backup og meta

Jaga-jaga Si Rabun, Masalah Mata Boleh Buat Anda Berisiko Jadi Nyanyuk Di Usia Tua Nanti!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 31/03/2021

    Jaga-jaga Si Rabun, Masalah Mata Boleh Buat Anda Berisiko Jadi Nyanyuk Di Usia Tua Nanti!

    Gangguan penglihatan bukan hanya mengganggu pandangan anda, tetapi masalah penglihatan juga sebenarnya boleh menjejaskan fungsi lain pada tubuh badan anda. 

    Kajian terbaharu menunjukkan bahawa gangguan mata boleh meningkatkan risiko untuk seseorang itu mendapat demensia.

    Malah, jika anda mempunyai lebih daripada satu gangguan deria, risiko anda untuk mengembangkan demensia akan menjadi lebih tinggi. Bagaimana ini berlaku?

    Apakah yang dimaksudkan dengan demensia?

    masalah penglihatan

    Bagi anda yang mungkin masih tidak begitu memahami apakah yang dimaksudkan dengan demensia, ini adalah penerangan ringakas mengenainya.

    Demensia atau nyanyuk adalah satu keadaan di mana berlakunya kehilangan memori dan juga kemampuan manusia dalam kemahiran bahasa, menyelesaikan masalah dan berfikir.

    Ia boleh menjejaskan kehidupan seseorang individu tersebut disebabkan oleh ketidakmampuannya untuk melakukan banyak perkara dan menyelesaikan tugasan harian.

    Ia bukan sahaja menjejaskan tugasan harian, malah turut memberi kesan terhadap tingkah laku, perasaan dan juga perhubungan.

    Demensia bukanlah sejenis penyakit sahaja, tetapi ia merupakan satu terma untuk beberapa jenis penyakit.

    Jenis-jenis penyakit tersebut adalah seperti Alzheimer, Lewy Body Dementia, Vascular Dementia, Frontotemporal Dementia, Parkinson dan Huntington.

    Kesemua penyakit ini dikumpulkan di bawah satu terma iaitu demensia kerana kesemuanya adalah penyakit yang disebabkan oleh perubahan otak yang tidak normal. 

    Simptom-simptom demensia pula berlaku secara berperingkat. Ia boleh berlaku secara sedikit demi sedikit sehinggalah benar-benar menjadi teruk.

    Penyebab kepada demensia adalah kerosakan yang berlaku pada sel otak.

    Apabila sel otak ini menjadi rosak, maka ia akan mengganggu kemampuan sel otak tersebut untuk berinteraksi antara satu sama lain.

    Apabila interaksi ini terganggu, maka segala proses berfikir, tingkah laku dan juga perasaan akan sama terjejas. 

    Gangguan penglihatan tingkatkan risiko untuk mendapat demensia

    gangguan penglihatan

    Dalam kajian terbaharu yang diterbitkan dalam jurnal JAMA Ophthalmology, pengkaji mengukur masalah penglihatan dalam kalangan 1,061 wanita yang telah berusia.

    Wanita yang telah berusia ini mempunyai anggaran umur antara 66 hingga 84 tahun.

    Para penyelidik mengenal pasti perkaitan antara gangguan penglihatan yang dialami mereka dengan risiko untuk mendapat demensia dan gangguan kognitif ringan. 

    Kajian tersebut mendapati, risiko mendapat demensia dan gangguan kognitif ringan adalah lebih tinggi dalam kalangan wanita yang ada masalah penglihatan berbanding wanita yang tiada masalah.

    Malah, kajian turut mendapati, semakin teruk gangguan penglihatan yang dialami, maka semakin teruk jugalah gangguan demensia pada struktur otak mereka.

    Begitu juga dengan gangguan kognitif ringan, semakin teruk masalah penglihatan tersebut, maka semakin teruk jugalah gangguan tersebut berlaku. 

    Gangguan pendengaran turut tingkatkan risiko

    Bukan hanya gangguan penglihatan, masalah pada bahagian pendengaran turut boleh menjejaskan struktur otak manusia.

    Terdapat satu kajian yang dijalankan pada tahun 2015 yang mengkaji berkenaan perkaitan ini.

    Kajian tersebut telah melibatkan seramai 2,052 warga emas, 22.8% daripadanya mempunyai sama ada gangguan pendengaran atau penglihatan dan 5.1% daripada mereka mempunyai kedua-dua gangguan.

    Hasil kajian tersebut mendapati, terdapat hubungan yang signifikan antara gangguan pendengaran dan juga penglihatan terhadap risiko demensia dan juga Alzheimer.

    Gangguan pendengaran dan penglihatan meningkatkan risiko sebanyak 86% bagi penyakit demensia dan 112% peningkatan risiko bagi penyakit Alzheimer.

    Ini berbanding dengan mereka yang tidak mempunyai gangguan deria tersebut. 

    Sewaktu tindakan susulan dijalankan, demensia berkembang sebanyak 14.3% dalam kalangan mereka yang tidak mempunyai sebarang gangguan deria.

    Demensia didapati berkembang sebanyak 16.9% dalam kalangan mereka yang mempunyai hanya satu gangguan.

    Manakala bagi mereka yang mempunyai kedua-dua gangguan, risiko mereka menjadi semakin bertambah iaitu sebanyak 28.8%.

    Sama seperti kajian yang dinyatakan sebelum ini, semakin teruk gangguan pendengaran dan penglihatan yang dialami, maka semakin teruk jugalah risiko untuk menghidap demensia. 

    Bantu penghidap demensia terutamanya jika alami gangguan penglihatan

    Demensia merupakan antara salah satu penyakit yang biasa berkembang apabila usia menjadi semakin lanjut. Ia adalah antara penyakit yang biasa berlaku dan ia bergantung kepada tahap keterukan yang dialami.

    Jika anda merupakan salah seorang ahli keluarga kepada penghidap demensia, bantu mereka untuk menjalani kehidupan dengan lebih baik dan terurus.

    Anda boleh melakukan beberapa aktiviti yang boleh merangsang mereka untuk menjalani hidup dengan lebih baik.

    Anda boleh melihat kepada cadangan aktiviti-aktiviti bagi penghidap demensia di laman Hello Doktor.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 31/03/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan