Penjagaan Ibu Bapa di Usia Tua

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Bagi kakitangan kesihatan yang bertugas di hospital sewaktu rata-rata masyarakat sedang bercuti, musim perayaan bukan sahaja menyaksikan kemasukan pesakit kemalangan yang lebih tinggi, bahkan kehadiran orang tua yang diabaikan. Fenomena anak meninggalkan orang tua di hospital atas alasan kesihatan di musim perayaan bukanlah sesuatu yang asing di Malaysia. Penjagaan warga emas yang memerlukan komitmen masa dan kesabaran membuatkan sesetengah penjaga mengambil jalan mudah dengan mengabaikan mereka.

Peningkatan populasi warga emas adalah keadaan global yang berlaku di seluruh dunia termasuklah Malaysia. Dalam tempoh 15 tahun akan datang, penduduk Malaysia yang berumur 60 tahun dan ke atas dijangkakan akan mencecah 15 peratus daripada
jumlah keseluruhan penduduk. Pertambahan jangka hayat warga emas adalah kesan langsung daripada kemajuan perubatan, kemudahan bantuan perubatan dan kesedaran penjagaan pemakanan dan kesihatan.

Namun begitu laporan kes pengabaian warga emas turut meningkat, malah semakin ramai warga emas yang dimasukkan ke rumah-rumah kebajikan atau rumah perlindungan NGO kerana kebanyakan ahli keluarga tidak mahu bertanggungjawab atau menjaga kedua ibu bapa mereka yang tua dan uzur.

Bagaimana menjaga ibu bapa di usia tua

Penjagaan warga emas memerlukan kesabaran dan sikap bertimbang rasa. Meskipun mencabar untuk menjaga orang tua anda yang jauh lebih berusia dan sudah bertahun hidup berdikari sendiri, panduan di bawah ini membantu anda memudahkan proses ini:

1. Terima perubahan peranan

Sebagaimana ibu bapa anda menerima peranan baru mereka sewaktu anda dilahirkan, anda juga harus belajar menerima kenyataan bahawa peranan anda bersama orang tua anda telah berubah. Kini anda adalah penjaga dan perlu menggalas tanggungjawab tersebut. Mula secara perlahan-lahan untuk memahami proses ini. Anda mungkin bersedih menyedari ketidakmampuan ibu bapa anda membuat keputusan. Bantu mereka sebaiknya sebagaimana mereka membantu anda menjalani fasa kedewasaan hidup anda.

3. Jangan mengharapkan balasan emosi

Sewaktu di penghujung hayat mereka, ibu bapa anda mungkin mula lebih terbuka secara emosi, dan menzahirkan rasa kasih dan sayang yang mungkin tidak mereka tunjukkan sebelum ini. Tapi, mereka juga boleh jadi tidak berbuat sedemikian, bahkan lebih sukar difahami secara emosi. Jadi, jangan mengharapkan ibu bapa anda memberikan balasan emosi atas penjagaan yang anda lakukan. Lebih baik untuk tidak mempunyai jangkaan agar tidak kecewa, tetapi hargailah apabila mereka menzahirkan kasih sayang.

4. Bersabar dengan amarah mereka

Perubahan peranan seorang anak apabila mula menjaga orang tua bukan sahaja sukar bagi anda, bahkan bagi mereka. Mereka telah kehilangan autoriti terhadap anda, dan mungkin juga kehilangan keupayaan menguruskan diri sendiri. Bayangkan semalam merekalah ketua keluarga yang membuat keputusan untuk anak-anak tetapi hari ini peranan mereka telah berkurang menjadi penerima, bukan lagi pemberi. Jadi, anda patut lebih memahami jika rasa geram mereka dizahirkan dengan amarah terhadap diri anda.

5. Berikan mereka autonomi

Dalam situasi yang sesuai, berikan autonomi atau hak kebebasan memilih bagi orang tua anda. Berikan mereka pilihan, bukan arahan. Ini penting untuk memberikan mereka perasaan seperti mereka masih berhak menentukan hidup mereka, bukan anda. Bantu mereka membuat keputusan berkaitan keadaaan dan penjagaan mereka.

6. Minta nasihat mereka

Cara terbaik untuk menunjukkan kasih sayang dan rasa hormat anda, serta menunjukkan mereka masih bernilai dalam hidup anda adalah dengan bertanyakan nasihat kepada mereka tentang hal yang anda hadapi dalam hidup anda. Anda mungkin tidak mengikuti nasihat yang mereka anjurkan, tetapi pertanyaan anda sudah cukup membuatkan mereka berasa lebih dihargai.

7. Kenalpasti kemerosotan kesihatan mereka

Dalam perbualan seharian anda dengan orang tua anda, cuba untuk bezakan antara masalah emosi dan kognitif mereka. Masalah emosi mereka yang kadangkala tidak menentu barangkali sudah anda ketahui. Tetapi perhatikan masalah kognitif seperti kesukaran  mengingati perkara, lupa arah pulang ke rumah, masalah kemurungan, resah-gelisah dan sebagainya. Masalah fizikal juga perlu anda perhatikan dan maklumkan kepada doktor.

9. Dapatkan bantuan orang lain

Anda mungkin mendapati ibu bapa anda lebih selesa berhubung dengan pasangan anda berbanding dengan anda. Jangan mudah terasa, dan biarkannya. Ini mungkin berlaku kerana ibu bapa anda tidak terasa seperti mengalami perubahan peranan dengan pasangan anda. Manfaatkan hubungan baik mereka untuk membantu anda dalam penjagaan mereka. Selain itu, bincang dengan baik bersama adik-beradik anda yang lain untuk membahagikan tugas.

8. Hargai mereka yang membantu anda

Semasa fasa ini, tiada teman yang lebih baik melainkan mereka yang membantu anda menjaga ibu bapa anda. Sama ada doktor, jiran, jururawat, ahli terapi atau ahli keluarga anda. Tunjukkan rasa pengharagaan dengan bersikap baik atau pemberian tanda terima kasih. Ini membantu memelihara hubungan baik dan menggalakkan mereka untuk terus mengambil berat terhadap keadaan ibu bapa anda.

Apa jua tindakan yang anda lakukan dalam penjagaan orang tua anda, ambil masa untuk membuat keputusan yang terbaik. Dan terimalah kenyataan bahawa mereka mungkin marah dan tidak dapat memaafkan anda atas keputusan yang anda lakukan untuk mereka. Ini termasuklah perkara seperti memindahkan mereka daripada rumah mereka (untuk tinggal bersama anda), menghalang mereka memandu lagi atau menyelamatkan mereka daripada ditipu secara kewangan.

Menerangkan keputusan anda secara logik mungkin tetap tidak meredakan amarah atau rajuk mereka. Sebaliknya, cubalah untuk memahami keadaan mereka dan tidak terasa hati dengan pelakuan mereka. Sebagaimana mereka dahulu bersabar apabila anda marah dengan keputusan yang mereka lakukan untuk kebaikan anda. Kerana akhirnya, dunia ini adalah putaran hidup dan anda hanya dapat membantu mereka dengan berkhidmat sebagaimana mereka telah berjasa kepada anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut