laporan mengenai NCDs — isunya adalah pematuhan terhadap perkhidmatan perubatan (compliance) — kajian ke atas pesakit mengenai rawatan yang diberi secara berkala namun pesakit tidak menunjukkan sebarang petanda positif. Mengapa ini berlaku? Kerana klinik kesihatan awam tutup pada pukul 5 petang. Dalam kebanyakan kes, mereka ini ada yang bekerja dan hanya berkesempatan membuat rawatan selepas waktu kerja. Mereka ini bukannya menerima gaji bulanan tetapi gaji harian. Jika mereka cuti untuk pergi ke klinik, ini bermakna mereka terlepas mata pencarian untuk hari itu. Keadaan lebih rumit jika pesakit bekerja sendiri seperti meniaga kecil-kecilan dan sebagainya.

Ini sesuatu yang mengejutkan kerana pesakit golongan miskin ini pergi mendapatkan rawatan daripada klinik swasta yang harga lebih mahal. Apabila ditanya mengapa pergi ke klinik swasta, jawab mereka klinik swasta buka sehingga jam 10 malam.

Kita pasti akan membahas, ianya tidak ekonomik untuk buka klinik kesihatan awam lebih dari jam 5 petang. Ini saya setuju, tapi ekuiti (hak sama rata) tidak murah, tapi adakah kita benar-benar ikhlas untuk memberi ekuiti kepada golongan miskin? Itu persoalannya.

Mungkin ada di luar sana jenis bantuan kepada golongan miskin, jika mereka terpaksa mandapat rawatan dan tidak mampu bekerja pada hari tersebut, mereka akan mendapat bantuan sekurang-kurangnya dapat menjamin pendapatan harian mereka. Dan bantuan ini haruslah dihebahkan dan dikawalselia agar rawatan perubatan untuk golongan miskin ini tidak terabai. Kita harus memudah cara dan memberi capaian bantuan-bantuan sewajarnya kepada golongan miskin bukan sekadar memberi rawatan perubatan semata-mata.

Hello Doktor: Terdapat perspektif mengenai penjagaan palliatif harus diberi perhatian yang sama seperti kawalan dan rawatan penyakit. Apakah kepentingan penjagaan palliatif dalam sektor kesihatan dan apakah manfaatnya kepada pesakit, keluarga dan rangkaian sokongan pesakit serta pengamal perubatan?

Dr. Murallitharan: Oleh kerana kecanggihan teknologi perubatan, ramai pesakit penyakit kronik hidup lebih lama walaupun berdasarkan diagnosis jangka hayat mereka lebih pendek. Di sini, penjagaan palliatif memainkan peranan penting demi meningkatkan kualiti kehidupan pesakit, waris dan keluarga mereka. Dan tanpa adanya penjagaan palliatif, ia akan menjadi satu beban kepada KKM, dalam sesebuah wad di hospital akan ada 2-3 hingga pesakit di hujung nyawa tanpa seorang pun waris yang menemani.

Mengapa ini berlaku? Kos penjagaan pesakit adalah sangat mahal, kebanyakkan daripada waris tidak mampu bertahan. Dalam pendekatan penjagaan palliatif, cabaran utama adalah untuk mendidik waris dan ahli keluarga tentang kepentingan penjagaan kepada pesakit bukannya untuk merawat penyakit yang dialami tetapi lebih kepada penambah baikan kualiti hidup pesakit, pengurusan kesakitan, menyediakan persekitaran yang lebih empati agar mereka dapat menenangkan emosi dan sekurang-kurangnya mereka dapat menerima kenyataan hidup dan pergi dengan rasa bermaruah.

Jangan Putus Harapan, kami sentiasa di sini

Hello Doktor: Buah fikiran dan nasihat Dr. kepada rakyat Malaysia terutamanya kepada mereka yang menerima kesan langsung akibat kanser (pesakit dan keluarga)?

Dr. Murallitharan: Terdapat banyak cabaran dalam kawalan kanser, tapi mesej penting yang ingin kami kongsikan kepada rakyat Malaysia adalah jangan putus harapan. Ini kerana, di luar sana terdapat ramai insan seperti kami di NCSM dengan sumbangan kecil yang tidak seberapa, walaupun tiada balasan, kami akan terus membantu rakyat Malaysia menangani kanser sebaik-baiknya.

Kami sentiasa di sini dan akan sentiasa bekerjasama dengan pihak yang mempunyai misi dan visi yang sama.  

——

Itulah petikan temubual kami bersama Dr. Murallitharan Munisamy, Pengarah Perubatan bagi Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM). Kongres Kanser Dunia yang sudah dua minggu berlalu tidak dijadikan alasan oleh NCSM untuk berehat dalam perjuangan mereka menangani kanser kerana selepas ini banyak lagi aktiviti-aktiviti dan pengisian bakal direncanakan hampir setiap bulan. Ini termasuk bulan ini: Oktober – Bulan Kesedaran Kanser Payudara dan November – ‘Movember’ dan Bulan Kesedaran Kanser Prostat.

Dr. M.R Rajagopal, Bapa Palliatif India dan calon Anugerah Nobel Keamanan Dunia membuat perihal, pesakit kanser akan menjalani satu perjalanan yang memeritkan dan ‘sunyi’. Namun kami percaya ‘kesunyian’ itu cuma sementara kerana melihatkan kepada strategi yang sedang dirancang dan pendekatan holistik Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM) bersama pemegang-pemegang taruh yang lain, dapat memberi harapan dan sinar kepada pesakit dan komuniti kanser di Malaysia.

Sekaligus memberi inspirasi kepada kami di Hello Doktor untuk terus komited memberi sokongan kepada semua pihak terutamanya komuniti kesihatan agar Malaysia menjadi sebuah negara yang sihat, bahagia dan produktif.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga:

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut