Penyakit Crohn: Perkembangan Terkini Klinikal Dan Diagnosis

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Penyakit Crohn adalah sejenis penyakit kronik keradangan usus yang berulang dan ianya adalah salah satu daripada penyakit keradangan usus selain daripada penyakit Ulcerative Colitis. Penyakit ini dicirikan dengan kewujudan keradangan transmural yang membabitkan pembentukan granuloma dan ianya boleh berlaku di mana-mana sahaja sepanjang sistem gastrousus (dari mulut hingga ke anus) namun bahagian yang paling kerap terjejas adalah bahagian ileum, usus besar atau kedua-duanya. Walaupun punca yang tepat tidak diketahui, penyakit ini adalah hasil daripada interaksi rumit antara kecenderungan genetik, faktor persekitaran dan juga disregulasi sistem imun terhadap bakteria baik dalam usus.

Dalam tempoh lebih 50 tahun, prevalens penyakit ini telah berterusan meningkat dengan insidens tertinggi dicatat di Eropah utara, UK dan juga Amerika Utara dan kadar kematian dalam kalangan pesakit penyakit Crohn kekal tinggi berbanding dalam populasi biasa.

Ciri-ciri klinikal penyakit Crohn 

Diagnosis penyakit Crohn adalah suatu diagnosis yang klinikal, dibentuk selepas penelitian aspek manifestasi klinikal (simptom dan tanda) dan juga dapatan daripada ujian histologi dan imbasan skop. Cirit-birit kronik yang melebihi tempoh 4 minggu adalah simptom yang paling kerap berlaku dalam penyakit Crohn. Simptom lain yang turut kerap berlaku adalah:

  • Sakit perut (70%)
  • Susut berat badan (60%)
  • Darah, mukus atau kedua-duanya dalam najis (40–50%)

Gejala yang tidak bersabit dengan usus (manifestasi luar usus) didapati menjejaskan sekitar satu per tiga daripada bilangan pesakit, dengan gejala yang paling lazim ialah artritis periferi primer (33%). Gejala luar usus lain yang lazim adalah:

  • Aphthous stomatitis
  • Keradangan Uvea
  • Erythema nodosum
  • Ankylosing spondylitis

Disebabkan kerosakan keradangan transmural usus besar oleh penyakit Crohn, pembentukan laluan abnormal antara dua organ atau kaviti (fistula) boleh berlaku dan ianya adalah komplikasi paling lazim dalam penyakit ini, dengan sekitar 35% pesakit mengalaminya. Kesemua ciri-ciri klinikal dan komplikasi ini meberi impak yang serius dan signifikan ke atas kualiti kehidupan pesakit. Impak ke atas gaya hidup pesakit ini boleh dissebabkan oleh hakikat pengambilan ubat yang berterusan, kawalan diet dan juga pengelakkan sesetengah makanan selain kesan ke atas aktiviti harian di mana pesakit melaporkan ketidakhadiran ke kerja atau sekolah akibat penat dan sakit.

Faktor-faktor risiko penyakit Crohn 

Umur dan jantina 

Penyakit Crohn mempunyai puncak umur prevalens sekitat 30 hingga 39 tahun. Dalam soal pengaruh jantina, terdapat perbezaan taburan geografi – Dalam populasi Kanada dan New Zealand, wanita adalah 10 hingga 30% lebih berkemungkinan untuk mendapat penyakit ini manakala di Jepun dan Korea, lelaki dilaporkan mempunyai kemungkinan tiga kali ganda lebih tinggi berbanding wanita untuk mendapat penyakit ini.

Genetik

2 kajian kohort co-twin oleh negara Britain dan Jerman mendapati kembar monozigotik seiras mengalami bahagian atau lokasi berpenyakit yang sama, tingkah laku penyakit yang sama dan usia diagnosis yang lebih kurang. Agregasi keluarga turut menunjukkan bahawa kebanyakkan kanak-kanak, mengalami penyakit ini pada usia yang lebih muda berbanding ibu bapa mereka.

Ethnik

Dalam populasi yahudi, prevalens penyakit Crohn yang tinggi berjaya dikenalpasti. Namun yang demikian, prevalens ini mempunyai variasi berdasarkan kedudukan geografi, menunjuk kepada peranan faktor persekitaran yang mempengaruhi taburan insidens kes.

Penyakit keradangan yang lain 

Penyakit keradangan yang lain turut mempunyai implikasi ke atas keterjadian penyakit Crohn seperti penyakit ankylosing spondylitis, perikarditis, lelah, psoriasis, atopic dermatitis dan primary sclerosing cholangitis.

Persekitaran  

Peningkatan insiden penyakit Crohn seluruh dunia boleh diakibatkan oleh faktor-faktor risiko persekitaran, dengan impaknya yang dilihat lebih jelas pada tahap kanak-kanak. Merokok telah dikenalpasti mempunyai pengaruh ke atas fenotaip penyakit Crohn dan meta-analisis menunjukkan bahawa merokok meningkatkan risiko untuk mendapat penyakit Crohn lebih dari 2 kali ganda.

Sejarah penyakit beguk bersimptom dan diet tinggi lemak, asid lemak poli-tidak tepu, asid lemak omega 6 dan daging mempunyai kaitan dengan peningkatan risiko untuk penyakit ini. Manakala diet yang tinggi dengan serat dan buah dikenalpasti sebagai faktor pelindung daripada mendapat penyakit Crohn.

Diagnosis & ujian untuk penyakit Crohn

Buat masa kini, belum ada lagi ujian diagnostik sulung yang mampu menghasilkan diagnosis penyakit Crohn dengan yakinnya. Sebaliknya, penelitian aspek manifestasi klinikal (simptom dan tanda) dan juga dapatan daripada ujian histologi dan imbasan skop diperlukan untuk membentuk diagnosis. Dengan itu, penvisualan penuh melalui skop usus kecil dan usus besar atau ileokolonoskopi, disertai biopsi adalah ujian diagnostik yang paling meluas digunakan di seluruh dunia. Pengimejan lain yang turut digunakan termasuk Ultrasound, tomografi berkomputer (CT) dan juga pengimejan resonan magnetik (MRI).

Teknik pengimejan lain yang kian mendapat perhatian adalah endoskopi kapsul. Kaedah ini melibatkan pesakit menelan sebiji kapsul yang mengandungi kamera tanpa wayar yang boleh dibuang, melalui keseluruhan sistem gastrousus dari perut hingga ke dubur dan memberikan rakaman terus lapisan mukosal usus dalam proses tersebut. Apa yang menarik tentang kaedah ini ialah ianya mudah dan tidak invasif. Tambahan lagi, perbandingan meta-analisis antara endoskopi kapusl dan kaedah lain mendapati peningkatan kadar diagnosis lebih 15% berbanding kolonoskopi dan ileoskopi.

Gabungan antara ileokolonoskopi dan biopsi yang disebut tadi digunakan berpasangan kerana dapatan normal dalam ileokolonoskopi sahaja tidak mencukupi untuk menolak kemungkinan diagnosis penyakit Crohn kerana sekitar 27% pesakit mempunyai penyakit di bahagian hujung ileum yang sukar untuk dilihat atau didiagnos. Tambahan lagi, kewujudan sifat heterogenus penyakit dan manifestasi yang tidak tipikal penyakit-penyakit IBD memerlukan kaedah diagnostik yang baru sebagai tambahan kepada kaedah sedia ada.

Hasil desakan ini, para pengkaji kini melihat kepada penggunaan penanda-penanda serologi, dengan 2 penanda yang dikaji secara mendalam iaitu atypical perinuclear anti-neutrophil cytoplasmic antibodies (pANCA) dan anti Saccharomyces cerevisiae antibodies (ASCA). pANCA adalah antibodi yang dihasilkan bagi menyerang protein dalam lamina nukleus sel neutrofil manakalan ASCA adalah antibodi yang dihasilkan bagi menyerang epitop mannosa daripada yis jenis Saccharomyces cerevisiae. Penghasilan antibodi-antibodi ini adalah akibat daripada tindak balas abnormal sistem imun mukosa terhadap bakteria baik usus, dalam pesakit-pesakit yang mempunyai kecenderungan genetik. Salah satu kelebihan menggunakan penanda serologi adalah ianya dapat membantu membezakan penyakit Crohn dengan Ulcerative Colitis, di mana pembentukan diagnosis boleh menjadi tidak jelas. Selain itu, ia juga dapat membuka peluang kepada rawatan awal kerana keupayaannya untuk meramal kejadian penyakit Crohn dalam individu.

Hello Health Group tidak memberi nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

enEnglish

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut