Peria Katak: Adakah Bermanfaat Untuk Pesakit Diabetes?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Anda pernah mengetahui berkenaan peria katak? Ya, peria katak berbeza sedikit berbanding daripada peria yang biasa kita makan. Peria katak mempunyai saiz yang lebih kecil sekurang-kurangnya sekali ganda lebih kecil berbanding peria biasa. Rasanya pula lebih pahit berbanding peria yang biasa didapati di pasar-pasar. Peria ini sering dibuat sebagai ubat berbanding peria biasa yang sering digunakan dalam masakan lauk pauk. Peria katak juga dikenali sebagai bitter gourd, balsam pear, balsam apple, wild cucumber dan bitter cucumber dalam bahasa Inggeris atau karela jika di India. Ia merupakan sayuran buah yang unik yang boleh digunakan sebagai makanan dan juga sebagai ubat. Buahnya adalah bahagian yang boleh dimakan daripada tumbuhan yang bernama Momordica Charantia, yang merupakan sejenis pokok memanjat daripada keluarga Cucurbitaceae. Buahnya dianggap sebagai buah yang paling pahit daripada kalangan semua jenis buah-buahan dan sayur-sayuran. Pohonnya tumbuh subur di kawasan tropika dan subtropika, termasuklah:

  • Amerika Selatan
  • Asia
  • Sebahagian daripada Afrika
  • Caribbean

Peria katak tidak seperti buah daripada pohon jenis memanjat yang lain. Ia tumbuh sebagai buah yang memiliki warna hijau, berbentuk bujur dengan kulit luarannya yang agak menggerutu. Saiz ukurannya, tekstur dan tahap kepahitan rasanya adalah berbeza-beza di antara kawasan yang berlainan di mana ia tumbuh. Buah ini sememangnya kaya dengan kandungan vitamin dan mineral penting.

Buah, batang, daun dan akar buah peria ini telah digunakan dalam amalan perubatan tradisional untuk membantu merawat penyakit seperti hiperlipidemia, gangguan pencernaan, jangkitan mikrob dan masalah haid. Buah peria ini juga telah menunjukkan sifat-sifat antivirus yang baik yang boleh merangsang sistem imun tubuh. Ia turut berkemampuan mengaktifkan sel pembunuh semula jadi tubuh untuk membantu melawan virus yang memasuki tubuh. 

Kandungan nutrien peria katak

peria katak

Buah peria ini mengandungi kandungan nutrien penting yang tinggi. Satu cawan iaitu bersamaan 94 gram peria pahit mentah akan memberikan anda:

  • Kalori: 20
  • Karbohidrat: 4 gram
  • Serat: 2 gram
  • Vitamin C: 93% daripada RDI
  • Vitamin A: 44% daripada RDI
  • Folat: 17% daripada RDI
  • Kalium: 8% daripada RDI
  • Zink: 5% daripada RDI
  • Zat besi: 4% daripada RDI

Buah ini juga amat kaya dengan vitamin C yang merupakan mikronutrien penting yang terlibat dalam pencegahan penyakit, pembentukan tulang, dan penyembuhan luka pada tubuh. Ia juga tinggi dengan vitamin A, iaitu vitamin larut lemak yang menggalakkan kesihatan kulit dan penglihatan yang baik.

Selain itu, ia turut mengandungi folat, nutrien yang penting untuk pertumbuhan dan perkembangan, serta sejumlah kalium, zink, dan zat besi. Peria ini juga adalah sumber yang baik bagi catechin, asid gallic, epicatechin, dan asid klorogenik. Kesemuanya merupakan sebatian antioksidan yang kuat yang dapat membantu melindungi sel-sel anda daripada kerosakan. Ia juga rendah kalori tetapi tinggi kandungan serat yang memenuhi sekitar 8% daripada keperluan serat harian anda melalui satu cawan hidangan buah ini.

Bagaimana ia berfungsi terhadap diabetes?

Selain ia berfungsi sebagai antara bahan makanan, peria ini juga telah lama digunakan sebagai ubat herba untuk pelbagai jenis penyakit, termasuklah diabetes jenis 2. Buahnya mengandungi sekurang-kurangnya tiga zat aktif dengan sifat-sifat anti-diabetes, termasuklah charantin, yang telah disahkan mempunyai kesan dalam menurunkan glukosa darah, selain vicine dan sebatian insulin yang dikenali sebagai polipeptida-p.

  • Charantin: Ia adalah sejenis bahan berpotensi yang mengandungi sifat-sifat antidiabetes. Charantin boleh digunakan untuk merawat diabetes dan ia merupakan campuran dua sebatian yang dikenali sebagai sitosteryl glucoside dan stigmasteryl glucoside
  • Vicine: Ia adalah sebatian glycol alkaloid yang diasingkan daripada biji-biji buah peria ini.
  • Polipeptida-p: Ia juga dikenali dengan nama p-insulin, yang merupakan protein hipoglisemik yang menyerupai insulin. Ia telah ditunjukkan dalam menurunkan tahap gula darah dalam tubuh manusia selain gerbil dan langur apabila disuntik dibawah permukaan kulit. P-insulin bertindak dengan cara mengajuk tindakan sepertimana yang dilakukan oleh insulin tubuh manusia.

Zat-zat ini berfungsi dan bertindak sama ada secara individu atau bersama untuk membantu mengurangkan kadar gula darah. Peria katak juga diketahui mengandungi kandungan lektin yang mengurangkan konsentrasi glukosa darah dengan bertindak pada tisu periferal dan menekan selera makan. Tindakannya adalah sama dengan kesan insulin di bahagian otak. Lektin dianggap sebagai faktor utama di sebalik kesan hipoglisemik yang berkembang selepas seseorang individu memakan peria katak. 

Peria katak menurunkan gula darah

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa kajian telah mengesahkan peranannya dalam mengawal gula darah. Kajian yang telah dijalankan selama 3 bulan terhadap 24 individu dewasa yang mempunyai diabetes menunjukkan bahawa dengan mengambil 2,000 mg peria ini setiap hari boleh menurunkan gula darah dan hemoglobin A1c. Selain itu, suplemen peria ini telah mengurangkan fructosamine secara ketara. Fructosamine ialah penanda lain bagi kawalan gula darah jangka panjang.

Peria katak ini dianggap memperbaiki cara gula digunakan dalam tisu badan manusia dan mempromosikan rembesan insulin, iaitu hormon yang bertanggungjawab untuk mengawal paras gula darah. Walau bagaimanapun, penyelidikan yang dijalankan terhadap manusia adalah masih terhad. Lebih banyak kajian yang lebih besar dan berkualiti tinggi diperlukan untuk memahami bagaimana peria ini boleh memberi kesan kepada kadar gula darah dalam populasi umum.

Peria katak mungkin boleh mengurangkan berat badan

peria katak

Anda boleh mencuba menukarkan bahan makanan yang tinggi kalori dengan peria katak. Peria ini dapat membantu meningkatkan pengambilan serat dan mengurangkan kalori untuk menggalakkan penurunan berat badan.

Sesetengah kajian juga menunjukkan bahawa peria ini boleh memberi kesan yang baik terhadap pembakaran lemak dan penurunan berat badan. Satu kajian mendapati bahawa dengan memakan kapsul yang mengandungi 4.8 gram ekstrak peria katak setiap hari boleh mengurangkan lemak perut secara signifikan. Secara puratanya, peserta kajian telah kehilangan sebanyak 0.5 inci (1.3 cm) dari lilitan pinggang mereka selepas tujuh minggu tempoh masa kajian.

Begitu juga dengan kajian terhadap tikus yang mempunyai diet tinggi lemak telah menunjukkan bahawa ekstrak peria ini membantu menurunkan berat badan berbanding dengan plasebo.

Walau bagaimanapun, kajian ini telah dilaksanakan menggunakan suplemen peria katak yang tinggi. Hal ini masih tidak jelas sama ada dengan memakan peria katak sebagai sebahagian daripada diet harian anda akan mempunyai kesan yang sama terhadap kesihatan anda.

Pembuktian saintifik bagi keberkesanan peria katak

Terdapat beberapa kajian klinikal yang telah dilakukan untuk menilai keberkesanan peria katak dalam merawat diabetes. Pada bulan Januari 2011, hasil percubaan klinikal selama empat minggu telah diterbitkan dalam Journal of Ethnopharmacology. Artikel tersebut yang bertajuk “Hypoglycemic Effect of Bitter Melon Compared With Metformin in Newly Diagnosed Type 2 Diabetes Patients,” telah menunjukkan bahawa dengan dos harian sebanyak 2,000 mg peria katak telah mengurangkan kadar glukosa darah dalam kalangan pesakit yang mempunyai diabetes jenis 2 secara signifikan, walaupun kesan hipoglisemik kurang daripada dos metformin 1,000 mg / hari.

Kajian terdahulu sebelum ini juga mencadangkan terdapatnya hubungan antara pengambilan peria ini dan kawalan glisemik yang lebih baik. Selain itu, terdapat laporan yang diterbitkan dalam jurnal Chemistry and Biology yang diterbitkan pada bulan Mac 2008 mendapati bahawa peria ini telah meningkatkan pengambilan selular glukosa dan toleransi glukosa yang lebih baik.

Kajian lain yang diterbitkan pada tahun 2015 telah menyimpulkan bahawa peria ini mengandungi sebatian yang boleh membantu mengawal glukosa darah (gula) dan tahap lipid darah (lemak) yang lebih rendah. Oleh itu, ia boleh memberi manfaat kepada individu yang mempunyai masalah seperti:

  • Diabetes
  • Obesiti
  • Masalah kardiovaskular

Keadaan seperti ini sering berlaku bersama-sama, dan kesemuanya mencirikan keadaan yang disebut sindrom metabolik. Satu kajian yang diterbitkan pada tahun 2010 menyimpulkan bahawa ekstrak peria katak boleh menghalang pertumbuhan sel-sel kanser payudara.

Walau bagaimanapun, penyelidikan yang diterbitkan dalam Journal of Clinical Epidemiology pada tahun 2007 gagal memperlihatkan sebarang manfaat peria ini terhadap diabetes jenis 2 yang tidak terkawal, sementara kajian klinikal lain yang diterbitkan dua tahun kemudian dalam British Journal of Nutrition menyatakan bahawa percubaan klinikal yang lebih banyak dan dirancang dengan lebih baik diperlukan untuk mengesahkan peranan dan fungsi buah ini dalam rawatan diabetes.

Apakah manfaat kesihatan lain yang boleh diperoleh daripada peria katak?

peria katak

Secara tradisionalnya, buah peria ini telah digunakan di pelbagai tempat sebagai ubatan tradisional bagi merawat beberapa masalah kesihatan seperti:

  • Kolik
  • Demam
  • Luka terbakar
  • Batuk yang kronik
  • Haid yang menyakitkan
  • Masalah berkaitan kulit

Selain itu, ia juga digunakan untuk menyembuhkan luka, membantu melahirkan anak dan di sesetengah bahagian Afrika dan Asia, ia digunakan untuk mencegah atau merawat penyakit malaria dan virus seperti campak dan cacar air.

Jus yang dihasilkan daripada buah peria dipanggil sebagai jus Karela. Jus ini dihasilkan dengan cara mengisar buah peria yang masih mentah bersama-sama dengan air. Sesetengah individu menambahkan sedikit garam atau perahan lemon untuk menjadikan rasanya lebih enak. Jus karela juga diminum di seluruh dunia sebagai minuman untuk kecantikan kulit. 

Ramai individu yang percaya ia dapat membantu meningkatkan kecantikan kulit anda. Jus Karela adalah sumber yang kaya dengan antioksidan, termasuklah vitamin C dan provitamin A. Kedua-dua vitamin tersebut penting untuk kulit yang sihat selain berfungsi dalam penyembuhan luka. Dalam satu kajian, tikus yang melalui terapi rawatan dengan menggunakan ekstrak buah peria ini mengalami penyembuhan luka yang lebih cepat. Kesan ini juga dapat dilihat pada tikus yang mempunyai diabetes.

Dalam amalan perubatan Timur, jus karela telah digunakan untuk membantu individu yang mempunyai gejala psoriasis, ekzema, dan ulser. Walau bagaimanapun, penggunaan ini perlulah diteroka dengan cara yang lebih berilmiah untuk membuktikan keberkesanannya. 

Selain itu, sekumpulan penyelidik dari Saint Louis University, Amerika Syarikat menyatakan bahawa mereka telah menunjukkan bahawa ekstrak dari peria katak boleh membunuh sel-sel kanser payudara dan menghalangnya daripada berkembang dan menyebar.

Penyelidikan turut menunjukkan bahawa peria ini mengandungi sebatian tertentu dengan ciri-ciri yang melawan sel kanser. Satu kajian yang dijalankan melalui tabung uji telah menunjukkan bahawa ekstrak peria ini adalah berkesan untuk membunuh sel kanser perut, kolon, paru-paru, dan nasopharynx – iaitu kawasan yang terletak di belakang hidung di bahagian belakang kerongkong.

Kajian lain yang turut dijalankan menggunakan tabung uji turut mempunyai hasil yang sama. Hasil kajian melaporkan bahawa ekstrak buah peria ini mampu menghalang pertumbuhan dan penyebaran sel-sel kanser payudara selain menggalakkan kematian sel kanser.

Walau bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa kajian-kajian ini dilakukan dengan menggunakan sejumlah jus pekat ekstrak buah peria terhadap sel-sel individu di dalam makmal. Kajian lanjut turut diperlukan untuk menentukan bagaimana buah peria ini boleh menjejaskan pertumbuhan dan perkembangan kanser dalam tubuh manusia apabila digunakan dalam jumlah yang normal melalui hidangan makanan.

Kesan sampingan peria katak

Sekiranya anda merancang untuk menambahkan peria katak kedalam hidangan anda, pastikan anda menghadkan diri anda untuk tidak memakannya lebih daripada 57 gram peria ini atau tidak lebih daripada dua biji dalam sehari, kerana penggunaan buah ini secara berlebihan boleh menyebabkan sakit perut ringan atau cirit-birit.

Sekiranya seseorang memakan peria ini dengan jumlah yang terlalu banyak, sama ada sebagai makanan atau suplemen, mereka mungkin mengalami keadaan seperti berikut:

  • Masalah gastrousus, termasuklah cirit-birit
  • Muntah dan cirit-birit dalam kalangan kanak-kanak

Wanita hamil tidak boleh memakan peria katak dalam apa jua bentuk kerana ia boleh meningkatkan risiko pendarahan, kontraksi, dan keguguran.

Sekiranya anda mempertimbangkan untuk menggunakan peria ini bagi kawalan glisemik, anda harus berjumpa dengan doktor atau profesional penjagaan kesihatan anda terlebih dahulu untuk memastikan ia selamat untuk digunakan bersama ubat diabetes anda yang telah ditetapkan. Ini kerana terdapat risiko jika anda mengambil peria ini bersama-sama dengan ubat diabetes atau insulin yang boleh menyebabkan hipoglisemia (gula darah yang sangat rendah).

Cadangan hidangan dengan menggunakan peria katak

peria katak

Anda boleh mempelbagaikan penggunaan peria ini dalam pelbagai jenis masakan dan kaedah masakan. Antara cadangan hidangan yang boleh anda cuba adalah seperti berikut:

  • Menambahnya kepada sup dan stu
  • Memasukkannya ke dalam hidangan bergoreng seperti sayur campur
  • Menggunakannya dalam pelbagai masakan kari
  • Menghidangkannya dengan cara deep-fried
  • Menikmatinya dengan cara menyumbatkan nasi sebagai inti
  • Menikmatinya dalam hidangan omelette
  • Merebusnya dan nikmatinya sebagai ulam

Kesemua bahagian buah ini boleh dimakan, tetapi rasanya adalah terlalu pahit bagi sesetengah individu. Terdapat cara untuk mengurangkan rasa pahit buah ini yang anda boleh gunakan:

  • Mengikis permukaan kasar buah tersebut
  • Keluarkan biji di bahagian dalam buah
  • Rendam dalam yogurt selama 1 jam sebelum dimasak
  • Masaknya bersama dengan sayur-sayuran lain seperti kentang atau bawang untuk mengurangkan rasa pahit buah peria tersebut
  • Sesetengah resipi mencadangkan untuk menambah gula atau garam semasa memasak, tetapi bagi individu yang menghidap diabetes, anda perlu berhati-hati dalam penambahan sebarang kandungan gula atau garam. 

Kini anda mengetahui manfaat yang mungkin boleh anda dapati daripada pengambilan buah peria ini. Ia mungkin boleh menurunkan gula darah, mengurangkan berat badan dan juga membantu penghidap diabetes jenis 2. Walau bagaimanapun, kajian yang dijalankan adalah masih terhad dan tidak banyak dilakukan berkenaan keberkesanannya terhadap manusia. Masih banyak kajian yang lebih besar dan lebih baik yang perlu dilakukan bagi mengesahkan keberkesanannya. Untuk penghidap diabetes, ambilnya dengan jumlah yang tidak berlebihan bagi mengelakkan keadaan dimana tahap gula darah anda menurun dengan drastik; iaitu hipoglisemia.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga:

Rujukan
Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.